Ahad, 31 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 56 : Sang Penebus Dosa.


Sudah mula suam kes penggunaan kalimah Allah, tetapi semakin panas dengan isu serta kes membakar gereja dan kepala babi hutan di masjid. Apa yang aku doa dan harapkan janganlah sampai terjadi rusuhan agama serta kaum yang akan menimbulkan 1001 permasalahan yang mendatang.

Cuma aku sedikit terkilan kerana  sedang asyik dan panas tentang isu kalimah Allah ini wujud segelintir NGO, parti, pertubuhan, gerakan, sidang media mahupun media maya yang menangguk di air yang keruh. Lebih-lebih lagi wujud tentang perselisihan faham dan disiplin ilmu serta pendirian masing-masing maka telah terjadinnya suatu laporan polis yang melibatkan 2 orang ahli politik. 

Maafkanlah ketika aku sedang menulis entri ini, niat secara jujur tidak mahu menyentuh tentang politik dan lebih-lebih lagi blog ku ini diwujudkan untuk berkongsi pengalaman dalam mencari identiti sebenar khalifah Allah dimuka bumi ini.

Apa yang aku khuwatirkan, setelah terjadinya perselisihan yang melibatkan 2 orang ahli politik Islam ini akan menjadi golongan bukan muslim bertepuk tangan kerana melihat sesama muslim sudah mula ingin bergaduh. Apa yang aku harapkan, selesaikanlah secepat mungkin Isu kalimah Allah ini tidak kira dari mana-mana peringkat. Jauhilah kepentingan diri dan politik, carilah titik pertemuan untuk menjadikan Islam mulia disisi masyarakat.

Bukan asalnya ingin ku mengulas lebih lanjut tentang isu yang panas ini, tetapi hati ini terasa begitu terpanggil ketika aku sedang asyik memperhatikan foto-fotoku sewaktu di atas feri untuk menuju ke Pulau Samosir (Danau Toba). Allahua'lam.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.37am
31-1-2010
Shah Alam

Khamis, 28 Januari 2010

Pautan Semasa 25 : Gadis Hilang !!!



Kepada sesiapa yang menjumpai sila hubungi Pn. Shariffa yang sedang runsing dan sedih memikirkan dimanakah anak kesayangnya ini..

Rabu, 27 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 55 : Menziarahi guruku yang dikasihi.

Tepat jam 10.05pm aku dan Azim telah berada di depan pintu pagar rumah Bilal Jamil. Beliau merupakan salah seorang guru al-Quran dan merupakan Bilal Masjid Sultan Suleiman di Klang. Entahlah, tiba-tiba selepas solat maghrib tadi aku teringat akan beliau, lebih-lebih lagi baru-baru ini pak cik ku memberitahu yang beliau sudah semakin uzur.

Sesudah menunaikan solat Isyak, aku menghubungi Azim adakah beliau kelapangan untuk menemaniku ke Klang, kemudian beliau bersetuju untuk menemaniku. Sampai sahaja di hadapan rumah Bilal Jamil, aku segera memberi salam. Kelihatan beliau baru pulang dari masjid dan sedang memparkirkan motor beliau.

Beliau terkejut melihat akan daku, lalu bertanya " Bila kau balik Lip?" Aku menjawab "Lebih kurang sebulan jugaklah Lal". Kemudian dia menjemput aku dan Azim untuk masuk ke dalam rumahnya. Setelah bertentang mata dengan beliau, aku mendapati beliau kelihatan begitu uzur. Beliau mempunyai sakit gout begitu teruk, darah tinggi yang normal dan kencing manis yang terkawal.

Melihat mukanya yang begitu garang, teringat sewaktu aku bertalaqqi dengan beliau setiap Jumaat malam Sabtu, aku akan berulang-alik dari Batu 3 ke Klang untuk memperbetulkan bacaan. Kemerduan suaranya serta kefasohannya membuat aku asyik untuk bertalaqqi dengan beliau. Biarpun aku pernah di herdik, dimarah serta ditegur itu lebih membuat aku bersemangat.

Sedang asyik berbual, beliau menceritakan semenjak keuzuran yang menimpa, beliau kini tidak lagi mampu untuk mengajar di masjid dan akan bersara dari jawatan Bilal Masjid dalam masa 2 bulan lagi.

Beliau yang juga merupakan bekas Johan Tilawah al-Quran peringkat negeri Selangor ini pernah menyatakan kepadaku, "Lip teruskanlah menuntut ilmu, jangan riak apabila sudah berada tempat tinggi, lapangkanlah dada untuk mendengar teguran dari yang bawah".

Masih terngiang-ngiang ditelingaku.  Hati kecilku berkata, Bilal terima kasih mengajar ilmu al-Quran kepadaku, semoga Allah merahmati kehidupanmu. Amin. Kira-kira jam 11.20pm aku dan Azim beredar untuk pulang ke Shah Alam.


Bilal Jamil merupakan salah seorang anak murid Arwah
Ustaz Salikin dan Dato' Ustaz Hassan Azhari


Penulis dan Gurunya yang dikasihi

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.03am
27-1-2010
Shah Alam

Selasa, 26 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 54 : Sebaik-baik ciptaan.

Wei budak gemuk! Wei Black! Telinga gajah! Si Bantut! Mungkin ini adalah sebahagian dari ejekan yang wujud dikalangan masyarakat kita pada masa ini. Entahlah makin hari manusia makin hilang ciri-ciri kemanusiaan. Sebenarnya beberapa hari yang lepas, seorang pelajar meluahkan perasaannya kepada aku.

Beliau memberitahu beliau sering diejek di sekolah dan ini membuat beliau menjadi rasa begitu malas untuk ke sekolah. Beliau juga menambah lagi, beliau pernah menangis mengenang diri yang seolah-olah kurang sempurna dibandingkan dengan rakan-rakan sekelasnya.

Teringat aku akan sepotong ayat al-Quran, surah al-Hujurat : 11 ,

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Mungkin sudah menjadi kebiasaan masyarakat sekarang, suka memanggil dengan ejekan atau kekurangan pada diri seseorang. Walaupun kita menilai seseorang itu tidak hensem atau tidak cantik sesungguhnya dia adalah cantik disisi kejadian yang Allah ciptakan.

Firman Allah dalam surah at-Tin : 4,

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".

Jadi, marilah kita bersama-sama merenungi serta memuhasabahkan diri sebelum ingin mengejek orang. Dan apa yang paling penting, ingatlah kita sebaik-baik ciptaan jika nak dibandingkan dengan itik, kambing dan sebagainya. Maka kalau kita dah sebaik-baik dan  secantik-cantik ciptaan, maka tidak perlulah mewarnakan rambut, mencabut bulu kening, mewarnakan kuku, mengasah kuku, meratakan gigi, meluruskan rambut mahupun botox. Allahua'alam.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.06pm
26-1-2010
Shah Alam

Isnin, 25 Januari 2010

Renungan Sejenak 24 : Penghulu Istighfar yang dilupakan.

Diriwayatkan dari Syaddad bin 'Aus r.a dari Nabi s.a.w bersabda :" Doa terbaik dalam memohon ampunan Allah adalah,



Nabi s.a.w menambahkan, " Jika pada siang hari seseorang membaca doa ini dengan keteguhan iman dan mati sebelum malam turun, maka ia akan menjadi penghuni syurga. Jika seseorang membaca doa ini pada malam hari dengan keteguhan iman dan mati sebelum pagi tiba, maka ia akan menjadi penghuni syurga".

Mukhtasar Shahih Bukhari, Bab Istighfar yang paling utama : hadis no 2070.

Jumaat, 22 Januari 2010

Pautan Semasa 24 : Minyak naik?



Dari bulan Mei 1, bahan bakar akan dipaut RM 3.90 seliter untuk RON 97, sementara RON 95 akan naik menjadi RM 3.70 seliter. Namun demikian, harga kenderaan buatan nasional akan turun sekurang-kurangnya 40%. Jadi sebuah full spec Proton Persona sedan 1,6 liter lebih kurang RM 23,000.00. Sumber : http://ohtidak.com/

Kalau nak belagak jadi orang kaya pun boleh , Toyota Camry 2,4 liter boleh dibeli dengan harga RM 65, 000.00. Pergh harga MYVI tu. So kalian tak yah lah kot beli kereta sekarang, tunggu je sampai bulan Mei ni okey.

Mana tau semua orang kaya boleh kumpul kereta banyak-banyak.  Orang sederhana pula, silap-silap boleh beli BMW. Orang kampung pula, kebulur mati tak makan. Pasal semua barang jadi naik. Itu pun kalau minyak naik.

P/s : Jangan saman aku, aku just baca maklumat minyak naik, so aku nak kongsi dengan para pembaca di blog aku ini. Wassalam.

Rabu, 20 Januari 2010

Lirik Puitis 8 : Hujan Air Mata (Mengenang Palestin)


Bayangkanlah lamanmu berhias api
Sampai bila rumahmu mampu berdiri
Sebelum
Dirimu dipunahkan

Bayangkanlah lahirmu ke alam ini
Sampai akhir hayatmu masih merintih
Menagih
Kedamaian

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang
Keinsanan

Bayangkanlah lautmu dilanda taufan
Sampai bila layarmu mampu bertahan
Sebelum
Kau tenggelam

Bayangkanlah jagamu tak pernah aman
Sampai malam lenamu rasa terancam
Kau dalam
Ketakutan

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang
Keinsanan

Mana hilang kasih sayang diberikan Tuhan
Pada kita insan
Hingga kita biar saja
Hujan air mata yang melimpah

By : XPDC




Selasa, 19 Januari 2010

Jom Baca Hadis : Siri 17, Kefardhuan, batasan yang ditetapkan Allah.

Dari Abi Thaa'labah al-Khusyanni Jursum bin Basyir r.a., dari Rasullah s.a.w katanya :

"Sesungguhnya Allah Taala telah memfardhukan beberapa fardhu, maka janganlah kamu mensia-siakannya. Dan Dia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampuinya. Dan Dia telah mengharamkan segala sesuatu, maka janganlah kamu mencerobohinya. Dan Dia telah diamkan segala sesuatu sebagai rahmat bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya.

( Hadis Hasan Riwayat ad-Daraquthi dan selainnya )

Isnin, 18 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 53 : Bertolong-tolongan di dalam perkara kebajikan.

Entahlah semenjak semalam kepala aku terasa sungguh berat sekali, sehingga membuatkan aku agak berat untuk aku pergi ke pejabat pagi tadi. Aku hanya mengandaikan mungkin badan terlalu letih berikutan semalam dari pagi sampai maghrib membantu sahabat lamaku berpindah rumah dari Putrajaya ke area rumah yang berhampiran dengan Alamanda.

Alhamdulillah, aku Pullah dan Azim dapat membantu Kashful dan abangnya Cikgu Adli yang berkebetulan akan mendirikan rumahtangga pada Sabtu ini. Sampai sahaja kami di rumhanya, kami terus naik ke rumahnya di tingkat 2, peh alhamdulilah nasib baik tingkat 2 je. Dibualah kalau tingkat 10 ke, boleh mati woo. hehe

Ibunda dan abang-abang Kashful melayan kami dengan ramah  mesra dan siap dihidangkan dengan minuman serta makanan tenghari. Kira-kira jam 5.00pm selesai proses perpindahan barang-barang. Lalu kami terus menuju ke Bangi, ini kerana Pullah ada sedikit hal yang memerlukan dia kesana. Lalu, Azim terus memandu lori 3 tan kepunyaanya ke Bangi.

Sampai sahaja di Bangi, Pullah terus menyelesaikan kerja-kerjanya, lalu aku dan Azim pun cubalah mencari-cari sesuatu bahan yang boleh dikunyah. Kami ternampak sebuah gerai pisang goreng, Azim terus memberhentikan lorinya. Sedang asyik mengorder pisang dan cempedak goreng, tiba-tiba abang yang jual pisang goreng itu bertanya dari mana, hendak kemana? Azim pun menceritakanlah bagaimana perjalanan kami.

Memang sudah hidup ini ditakdirkan Allah, setelah rancak berborak dengan abang pisang goreng tu, dia bertanya dengan Azim berapakah nombor Azim ini kerana beliau ingin berpindah rumah pada hujung bulan ini, katanya. Dalam hatiku, sudah ditetapkan rezeki setiap manusia itu, yang dijadikan cerita rezeki Azim sudah ada di Bangi.

Setelah selesai urusan si Pullah, kami meneruskan perjalanan pulang kerana sudah menjelang maghrib. Kami melalui Jln Sg. Besi, kala itu hujan turun dengan lebat. Tiba-tiba kami nampak sebuah kereta kancil merah berhenti di tengah-tengah jalan. Kami segera turun dari lori bertanya tentang keadaan kereta tersebut. Seorang pemuda memberitahu keretanya mati tiba-tiba dan beliau tidak mampu untuk menolak seorang lebih-lebih lagi saat itu hujan turun dengan lebat. Kami pun membantu dengan menolak kereta tersebut ke bauh jalan. Kemudian, kami terus pulang ke Shah Alam.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.43pm
18-1-2010
Shah Alam

P/s : Jika kalian ingin berpindah rumah, mengalihkan barang-barang pejabat dan sebagainya, area Lembah Klang ataupun selainnya, bolehlah menghubungi Azim : +60173387892.

Jumaat, 15 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 52 : Amanah yang dipertanggungjawabkan.


Rakan-rakan seperjuangan, dari kiri Hj Wafiy, Hilmi, al-Fadhil Ust Hj Mohamad, Penulis dan Iqmal.

Pada jam 10.30am tadi seperti biasa selepas Ustaz Amin selepas habis mengajar akan masuk ke pejabat. Setiba sahaja beliau masuk ke dalam pejabat, aku terus bersalaman dengan dia. Nampaknya hari ini muka beliau kelihatan tenang sekali. Ini berikutan masalah-masalah yang begitu besar telah pun selesa, alhamdulilah.

Kemudian aku terus menunjukkan hasil kerjaku yang 50 % telah selesai tentang buku sifat solat Nabi yang insyallah akan diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Setelah aku menunjukkan kerja tersebut, beliau hanya tersenyum lalu aku terus menceritakan tentang soalan-soalan yang beliau pertanggungjawabkan kepada aku untuk menjawabnya.

Lalu beliau terus berkata, "alhamdulilah jawab dengan amanah, dan blog anta perlu berhati-hati dalam setiap entri ini kerana takut nanti beliau yang akan mendapat fitnah akibat angkara dari aku. Aku menerima amanah tersebut dengan penu rasa tanggungjawab, alhamdulilah.

Terkenang aku seketika sewaktu mula-mula ingin membuat blog, "al-Haqir ila Robbihi" adalah sebuah nama yang diberikan oleh beliau. "Ustaz insyallah aku akan mencuba sehabis baik dan beramanah dalam bidang ilmu, ustaz doakan perjalanan perjuanganku kerna aku ingin menelusuri perjalanan perjuanganmu," bisik hati kecilku. Amin..

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.57pm
15-1-2010
Shah Alam

Pautan Semasa 23 : Gerhana Matahari Separa.



Saat aku menulis kini, sedang berlaku gerhana matahari separa sehingga jam 5pm. Oleh itu marilah sama-sama kita menunaikan solat sunat gerhana matahari. Menghayati sunnahtullah yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta.. Wassalam...

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.18pm
15-1-2010
Shah Alam

Selasa, 12 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 51 : Tatkala kaki melangkah ke syurga.

Sepanjang hari setiap orang dikalangan kita mungkin sibuk dengan tugasan harian. Ada yang bertugas dipejabat paginya, petang dan malamnya bertugas disisi keluarga dan suami. Mungkin ada sahabat kita yang sibuk menjadi pendidik bagi anak bangsa. Kalau pemimpin pula sibuk dengan menjaga kebajikan masyarakat. Tidak kurangnya dengan diri aku sendiri.

Kadang-kala kita secara tak sengaja akan melemparkan keluhan yang mengomel hati dan perasaan. "Asyik-asyik kerja". Itulah lumrah hidup manusia. Itu tidak campur lagi dalam bab pengurusan akhirat kita. Selaku khalifah dimuka bumi ini, kita tidak dapat lari dari urusan keduniaan dan keakhiratan. Kita dituntut mencari dunia untuk dijadikan jambatan ke akhirat.

Dalam seharian kita mencari dunia, kita juga perlu solat, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Mungkin itulah maqasid (tujuan) Allah s.w.t mengutuskan kita ke dunia untuk menjadi khalifah dimuka bumi-Nya pada siang hari, dan menjadi seorang ahli a'bid (ahli ibadah) pada malam harinya.

Teringat aku akan kata-kata ustaz ku sewaktu sekolah dulu, "pernah suatu hari seorang anak murid Imam Abu Hanifah (kalau tak silap aku) bertanya kepada beliau, ' Ya tuan guruku, kita ni asyik belajar, kerja, beribadah sahaja,bila masa kita nak berehat?". Lalu beliau menjawab, "Tatkala kedua kaki mu melangkah masuk ke dalam syurga, itulah rehat yang sebenarnya".

Tidak dilupakan jua, seperti kata Imam as-Syahid Hasan al-Banna, pernah berkata,"umur kita sedikit di dunia ini, tapi urusan kita terlalu banyak,".Allahua'lam.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12-1-2010
12.47am
Shah Alam

Jumaat, 8 Januari 2010

Tazkiyatul Nafs 2 : Mencari dunia yang tidak pernah berkesudahan.



Secara jujur apabila melihat gambar di atas, rata-rata ramai dikalangan manusia memang inginkan kereta yang mewah tidak terkecuali aku sendiri. Lebih-lebih lagi kereta itu adalah bmw macam gambar kat atas tu.Dan apabila mempunyai kereta sedemikian maka hati mulalah rasa bongkak, riak dan sebagainya. Berapa banyak tuan emupunya bmx ini atau kereta mewah yang memparkirkan kereta mereka diparkir masjid untuk menunaikan solat jemaah..?


Tidak kurang juga gambar rumah ini, setiap orang tidak lari dari berkeinginan mahukan rumah yang besar sambil dijaga pak guard yang dibayar gajinya. Bila rumah besar, jiran-jiran sebelah sudah mula tidak ditegurnya. Hilanglah adat memberi kuih pada waktu petang, hilanglah adat bertukar-tukar lauk sesama jiran.



Sedarkah kita, semewah-mewah kenderaan kita di dunia tidak mampu untuk di isikan jenazah kita sendiri untuk dibawa ke kubur. Hanya van jenazah yang serba kekurangan ini yang kita jadikan kenderaan untuk menghantar kita ke alam yang lebih abadi.



Berapa tingkat rumah kita di dunia, berapa banyak bilik di rumah kita, berapa pak guard yang menjaga rumah kita di dunia, sampai masa kita ke kubur semua kita tinggalkan. Tiada lagi rumah yang bertingkat, tiada lagi bilik tidur, ruang tamu, ruang dapur, bilik study. bilik air dan sebagainya. Tinggallah seorang diri tanpa ditemani body guard, pak guard, isteri, anak dan handphone yang tidak pernah kita tinggalkan walau seminit kerana takut terlepas bisnes yang berjuta-juta. Allahua'lam.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.25am
8-1-2010
Shah Alam

Selasa, 5 Januari 2010

Jom Baca Hadis : Siri 16, Amalan menjadi sedekah.

Dari Abi Hurairah r.a katanya : Telah bersabda Rasullah s.a.w : Tiap-tiap anggota daripada manusia sedekah atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang yang berbalah adalah menjadi sedekah, dan engkau menolong seseorang lelaki yang akan berangkat naik ke atas binatang  (kenderaannya) ataupun engkau menolong mengangkat baginya barang-barangnya ke atasnya adalah menjadi sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga menjadi sedekah.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Isnin, 4 Januari 2010

Pautan Semasa 22 : Kalimah Allah yang mulia.

Sehingga malam tadi masih hangat diperdebatkan tentang penggunaan kalimah Allah bagi agama lain selain umat Islam di Malaysia ini. Masing-masing membawa hujah untuk mempertahankan agar kalimah Allah hanya untuk orang Islam sahaja. Mungkin ini adalah perkara baru bagi umat Islam di Malaysia ini. 


Aku telah melalui pengalaman ini sewaktu kuliah di Medan. Di Indonesia, agama Kristian menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan Tuhan mereka. Mungkin di Indonesia sudah tidak menjadi suatu perkara yang pelik lagi. Disebalik perkara yang sedang berlaku ini, aku juga bersetuju dengan beberapa pendapat orang ulama' yang menyatakan pada hukum asalnya, tidak salah bagi selain penganut Islam menggunakan kalimah Allah lebih-lebih lagi ia agama samawi walaupun ia telah disesatkan. 


Akan tetapi aku tidak bersetuju untuk perlaksanaan penggunaan kalimah itu bagi orang selain Islam. Ini kerana berdasarkan pengalaman aku sepanjang di Medan, apabila agama lain mengeluarkan risalah keagamaan takut ia menjadi kecelaruan kepada penganut agama Islam yang kurang ilmu pengetahuan tentang agama Islam. Atau yang sedemikian akan berdakwah kepada umat Islam dengan bertopengkan kalimah Allah semata-mata. 


Tapi... Kalau sudah menjadi ketentuan yang ditentukan oleh Allah, jika orang Kristian ini boleh pakai kalimah Allah berdasarkan semangat "Satu Malaysia Satu Kalimah", maka jabatan agama, majlis agama, ustaz-ustaz, ulama'-ulama', menteri-menteri atau mereka yang sibuk buat demontrasi membangkang penggunaan kalimah Allah tu perlulah memahamkan apa itu Islam kepada penganut Islam dan dakwah pemahaman Islam perlu dijalankan dengan lebih banyak, terbuka dan lebih meluas. 


Apa yang paling penting, jika kita sayangkan kalimah Allah itu dan tidak mahu penganut agama lain memakainya, ini secara langsung bermakna kita sayangkan Allah dan secara automatik kita sayangkan syariat yang Allah turunkan kepada kita. Maka kita tidak boleh mengenepikan hukum-hukum yang Allah turunkan dan kita perlu jalankan jangan satu pun kita abaikan dan meremehkan. Allahua'alam.


al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.30am
4-1-2010
Shah Alam

Sabtu, 2 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 50 : Dakwah Santai di Ambang Tahun Baru 2010.

Alhamdulillah, program yang kami rencanakan berjalan dengan lancar. Pada malam 31-12-2009 tepat jam 11.15pm aku dapat mengumpulkan seramai 13 orang remaja sekitar 18 tahun yang lepasan SPM. Aku ditemani Fizan yang jauh datang dari Seremban seawal jam 5pm dan Azim sahabatku yang telah bersama semenjak semalam telah bersusah payah dalam misi ini. Alhmadulillah ia berjalan dengan lancar.

Setelah mengumpulkan remaja-remaja yang sanggup mengedarkan risalah kecil ini, kami berkumpul di hadapan SAMTAJ berhadapan dengan Dataran Bawah Shah Alam. Aku memberi sedikit penerangan kepada mereka tentang misi ini. Misi ini kami namakan "Dakwah Santai". Tujuannya hanyalah kecil sahaja iaitu mengedarkan risalah yang tidak seberapa.

Alhamdulilah kami dapat menyebarkan risalah kecil ini yang hanya aku fotostat sebanyak 200 keping sahaja. Bukan apa, maklumlah kali pertama cuba turun kepada masyarakat dalam menjalankan misi dakwah secara realiti. Ketika sesi penerangan, ramai dari adik-adik kita yang bertanya jika mereka dimarah dan sebagainya. Lalu aku menjawab, "dik, kita baru je kena marah, Rasullah sebar dakwah Islam kena baling tahi, kena baling batu lagi".Alhamdulillah, walaupun ia hanya sekadar seulas jawapan yang tidak seberapa, namun ia memberi semangat kepada adik-adik kita ini tadi.

Ketika kami mula menyebarkan risalah kecil ini, terdapat begitu banyak respon. Ada antaranya seperti golongan Mat rempit memberikan kerjasama yang baik, couple2 menjadi segan, yang membawa keluarga berasa senang dengan kehadiran kami, akan tetapi tidak dapat dinafikan ada juga yang bersikap ala-ala samseng, yang tidak mahu bersalam dengan kami, tidak mahu mengambil risalah kami, ada juga yang mengaku sudah mendapat risalah itu, ada juga yang bertanya dari pertubuhan mana, dari parti mana, dan sebagainya. Kami hanya menjawab dengan senyuman yang paling manis.

Berikut adalah isi risalah yang aku tuliskan dan difotostat untuk diedarkan :

Salam Maal Hijrah  1430 dan Salam Tahun Baru 2010 kepada sahabat yang sedang membaca risalah ini. Terima kasih kerana meluangkan beberapa minit untuk membaca risalah kecil yang tidak seberapa ini.

Alhamdulilah, ketika kalian sedang membaca risalah ini sedarilah wahai sahabatku, umur kita sudah meningkat dan bertambah setahun.

Janganlah kita alpa dengan tiupan lilin sewaktu menyambut parti hari kelahiran kita, Sesungguhnya meningkatnya umur kita maka secara tidak langsung makin dekat kita dengan kematian yang kita tidak ketahui bila kita dijemput untuk menghadap Allah s.w.t.

Sahabatku yang dikasihi, marilah kita bersama-sama berazam untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Sempena dengan tahun baru ini, marilah kita berubah dan berusaha untuk menjadi mukmin yang sejati.

Berdoalah kepada Allah s.w.t agar kita dimatikan dalam keadaan Islam yang haqiqi lagi sejati. Janganlah kita pernah berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak pernah membiarkan hambanya dalam keadaan bersendirian.

”Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.  (az-zariyat : 55)

-      Sungguh indah hidup bersyariatkan Islam -
-      Dakwah jalan kita -





al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2-1-2010
5.22am
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails