Ahad, 23 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 175 : Ah.. Aku jatuh cinta..



Alhamdulillah pada Jumaat yang lepas, aku diundang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong untuk berceramah sempena seminar Pra Perkahwinan bagi tingkatan lima disekolah tersebut.

Pihak sekolah meminta aku berkongsi ilmu tentang konsep Ah aku jatuh cinta ( menurut Islam kempen anti zina ). Alhamdulillah kesemuanya berjalan lancar. Respon yang terbaik dari pelajar-pelajar di sana. 



Sebelum berceramah aku bertanya kepada mereka apa itu yang dinamakan cinta? Semua orang bercinta, tetapi tidak pernah mengetahui definisi cinta.

Cinta merupakan sebuah perasaan yang dimiliki oleh setiap manusia. Bercinta itu tidaklah haram cuma suasana percintaan itu yang menjadikan ia haram. Lebih-lebih lagi percintaan sebelum berkahwin yang lebih mengundang banyak fitnah, berpegangan tangan dan sebagainya.


Cinta adalah amat berbeza dengan kalimah sayang, suka, rindu. Masing-masing mempunyai definisi yang berbeza.

Cinta terbahagi kepada beberapa kategori antaranya :

1. Cinta kepada Allah s.w.t.
2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w.
3. Cinta kepada ibu, ayah, keluarga dan sahabat handai.
4. Cinta kepada alam sekitar.
5. Cinta kepada kebendaan seperti kereta.



Mencari cinta sejati lagi haqiqi di sisi Islam perlu juga memandang pada sudut pemilihan lokasi. Bagaimana kita ingin mencari mutiara sedangkan kita berada ditepi jalan. Padahal mutiara ada didasar laut yang perlu diselam dengan lebih dalam. Yang ada ditepi jalan hanyalah pasir yang tidak dipandang manusia.

Begitulah kita, ingin mencari cinta yang diredhai Allah bukanlah dipasar malam, di perhentian bas, di facebook tetapi di masjid, di majlis-majlis ilmu yang diberkati Allah.


Dan sebaik-sebaik percintaan adalah bersandarkan kepada istikhorah kepada Allah. Biarlah Allah yang memilih untuk kita, kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.47pm
23-6-2013
Shah Alam

Sabtu, 15 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 174 : Ustaz, saya nak kahwin...



Seperti biasa aku keluar dari kelas menuju ke kereta, aku dihampiri seorang pemuda. Lalu memperkenalkan diri sebagai Bad. 

Bad : Ni ustaz Aliff ke?
Aku : Ya saya. Kenapa ya?
Bad : Camni ustaz, saya nak belajar mengaji dengan ustaz boleh tak?
Aku : Boleh tapi kenapa? Awak tak pandai mengaji ke?
Bad : Pandai ustaz. Cuma saya nak mula dari awallah ustaz. Saya nak kahwin tahun depan. Jadi tahun ni saya nak mula belajar balik pasal agama, mengaji dan fardhu ain, maklumlah ustaz nak jadi imam kepada keluargakan. Saya nak kena didik isteri saya nanti.
Aku : Subbahanallah. Bagus tu Bad. Tapi masa saya agak penuh sedikit. Kalau malam macam ni lepas kelas bolehlah. Cuma lewatlah pulak kan.
Bad : Takpe ustaz. Lewat tak jadi masalah. Yang penting ustaz sudi mengajar saya.
Aku : Kalau awak setuju kita mula besoklah jela.
Bad : Ok lah kalau begitu ustaz. Cuma pembayaran mengaji macam mana?
Aku : Pembayaran? Alah rilekslah.. Belajar dulu.. Tu sembang lain pun takpe. Yang penting belajar dulu ok..
Bad : Kalau macam tu, oklah ustaz. Saya ikut saja. Besok saya bawak muqaddam ye ustaz.
Aku : Ok takde masalah. Jumpa besok. Wassalam.

Dalam hatiku berkata, bagus dia ni. Dari sebelum kahwin dah prepare untuk akan datang. Moga Allah permudahlan urusan dia. Amin. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.22am
15-6-2013
Shah Alam 

Rabu, 12 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 173 : Kembara ke Pulau Pangkor.



Alhamdulillah pada 6-6-2013 yang lalu, aku dan keluarga sempat beristirehat di Pulau Pangkor. Oleh kerana sudah lama tidak bercuti, kami merencana bercuti ke Pulau Pangkor.


Kami dari Shah Alam menuju ke Lumut dengan melalui jalan kampung. Dari Meru terus ke Kuala Selangor dan menuju ke Lumut. Untuk pengetahuan anda, kos tol hanya RM2.00 pergi dan balik kerana terpaksa melalui tol Sg. Rasah, Klang.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam, ini berikutan jalan kampung dan banyak juga lampu isyarat. Alhamdulillah kami sampai kira-kira jam 1pm di Jeti Lumut.

Sampai di Jeti Lumut kami memparkir kereta di Medan Letak kereta yang bertingkat. Untuk tiga hari, kita hanya perlu membayar harga parkir dengan harga RM18.50.

Kemudian itu kami menuju ke Jeti Lumut untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor. Harga tiket bagi kanak-kanak adalah RM5.00 dan dewasa RM10.00 sahaja. Tiket boleh digunakan pergi dan balik.



Perjalanan dalam feri mengambil masa lebih kurang 35minit. Kerana feri akan singgah dibeberapa pulau. Alhamdulillah kami tiba di Teluk Nipah. Teluk Nipah merupakan lokasi yang paling ramai dikunjungi kerana berdekatan dengan kedai makan, dan bolehlah dikata lokasi strategik. Harga teksi van dari jeti ke Teluk Nipah hanyalah RM20.00 sahaja.


Tentang chalet kami memilih antara yang termurah iaitu di Lyana Villa, untuk satu malam dengan harga RM95.00 sahaja. Chaletnya agak menarik kerana dibenarkan memasak.

Kemudian kami ke snorkling, untuk satu bot harganya RM70.00. Dan kami dibawa singgah beberapa bentuk batu yang unik, antaranya bentuk buaya, ikan dan sebagainya.


Apa yang menyedihkan, kala ini, air dilaut Pangkor sungguh menyedihkan. Kelihatan sudah mula keruh. Masyarakat disitu tidak mengendahkan tentang penjagaan ekosistem sekeliling. Banyak sampah sarap dilaut, dan dipesisir pantai. Mungkin lagi 10 tahun lagi, Pangkor sudah tidak sesuai untuk dijadikan tempat bercuti.

Jika anda ingin mengelilingi pulau, anda hanya perlu menyuruh hotel atau chalet menelefon teksi van sahaja. Bayaran untuk mengelilingi pulau hanyalah RM70.00 sahaja. 





Anda akan dibawa melihat tempat-tempat yang bersejarah seperti Kota Belanda, Batu Bersurat, kilang satay, kilang pembuatan feri, bot dan lain-lain lagi.


Apa yang tidak menariknya, di Pulau Pangkor harga makanan terlalu mahal. Kami bersarapan pagi 5 orang dan hanya makan nasi lemak kosong dan minum berharga RM48.50. Kemungkinan kami pergi pada musim cuti sekolah, jadi mereka menyembelih kami agaknyalah.





Cuma pandangan aku, kerajaan negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak perlu tegas dan melaksanakan etika mandi dipantai. Kelihatan perempuan melayu Islam sudah tidak kelihatan keislamannya ketika mandi dilaut, lebih menimbulkan keghairahan pada pengunjung. 

ENAKMEN 3 TAHUN 1992 NEGERI PERAK
ENAKMEN JENAYAH (SYARIAH) 1992

BAHAGIAN VI - KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN MARUAH DIRI


Seksyen 56. Mendedahkan tubuh, di tempat awam.


Seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Akhir kata, percutian ke Pulau Pangkor boleh dikatakan percutian bajet. Cuma hati-hati bajet anda kemungkinan besar boleh lari disebabkan faktor mahalnya harga makanan. Allahua'lam.




~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.30pm
12-6-2013
Shah Alam

Selasa, 4 Jun 2013

Lirik Puitis 32 : Nasuha...



Dengarlah insan satu cerita
tentang duka dan pahit perjalanan
tentang hina dan rapuh pertimbangan
tentang penyerahan pada Tuhan

Seorang gadis tersungkur
diranjang noda
kerana asyik mengejar
nikmat dunia

Demi lupanya pada Yang Kuasa   
dihujung kembara rasa berdosa
Ooo...Ooo...Ooo...Oooo...
    
Seorang pria terpesong dari kiblatnya
tapi sepanjang hayat
redha bertakwa
Demi takutnya pada Yang Kuasa
menangislah ia sepanjang malam
    
Mereka semua menghadap kiblat
menadah tangan kudus airmata
memohon pengampunan dari-Nya
atas dosa sebagai manusia

By : Barongan 

Isnin, 3 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 172 : Daurah Periwayatan Kitab Muwatho'.



Alhamdulillah selama beberapa hari majlis pembacaan hadis kitab muwatho' bersama dengan Syeikh A'wad al-Manqush selesai.

Majlis ini berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pembacaan hadis sebanyak 1843 hadis dan syarahan dari Syeikh al-Manqush berjalan lancar. Alhamdulilah.


Selesai sesi pembacaan, syeikh menyampai ijazah dan sanad kepada kami. Mungkin ramai yang bertanya apa pentingnya sanad ini?

Di dalam ilmu Islam, sanad merupakan antara perkara penting. Kerana ia menunjukkan kita berguru dan bersusur galur sampai ke Rasulullah s.a.w.

Majlis mendengar hadis ini ada banyak kelebihannya, antaranya :

1. Kita akan berselawat kepada Rasulullah s.a.w apabila mendengar namanya.
2. Kita boleh memeriksa baris hadis yang ada dalam kitab kitab kita, boleh jadi penerbit tersalah baris.
3. Mendengar kupasan hadis dari guru yang ahli.
4. Majlis ilmu merupakan taman-taman syurga.

Banyak lagi kelebihan yang ada. Ini hanyalah sebahagian sahaja. Muga kita semua dilimpahi rahmat Allah dan dikasihi Rasulullah s.a.w. Amin.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat lamaku, Kashful Anuar bin Minhat yang sudi menyediakan tempat tinggal dan membantu aku sewaktu berada di UKM. Jasamu Allah jua yang dapat membalas. Wassalam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.04pm
3-6-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails