Sabtu, 27 Julai 2013

Jom Baca Hadis 48 : Puasa dan Syurga.



Diriwayatkan dari Shal r.a : Nabi s.a.w pernah bersabda :

" Ada sebuah gerbang syurga yang disebut  ar-Rayyan dan orang-orang yang berpuasa kelak pada hari kiamat akan masuk ke dalam syurga melalui gerbang itu. Ar-rayyan akan menyeru, ' Mana orang-orang yang berpuasa?' Mereka orang- orang yang berpuasa pun bangkit dan kesemuanya masuk ke syurga melalui gerbang itu. Setelah mereka semua masuk, gerbang itu akan tertutup dan tidak ada seorang pun yang melaluinya lagi ". Riwayat Bukhari. 


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

" Ketika Ramadhan tiba, semua gerbang pintu syurga dibuka, semua pintu neraka ditutup dan semua syaitan dibelenggu ( dirantai ). Riwayat Bukhari. 

Khamis, 25 Julai 2013

Coretan Yang Berkelana 178 : Dia Menitiskan Air Mata.



Pertemuan pada malam tiga hari sebelum Ramadhan itu telah menambahkan sebuah pengalaman hidupku. Aku bertemu dengan seseorang yang menjadikan aku lebih celik dalam dunia dakwah. Selama hari ini mungkin kita berasa ramai orang sudah kenal dengan Allah, tetapi sangkaanku meleset.

Setelah berjanji, aku bertemu dengan seorang hamba Allah selepas Isyak. Sejam awal pertemuan kami hanya bercerita tentang latar belakang pekerjaan dan aku lebih banyak bertanya tentang perjalanan bisnesnya.

Sehingga perbualan kami melewati jam ke dua, dia mula bertanya pendapatku tentang Allah, rupa Allah dan keadaan Allah. Lantas aku bertanya kepadanya, kenapa bertanyakan sedemikian?

Dia menjawab, selama hari ini dia banyak bertanya kepada para ustaz tetapi dia hanya dimarahi kerana bertanya soalan yang tidak sepatutnya ditanya oleh seorang muslim. Lalu dia bertindak memangkah ustaz dalam kehidupannya, dan membuatkan dia jauh dari agama.

Aku menarik lafaz lega, kerana diawal perkenalan aku tidak memberitahunya bahawa aku ini seorang ustaz kerana sememangnya aku suka menyembunyikan identitiku agar aku kelihatan seorang manusia biasa diluar. Cuma aku katakan aku hanya seorang pekerja swasta sahaja. Mungkin inilah titik tolakku dalam kembara dakwah ini.

Lalu aku menjawab, Allah itu bukan untuk dilihat dan dibayangkan kewujudanNya tetapi untuk dirasai keberadaanNya. Dia membalas dengan mengatakan selama 20 tahun dia tidak bersolat kerana memikirkan siapa yang dia sembah ditambah pula dengan latar belakang keluarga yang tidak bersolat.

Mendengar sambungan ceritanya, aku beristighfar di dalam hati. Astagfirullahal azim. Ya Allah dalam banyak-banyak manusia, kenapa Engkau pertemukan aku dengan dia. Ini sebuah amanah yang besar dari Mu Ya Allah.

Aku bertanya kepada dia, selama 20 tahun dia tidak bersolat pernahkah dia tidak bersarapan pagi dan makan tengahari? Dia menjawab tidak, bahkan hidupnya tidak pernah mengalami masalah kewangan.

Segera aku membalas, bayangkan Allah itu Sang Pencipta anda sungguh pun anda tidak menyembah Nya, tetapi urusan makan anda tidak pernah diabaikan. Bayangkan, kepala kita ini sungguh mulia, sehingga tidak ada satu manusia pun yang bisa menyentuhnya melainkan tukang gunting rambut.

Tetapi saat kita bersolat, dahi kita ini kita cecahkan dilantai ditempat yang kotor yang dipijak orang. Allah sengaja membuat begitu agar kita sedar kita hanyalah seorang hamba yang hina disisiNya.

Dia termanggu dan menitiskan air mata. Lebih kurang setengah jam kami tidak berbicara apa-apa. Kerana dia terkesima dan mengalirkan air mata. Kemudian dia berkata kepadaku, terima kasih kerana menunjukkan jalan kembali kepada Allah, saya tidak sabar untuk pulang sekarang dan bersolat.

Pertemuan pada malam itu berakhir sehingga jam dua pagi dan kami beransur pulang. Dalam perjalanan ke rumah kala sedang memandu, aku pula yang mengalirkan air mata, Ya Allah aku bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman Ya Allah, aku bersyukur dihantar ke sekolah agama Ya Allah, aku bersyukur kerana hidup dilingkungan mereka yang mengamalkan agamamu Ya Allah.

Ya Allah apa yang aku hendak jawab dihadapan Mu Ya Allah, begitu ramai lagi masyarakat yang jahil tentang agama Ya Allah. Apakah aku sudah melaksanakan tangggungjawabku sebagai seorang dai'e ( pendakwah ) Ya Allah. Ampunkan dosa kami Ya Allah kerana tidak menerangkan kepada masyarakat tentang agamamu Ya Allah. Amin.

Alhamdulillah kini sudah masuk 16 Ramadhan dia sudah berpuasa setelah 20 tahun tidak berpuasa. Dan dia bersungguh-sungguh menantikan azan untuk mendirikan solat setelah 20 tahun dia meninggalkan solat. Pertemuan kali ke tiga sempat aku hadiahkan kepadanya senaskhah al-Quran dan buku Falsafah Ketuhanan ( Hamka ) sebagai hadiah untuk dia baca agar lebih mengenali siapa Tuhannya.

Ya Allah Engkau kekalkanlah hidayah yang Engkau campakkan kepada dia dan kami Ya Allah. Engkau tambahkanlah iman dia dan iman kami Ya Allah. Amin. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.33am
25-7-2013
Shah Alam

Selasa, 23 Julai 2013

Jom Baca Kitab 7 : Fiqh Nyanyian dan Muzik.



Alhamdulillah, pada kali ini aku berkongsi dengan kalian tentang sebuah buku yang agak menarik dan sesuai dibaca oleh semua orang.

Buku ini bertajuk Nyanyian dan Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan Sunnah , dikarang oleh Dr.Yusuf al-Qaradhawi.

Buku ini berkisar seputar hukum nyanyian dan alat-alat muzik yang ada sekarang ini. Yusuf Qaradhawi dilihat membahaskan pada tiga hukum iaitu :

1. Muzik haram mutlak
2. Muzik itu harus
3. Muzik itu makruh

Yusuf Qaradhawi menilai kesemua dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengatakan haram kepada muzik dan nyanyian. Bagi pendapat aku, buku ini amatlah sesuai bagi para penuntut agama khususnya dibidang syariah.

Ini kerana, para pelajar syariah akan lihat bagaimana Yusuf Qaradhawi menggunakan kaedah usul fiqh, cara mengistinbat ( mengeluarkan) hukum, menyaring sesebuah hadis pada sudut matan, sanad, riwayah, dirayah serta terkait rapat dengan membahaskan ciri-ciri perawi yang ada pada sanad hadis berdasarkan ilmu rijal.

Buku ini, aku kira sebuah bahan bacaan yang mantap. Buku ini akan menjadikan kita tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara yang ada berlaku kekhilafan dikalangan para ulama.

Buku ini menjadi sebuah pencerahan yang adil dan amanah pada sudut ilmiah. Ini kerana ada sesetengah para agamawan, ustaz dan para ulama yang dengan cenderung seakan memaksa orang ramai supaya tidak berhibur apa lagi bermain gitar dengan mengatakan ia perbuatan yang haram.

Itu mungkin fatwa yang kelihatan agak ketat sedikit, seolah-olah buku Nyanyian dan Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan Sunnah ( Dr. Yusuf Qardhawi ) ini tidak pernah wujud, dan tidak akan dibaca oleh orang ramai. 

Jadi aku tidak mahu menghukum apakah hukum menyanyi dan bermain muzik, yang aku galakkan anda bacalah buku ini. Biar anda sendiri menemui jawabannya, agar tidak terpengaruh dengan jawaban aku dan mana-mana orang. 

Yang paling penting kita kena ingat, hukum halal dan haram hanyalah kuasa dari Allah, manusia tidak ada kuasa untuk menentukannya. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.29am
23-7-2013
Shah Alam

Ahad, 21 Julai 2013

Coretan Yang Berkelana 177 : Memang belum ajalku.



Alhamdulillah sudah 11 hari kita berpuasa semoga puasa dan segala amalan kita diterima oleh Allah. Bulan Ramadhan merupakan sebuah bulan yang Allah bagi ruang agar kita mencari bekalan sebaiknya. 

Kesemua amalan baik kita dilipat gandakan pahala. Tidak lain hanya satu tujuan sahaja, Allah mahukan kita semua masuk ke syurga. Amin.

Dibulan Ramadhan ini, jadualku agar penuh sedikit, dengan kelas pagi seperti biasa, bertadarus pagi, kuliah zuhur, kelas petang,  tarawih, tazkirah dan tadarus malam. Jadual yang sebegini padat menyebabkan kurang rehat.

Entah macam manalah semalam, sedang dalam perjalanan mahu pulang ke rumah, kira-kira jam 6pm, dihambat dengan kesesakkan jalan yang ramai orang berpusu-pusu untuk berbuka dirumah dan pulang dari kerja sesuatu berlaku kepadaku.

Mungkin lantaran dek cuaca yang begitu hangat dibuai keselesaan angin aircond pada petang itu, menyebabkan aku terlelap seketika ketika sedang memandu. 

Alhamdulillah kelajuan aku kala itu, hanyalah 40km kerana sudah menghampiri Plaza Tol Batu 3. Dalam dibuai keletihan yang amat sangat, aku terlena dan kereta terbelok ke arah kanan penghalang jalan.

Dengan tidak semena-mena kereta dibelakangku hon menyebabkan aku tersedar.. Allah....!!! Segera aku membalas balik stering, alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku. 

Memang belum ajalku tiba lagi, nasib menyebelahi diriku. Saat itu, dilorong paling kanan Smart Tag kesemua pemandu membawa dengan perlahan, dan aku hanyalah melanggar besi penghalang jalan tanpa melanggar mana-mana kereta dan orang. Alhamdulillah.

Ya Allah, Engkau jadikanlah kejadian itu sebagai salah satu cara penghapus dosaku Ya Allah. Amin.

Sampai saja dirumah, segera ku bersujud syukur kerana nyawaku masih dipanjangkan oleh Allah S.W.T. Alhamdulillah.. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.54am
21-7-2013 
Shah Alam

Lirik Puitis 33 : Ramadhan Datang...



Ramadhan datang 
Alam pun riang
menyambut bulan yang berkah
umat berdendang kumandang adzan
bertanda hati yang senang
oh…..hoooo
hati yang gembira
oh..oo..ho..
Penuh suka cita

Sebulan kita kan berpuasa
Melawan lapar dahaga
kalahkan nafsu rayuan setan
menjadi insan yang taqwa
oh…..hoooo
hati yang gembira
oh..oo..ho.
Penuh suka cita

Reff :
Tarawih dan Tadarus
Bersujud di tengah malam
Berzikir dan Berdo’a…
Menyebut Asma' Mu ALLAH
Dan Tak lupa berzakat
Sempurnakan kewajiban
Mensucikan jiwa
Sebagai Insan yang fitri
Ramadhan datang 
Alam pun riang
menyambut bulan yang berkah
umat berdendang kumandang adzan
bertanda hati yang senang
oh…..hoooo
hati yang gembira
oh..oo..ho.
Penuh suka cita

Reff :
Tarawih dan Tadarus
Bersujud di tengah malam
Berzikir dan Berdo’a
Menyebut Asmahmu ALLAH
Dan Tak lupa berzakat
Sempurnakan kewajiban
Mensucikan jiwa
Sebagai Makhluk Allah
Dan Tak lupa berzakat
Sempurnakan kewajiban
Mensucikan jiwa
Sebagai Insan yang fitri
Tarawih dan Tadarus
Bersujud di tengah malam
Berzikir dan Berdo’a
Menyebut Asma' Mu ALLAH
By : Tompi 

Ahad, 7 Julai 2013

Coretan Yang Berkelana 176 : Kursus Pengurusan Jenazah.


Alhamdulillah semalam 6-7-2013 aku berkesempatan mengikuti satu kursus pengurusan jenazah yang dianjurkan oleh Yayasan Restu Shah Alam. Sebenarnya dah lama aku mencari kursus yang sebegini. Bukan apa untuk mengisi kebodohan diri ini.

Bukanlah tak tahu langsung tentang menguruskan jenazah, cuma selama hari ini aku sering membantu saja dan berada dibelakang tabir, hanya mengikut arahan-arahan orang tua yang lebih ilmu dan pengalamannya.

Alhamdulillah aku ditunjukkan Allah s.w.t tentang kursus ini. Kursus berlangsung dari 9.00am-5.00pm dan disertakan dengan sijil penyertaan. Kursus disampaikan oleh Ustaz Ahmad Safuan bin Md. Nayan, beliau berpengalaman lebih dari 30 tahun, dan berpeluang menguruskan jenazah al-marhum Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah.









~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.35pm
7-7-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails