Ahad, 19 Februari 2012

Coretan Yang Berkelana 132 : Idolaku...


Alhamdulillah minggu lepas sempat pergi kuliah Ustaz Ismail Kamus di Surau at-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam. Banyak pengisian yang dibawa oleh beliau. Memang ada sesetengah orang berpendapat ceramah ustaz biasanya berulang-ulang.

Bagi aku apa salahnya kalau berulang. Kerana kalau kita dengar kali pertama pun belum tentu kita beramal dengan apa yang disampaikan. Beliau berpesan berberapa perkara :

1. Jangan tinggalkan solat sunat sebelum subuh
2. Jangan tinggalkan solat dhuha
3. Jangan tinggalkan solat sunat tahajud
4. Jangan tinggalkan solat sunat witir meskipun 1 rakaat
5. Banyakkan sedekah walaupun 10sen

Ustaz Ismail Kamus merupakan seorang ustaz yang aku kenali semenjak darjah 3 kira-kira tahun 1996. Wajahnya sering terpapar di Forum Perdana Ehwal Islam bersama gandingan Dr. Haron Din dan Dr. Hassan Ali. Tambahan pula aku tinggal dengan arwah atuk dan nenek. Apalagi, siaran agama adalah menjadi kewajiban untuk ditonton.

Kaset pertama yang aku beli ceramah beliau adalah "Syirik dan Akibatnya". Disisi aku, beliau adalah tokoh "Ulama Melayu". Ceramahnya santai dan berlawak. Dan yang paling menarik beliau suka memperbetulkan kebiasaan adat orang melayu walaupun sesetengah ustaz tidak bersetuju dengan kata-katanya.

Kalau dulu ceramah beliau akan memenuhkan masjid dengan kehadiran pendengar yang mencapai tahap ribuan. Kini zaman kegemilangan Ustaz Azhar Idrus.Alhamdulillah Allah hadirkan seorang lagi pendakwah yang akan membawa kita bersama-sama ke syurga.

Apa-apa pun kita perlu memandang apa yang dikata, bukan memandang siapa yang berkata. Alllahua'lam. 

Aku dan Ustaz Ismail Kamus.

Kembara Meraih Cinta iLahi
ibnumaulub
8.57pm
19-2-2012
Shah Alam

Rabu, 8 Februari 2012

Coretan Yang Berkelana 131 : Menziarahi nenek saudaraku...


Nikmat sihat adalah sebuah perkara yang sering kita pandang remeh dan kadang-kala kita tidak menyedarinya sehingga datang kepada kita sakit baru kita mula mengeluh dan mula rasa bersyukur sekiranya kita disihatkan semula.

Benarlah sabda junjungan besar kita di dalam sebuah hadis yang mafhumnya :

Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara :

1. Masa lapang sebelum sempit
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa hidup sebelum mati
4. Masa kaya sebelum miskin
5. Masa muda sebelum tua

Semalam aku sempat menziarahi nenek saudaraku yang berada di Greenwood, Gombak. Keadaannya sudah semakin uzur disebabkan penyakit Diabetis yang sudah berada ditahap paling kritikal.

Aku bersalam dengan dan memperkenalkan diri. Alhamdulillah dia masih ingat lagi cucu kepada arwah kakak iparnya ini. Aku duduk ditepinya sebentar bertanya khabar.

Timbul dalam sanubariku ini, bagaimanakah kesudahan aku nanti. Apakah aku akan melewati keadaan yang sebegini. Entah... Semua adalah urusan Allah. Aku mengharapkan aku 'pergi' dalam keadaan yang mudah dan diredhoi Allah Yang Empunya Alam ini. Amin..

Sebelum pulang, kami mendoakan beliau agar sembuh dan kembali seperti sediakala. Amin...



~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
7.04pm
7-2-2012
Greenwood, Gombak

Coretan Yang Berkelana 130 : Berkelana menyantaikan minda....


Hidup ini terlalu banyak cabaran dan liku-liku yang harus kita tempuhi. Kadang-kala wujud istilah "lari dari masalah". Setiap masalah dan cabaran mahupun dugaan harus diselesaikan dengan murni dan baik.

Teringatlah kita akan firman Allah, " tidak dibebankan seseorang itu dengan  sesuatu melainkan Aku tahu dia mampu menyelesaikannya.."

Cuma akal dan minda ini perlu berehat sebentar. Setelah berusaha dan berdoa kepada Yang Empunya Dunia ini, hati harus bertawakal kepadaNya, agar menyerahkan segala taqdir kepadaNya.

Setiap insan memiliki cara tersendiri melepaskan tekanan @ merehatkan minda. Aku dan teman-teman punyai cara yang tersendiri. Kami gemarkan memancing. Walaupun memancing ini sesetengah orang mengatakan membuang masa.

Namun bagi kami tidak sama sekali. Setelah joran dilemparkan. Kami berdiskusi dan berbincang tentang urusan ugama. Hal ini tampak lebih mudah dan santai.

Kerana, berbicara urusan agama tidak semestinya di masjid dan surau mahupun dalam kelas-kelas agama semata-mata. Nabi tidak pernah mengkhususkan dimanakah lokasi untuk membicarakan ilmu, yang nabi pesan supaya menyebarkan ilmu. Allahua'lam.





~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
9.47pm
6-2-2012
Kg. Bagan Tengkorak, 
Tanjung Karang.

Coretan Yang Berkelana 129 : Talaqi Moden...


Alhamdulillah azam tahun ni nak talaqi sehingga habis, insyallah. Bila bukak je Quran tengok tarikh last talaqi tu dia 25/2/2011. Rasa rugi sangat.

Ini berikutan kerana ustaz terlalu sibuk dan kami juga tidak mahu menganggu masa ustaz. Tambahan pula semenjak ustaz menjadi tenaga pengajar di Akademi al-Quran bagi subjek Qiraat. Kami terpaksa menunda kelas talaqi.

Talaqi dan bersanad merupakan perkara asas dalam menuntut ilmu mengikut tradisi ulama-ulama silam. Ini merupakan salah satu jalan ilmu yang berkat kerana susur jalur ilmu yang akan sampai ke Rasullah s.a.w.

Setelah setahun, alhamdulillah kini berkesempatan untuk bertalaqi semula. "Ya Allah Engkau rezekikanlah kami ilmu yang bermanfaat dan yang Engkau redhoi." Amin...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
11.30pm
2-2-2012
Kuala Kubu Baharu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails