Rabu, 3 Februari 2010

Coretan Yang Berkelana 57 : Bohong di dunia.


Bohong di dunia. Itulah ungkapan yang dapat diluahkan kehidupan kita di dunia ini. Sebenarnya aku nak kongsikan sikit sebuah buku yang baru selesai aku membacanya, iaitu sebuah tulisan Allahyarham Buya Hamka yang bertajuk "Bohong di dunia". 

Apa yang aku dapati walaupun di dalam penulisan ini, Prof. Hamka ingin membawa pembaca mengikuti perjalanan falsafahnya tetapi tidak dapat dinafikan beliau juga membawa pembaca untuk  mengenali agama Islam dengan lebih dekat lagi.

Sebenarnya gejala pembohongan ini kita sendiri telah menyemainya sedari anak kita masih kecil lagi. Tatkala anak kita menangis dengan segera kita berjanji untuk membelikan ais krim dan membawanya berjalan-jalan maka keringlah secara tiba-tiba air mata anak itu tadi. 

Setelah anak itu diam, kita pun terlupa janji yang telah kita taburkan tadi. Maka telah berlaku pembohongan yang tidak kita sedari boleh menjadi suatu bibit-bibit kerosakan akhlaq anak itu, yakni apabila ia pula mula berbohong pabila ia meningkat dewasa. Aku juga senada dalam mengikuti pendapat Prof. Hamka ini, iaitu beliau membicarakan dalam semua keadaan kita tidak boleh berbohong, kecuali dalam 3 keadaan :

1. Dalam peperangan
2. Mendamaikan antara 2 orang yang bergaduh
3. Menghindari dari terjadinya perceraian antara suami dan isteri

Sambung beliau lagi, walaupun dalam keadaan di atas kita diharuskan berbohong, maka ia tetap juga dipanggil berbohong iaitu tetap tidak bercakap benar. 

Sebagai renungan untuk kita bersama, Prof. Hamka mendatangkan sebuah kisah di zaman Rasullah yang begitu masyhur sekali. Tatkala datang seorang pemuda yang suka mencuri melafazkan kalimah syahadah, beliau bertanya kepada Rasullah, " Ya Rasullah, sesungguhnya aku ini telah Islam dan aku begitu suka mencuri apakah yang harus aku lakukan?". Rasullah menjawab, " Tinggalkan perbuatan berbohong". 

Maka kembalilah pemuda itu ke rumahnya dengan hati yang gembira apabila mendengar bahawasanya Nabi tidak melarang mencuri hanya melarang berbohong. Pada keesokan harinya, beliau ingin mencuri tiba-tiba dalam hatinya berfikir, Rasullah  melarang aku berbohong, nanti kalau lepas aku mencuri tiba-tiba terserempak dengan baginda, lalu bertanya kepadaku adakah aku masih mencuri lagi?

Apa yang harus aku katakan kepada baginda. Kalau aku cakap aku mencuri, nanti tangan aku dipotong, kalau aku cakap aku tak mencuri maka aku sudah berbohong kepada baginda. Maka, tidak mencurilah pemuda itu hingga kesudahnya. Begitulah dakwah yang dibawa oleh Rasullah s.a.w. Allahua'lam.

Orang yang berani berkata terus-terang, adalah orang yang 
mendidik jiwanya sendiri untuk merdeka. Dan orang yang berani menerima 
perkataan terus-terang, adalah orang yang membimbing 
jiwanya kepada kemerdekaan. Sebab itu dapatlah dikatakan bahawa, 
kebenara itu adalah kemerdekaan. 
(Prof. Dr. Hamka)
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.17am
3-2-2010
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails