Ahad, 23 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 175 : Ah.. Aku jatuh cinta..



Alhamdulillah pada Jumaat yang lepas, aku diundang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong untuk berceramah sempena seminar Pra Perkahwinan bagi tingkatan lima disekolah tersebut.

Pihak sekolah meminta aku berkongsi ilmu tentang konsep Ah aku jatuh cinta ( menurut Islam kempen anti zina ). Alhamdulillah kesemuanya berjalan lancar. Respon yang terbaik dari pelajar-pelajar di sana. 



Sebelum berceramah aku bertanya kepada mereka apa itu yang dinamakan cinta? Semua orang bercinta, tetapi tidak pernah mengetahui definisi cinta.

Cinta merupakan sebuah perasaan yang dimiliki oleh setiap manusia. Bercinta itu tidaklah haram cuma suasana percintaan itu yang menjadikan ia haram. Lebih-lebih lagi percintaan sebelum berkahwin yang lebih mengundang banyak fitnah, berpegangan tangan dan sebagainya.


Cinta adalah amat berbeza dengan kalimah sayang, suka, rindu. Masing-masing mempunyai definisi yang berbeza.

Cinta terbahagi kepada beberapa kategori antaranya :

1. Cinta kepada Allah s.w.t.
2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w.
3. Cinta kepada ibu, ayah, keluarga dan sahabat handai.
4. Cinta kepada alam sekitar.
5. Cinta kepada kebendaan seperti kereta.



Mencari cinta sejati lagi haqiqi di sisi Islam perlu juga memandang pada sudut pemilihan lokasi. Bagaimana kita ingin mencari mutiara sedangkan kita berada ditepi jalan. Padahal mutiara ada didasar laut yang perlu diselam dengan lebih dalam. Yang ada ditepi jalan hanyalah pasir yang tidak dipandang manusia.

Begitulah kita, ingin mencari cinta yang diredhai Allah bukanlah dipasar malam, di perhentian bas, di facebook tetapi di masjid, di majlis-majlis ilmu yang diberkati Allah.


Dan sebaik-sebaik percintaan adalah bersandarkan kepada istikhorah kepada Allah. Biarlah Allah yang memilih untuk kita, kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.47pm
23-6-2013
Shah Alam

Sabtu, 15 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 174 : Ustaz, saya nak kahwin...



Seperti biasa aku keluar dari kelas menuju ke kereta, aku dihampiri seorang pemuda. Lalu memperkenalkan diri sebagai Bad. 

Bad : Ni ustaz Aliff ke?
Aku : Ya saya. Kenapa ya?
Bad : Camni ustaz, saya nak belajar mengaji dengan ustaz boleh tak?
Aku : Boleh tapi kenapa? Awak tak pandai mengaji ke?
Bad : Pandai ustaz. Cuma saya nak mula dari awallah ustaz. Saya nak kahwin tahun depan. Jadi tahun ni saya nak mula belajar balik pasal agama, mengaji dan fardhu ain, maklumlah ustaz nak jadi imam kepada keluargakan. Saya nak kena didik isteri saya nanti.
Aku : Subbahanallah. Bagus tu Bad. Tapi masa saya agak penuh sedikit. Kalau malam macam ni lepas kelas bolehlah. Cuma lewatlah pulak kan.
Bad : Takpe ustaz. Lewat tak jadi masalah. Yang penting ustaz sudi mengajar saya.
Aku : Kalau awak setuju kita mula besoklah jela.
Bad : Ok lah kalau begitu ustaz. Cuma pembayaran mengaji macam mana?
Aku : Pembayaran? Alah rilekslah.. Belajar dulu.. Tu sembang lain pun takpe. Yang penting belajar dulu ok..
Bad : Kalau macam tu, oklah ustaz. Saya ikut saja. Besok saya bawak muqaddam ye ustaz.
Aku : Ok takde masalah. Jumpa besok. Wassalam.

Dalam hatiku berkata, bagus dia ni. Dari sebelum kahwin dah prepare untuk akan datang. Moga Allah permudahlan urusan dia. Amin. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.22am
15-6-2013
Shah Alam 

Rabu, 12 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 173 : Kembara ke Pulau Pangkor.



Alhamdulillah pada 6-6-2013 yang lalu, aku dan keluarga sempat beristirehat di Pulau Pangkor. Oleh kerana sudah lama tidak bercuti, kami merencana bercuti ke Pulau Pangkor.


Kami dari Shah Alam menuju ke Lumut dengan melalui jalan kampung. Dari Meru terus ke Kuala Selangor dan menuju ke Lumut. Untuk pengetahuan anda, kos tol hanya RM2.00 pergi dan balik kerana terpaksa melalui tol Sg. Rasah, Klang.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam, ini berikutan jalan kampung dan banyak juga lampu isyarat. Alhamdulillah kami sampai kira-kira jam 1pm di Jeti Lumut.

Sampai di Jeti Lumut kami memparkir kereta di Medan Letak kereta yang bertingkat. Untuk tiga hari, kita hanya perlu membayar harga parkir dengan harga RM18.50.

Kemudian itu kami menuju ke Jeti Lumut untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor. Harga tiket bagi kanak-kanak adalah RM5.00 dan dewasa RM10.00 sahaja. Tiket boleh digunakan pergi dan balik.



Perjalanan dalam feri mengambil masa lebih kurang 35minit. Kerana feri akan singgah dibeberapa pulau. Alhamdulillah kami tiba di Teluk Nipah. Teluk Nipah merupakan lokasi yang paling ramai dikunjungi kerana berdekatan dengan kedai makan, dan bolehlah dikata lokasi strategik. Harga teksi van dari jeti ke Teluk Nipah hanyalah RM20.00 sahaja.


Tentang chalet kami memilih antara yang termurah iaitu di Lyana Villa, untuk satu malam dengan harga RM95.00 sahaja. Chaletnya agak menarik kerana dibenarkan memasak.

Kemudian kami ke snorkling, untuk satu bot harganya RM70.00. Dan kami dibawa singgah beberapa bentuk batu yang unik, antaranya bentuk buaya, ikan dan sebagainya.


Apa yang menyedihkan, kala ini, air dilaut Pangkor sungguh menyedihkan. Kelihatan sudah mula keruh. Masyarakat disitu tidak mengendahkan tentang penjagaan ekosistem sekeliling. Banyak sampah sarap dilaut, dan dipesisir pantai. Mungkin lagi 10 tahun lagi, Pangkor sudah tidak sesuai untuk dijadikan tempat bercuti.

Jika anda ingin mengelilingi pulau, anda hanya perlu menyuruh hotel atau chalet menelefon teksi van sahaja. Bayaran untuk mengelilingi pulau hanyalah RM70.00 sahaja. 





Anda akan dibawa melihat tempat-tempat yang bersejarah seperti Kota Belanda, Batu Bersurat, kilang satay, kilang pembuatan feri, bot dan lain-lain lagi.


Apa yang tidak menariknya, di Pulau Pangkor harga makanan terlalu mahal. Kami bersarapan pagi 5 orang dan hanya makan nasi lemak kosong dan minum berharga RM48.50. Kemungkinan kami pergi pada musim cuti sekolah, jadi mereka menyembelih kami agaknyalah.





Cuma pandangan aku, kerajaan negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak perlu tegas dan melaksanakan etika mandi dipantai. Kelihatan perempuan melayu Islam sudah tidak kelihatan keislamannya ketika mandi dilaut, lebih menimbulkan keghairahan pada pengunjung. 

ENAKMEN 3 TAHUN 1992 NEGERI PERAK
ENAKMEN JENAYAH (SYARIAH) 1992

BAHAGIAN VI - KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN MARUAH DIRI


Seksyen 56. Mendedahkan tubuh, di tempat awam.


Seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Akhir kata, percutian ke Pulau Pangkor boleh dikatakan percutian bajet. Cuma hati-hati bajet anda kemungkinan besar boleh lari disebabkan faktor mahalnya harga makanan. Allahua'lam.




~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.30pm
12-6-2013
Shah Alam

Selasa, 4 Jun 2013

Lirik Puitis 32 : Nasuha...



Dengarlah insan satu cerita
tentang duka dan pahit perjalanan
tentang hina dan rapuh pertimbangan
tentang penyerahan pada Tuhan

Seorang gadis tersungkur
diranjang noda
kerana asyik mengejar
nikmat dunia

Demi lupanya pada Yang Kuasa   
dihujung kembara rasa berdosa
Ooo...Ooo...Ooo...Oooo...
    
Seorang pria terpesong dari kiblatnya
tapi sepanjang hayat
redha bertakwa
Demi takutnya pada Yang Kuasa
menangislah ia sepanjang malam
    
Mereka semua menghadap kiblat
menadah tangan kudus airmata
memohon pengampunan dari-Nya
atas dosa sebagai manusia

By : Barongan 

Isnin, 3 Jun 2013

Coretan Yang Berkelana 172 : Daurah Periwayatan Kitab Muwatho'.



Alhamdulillah selama beberapa hari majlis pembacaan hadis kitab muwatho' bersama dengan Syeikh A'wad al-Manqush selesai.

Majlis ini berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pembacaan hadis sebanyak 1843 hadis dan syarahan dari Syeikh al-Manqush berjalan lancar. Alhamdulilah.


Selesai sesi pembacaan, syeikh menyampai ijazah dan sanad kepada kami. Mungkin ramai yang bertanya apa pentingnya sanad ini?

Di dalam ilmu Islam, sanad merupakan antara perkara penting. Kerana ia menunjukkan kita berguru dan bersusur galur sampai ke Rasulullah s.a.w.

Majlis mendengar hadis ini ada banyak kelebihannya, antaranya :

1. Kita akan berselawat kepada Rasulullah s.a.w apabila mendengar namanya.
2. Kita boleh memeriksa baris hadis yang ada dalam kitab kitab kita, boleh jadi penerbit tersalah baris.
3. Mendengar kupasan hadis dari guru yang ahli.
4. Majlis ilmu merupakan taman-taman syurga.

Banyak lagi kelebihan yang ada. Ini hanyalah sebahagian sahaja. Muga kita semua dilimpahi rahmat Allah dan dikasihi Rasulullah s.a.w. Amin.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat lamaku, Kashful Anuar bin Minhat yang sudi menyediakan tempat tinggal dan membantu aku sewaktu berada di UKM. Jasamu Allah jua yang dapat membalas. Wassalam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.04pm
3-6-2013
Shah Alam

Khamis, 30 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 171 : Kawan yang binasa.



Sedang asyik aku membasuh kereta petang Ahad itu, tiba-tiba aku disapa seorang pemuda.

Pemuda : Assalamualaikum ust? Rajin basuh kereta?

Aku : Waalaikumussalam. Alah biasalah kereta kotor sikit. Eh kau bila keluar ( keluar penjara )?

Pemuda : Dah dekat sebulan dah ustaz. Ni tak tahu nak kerja apa ustaz. Semua tak nak terima aku pasal aku bekas banduan kan.

Aku : Kalau aku tanya sesuatu kau marah tak? Boleh tak jawab jujur?

Pemuda : Boleh ustaz. Tanyal jelah.

Aku : Betul ke memang kau mencuri? 

Pemuda : Tak ustaz. Sumpah demi Allah aku tak mencuri. Aku teraniaya. Dia orang perangkap aku ustaz. Kalau aku mencuri ustaz, takkanlah aku boleh tidur kat rumah macam biasa. Polis datang tangkap aku pun masa aku tengah tidur dalam rumah ustaz.

Aku : Ok lah, kalau kau dah cakap gitu, aku cayalah. Itu kenyataan dari mulut kau. Soal kau menipu, itu urusan kau dengan Allah. Macam mana pengalaman duduk dalam penjara?

Pemuda : Penjara ustaz ? Hahaha.. Bukan jadi baik. Makin samseng adalah ustaz. Setiap hari bergaduh bertumbuk. Nak makan pun bertumbuk. Nak tidur pun bertumbuk. Sampai naik lali dah badan aku ni ustaz.

Aku : Jadi kau macam mana sekarang? Dah rasa insaf ke lepas kena sebat dalam penjara? 

Pemuda : Insaf tu insaflah ustaz. Silap aku juga berkawan dengan orang tak elok. Pasal dia orang aku duduk dalam. Sekarang ni semua orang dah tak caya aku ustaz.

Aku : Alhamdulillah baguslah kalau dah insaf. Kita ni berkawan kena beringat sikit. Kawan dengan orang baik, insyallah kita akan terserap perangai baiknya. Kawan dengan penipu, kita akan terserap perangai menipunya. 

Pemuda : Tulah ustaz, aku tengah cuba jadi elok ni. Ustaz doakan aku ye.

Aku : Insyallah aku doakan. Ha dah nak maghrib ni. Jum siap-siap kita jumpa kat masjid ok.. 

Kami bersalaman dan berpisah. Teringat aku sebuah hadis nabi yang bermaksud :

" Berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan mendapat bau wanginya dan berkawan dengan pembuat besi kita akan dapat bau tengiknya ". Allahualam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.30pm
30-5-2013
Shah Alam

Isnin, 20 Mei 2013

Jom Baca Kitab 6 : Izharul Haq dan Injil Barnabas.


Mempelajari selok-belok cara dan kehidupan agama lain turut dianjurkan dalam Islam. Ia bertujuan agar kita dapat menghayati bahawa Islamlah merupakan agama yang paling mulia dan suci. 

Islam merupakan agama yang bersih dan murni dari sebarang gejala mensyirikkan ( menyekutukan ) Allah s.w.t.


Kita dituntut untuk menambah ilmu pengetahuan. Buku Izharul Haq ini amat sesuai untuk mereka-mereka yang berminat untuk mengkaji agama Kristian.

Di dalam buku ini, dinyatakan penyelewangan Bible dan kecelaruan yang ada di dalamnya.

Alhamdulillah buku ini sudah diterjemah dari kitab asal yang berbahasa arab.

Buku ini amat sesuai untuk mereka yang ingin menjadi pendakwah. Di samping itu, aku selitkan Injil Barnabas ini sebagai rujukan kepada anda untuk mengetahui isi Injil itu.


Jangan risau, Injil Barnabas tidaklah sesat, bahkan banyak kenyataan didalamnya yang menyokong Islam dan menyatakan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w kita. Di dalamnya terdapat kata pengantar oleh Sayid Muhammad Rasyid Ridha.

Moga ia bermanfaat buat kita semua. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.00pm
20-5-2013
Shah Alam

Sabtu, 18 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 170 : Kasih-Sayang Paderi..



Kisah ini berlaku kira-kira dua tahun yang lalu. Sewaktu aku pergi ke Sabah seminggu selepas bernikah.. Bulan madu la tu..haha..

Di Sabah, aku mengambil pulang sebaiknya. Banyak pengalaman yang aku kutip sewaktu di sana. Aku berkesempatan melawat sebuah gereja yang ada di Ranau. 


Sewaktu sampai di depan gereja, Tommy yang merupakan sahabat adikku terus mencari paderi untuk meminta kebenaran masuk ke dalam gereja.

Aku sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang ini, yelah selama hari ini sewaktu di universiti aku hanya belajar apa yang ada di dalam agama Kristian sahaja. 


Setelah mendapat kebenaran dari paderi, kami melangkah masuk. Isteriku bertanya, bang tak dosa ke masuk gereja? Aku menjawab, adakah kita sedang buat maksiat sekarang? Takkan.. Jadi dosa celah mananya?..hehehe

Setelah masuk kedalam, kami dihampiri oleh seorang sister  yang sedang mengemas gereja untuk program sembahyang besok pagi yakni hari ahad.


Sister menyambut kami dengan senyuman dan bertanya kami semua dari mana dan sebagainya. Sedang asyik berborak, baru aku perasaan yang sister itu tidak memakai kasut.

Segera aku berkata kepada isteri dan adikku agar menanggalkan kasut dan seraya meminta maaf kepada sister. Sister itu berkata, " eh takpa bah, pakai je kasut tu.." Aku hanya tersenyum. Hebat betul dakwah si sister ini.


Si sister itu bersemangat menceritakan tentang agama Kristiannya, dan terjadilah beberapa dialog antara aku dan dia. Aku mengambil kesempatan sebaiknya untuk bertanya segala apa yang aku telah pelajari dulu, tetapi aku tidak berdebat.

Dari ruangan sembahyang sampai la ke altar tempat ritual meminum anggur dan memakan roti. Kemudian kami dibawa ke bilik perkahwinan dan bilik pengampunan. Dan yang paling aku terkejut, sister itu dengan selambanya mengajak kami masuk ke dalam bilik persalinan paderi. Kami ditunjukkan kitab-kitab yang dipakai untuk memberi khutbah serta jubah-jubah persalinan paderi.


Setiap warna jubah memainkan peranan program yang diadakan. Dan aku dimaklumkan bahawa di Malaysia khususnya di Nusantara, Kitab Bible Indonesia lah yang menjadi rujukan kini.

Setelah kami berlegar-legar di dalam gereja, kami meminta maaf dan mengundur diri. Si sister mengucapkan selamat jalan kepada kami.


Sewaktu dalam kenderaan pulang ke hotel, benakku berkata, " Kristian merupakan agama yang penuh dengan kasih sayang, paderi-paderinya tidak pernah marah, maki jika ada penganut agamanya yang berzina dan melahirkan anak luar nikah, mereka dinasihati dengan penuh kasih sayang dengan berpegang bahawa  Tuhan itu maha pengampun.

Setiap kali habis sembahyang dipagi Ahad, paderi akan tunggu di pintu keluar untuk mengucapkan selamat jalan sebagai tanda menghargai mereka yang datang sembahyang".


Masjid kita??? Hurm.. Mungkin perlu direvolusi lagi agar makmun merasa seronok untuk ke masjid jika para imam, bilal, siak dan masjid itu mesra dengan makmum. Allahua'lam.







~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
9.04pm
18-5-2013
Shah Alam

Rabu, 15 Mei 2013

Jom Baca Hadis 47 : Bertimbang Rasa Terhadap Pengikut.



Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :

" Apabila seorang dari kamu menjadi imam solat berjemaah maka hendaklah ia meringkaskan solatnya, kerana ada dikalangan para makmum itu orang yang lemah, orang sakit, orang tua dan orang yang mempunyai hajat. Dan apabila seseorang dari kamu solat bersendirian, maka terserahlah kepadanya untuk memanjangkan solatnya. "

Riwayat Bukhari dan Muslim.


Isnin, 13 Mei 2013

Jom Baca Kitab 5 : Hidup Tanpa Dusta...



Hidup disekeliling kita penuh dengan pendustaan. Samada pendustaan secara zahir mahupun tersembunyi.

Islam mengajar kita menjauhi dan membuang jauh sifat dusta ini dari kehidupan kita.

Kadang-kala kita telah mengdoktrinkan amalan berdusta ini sejak anak-anak kita kecil lagi. 

Contohnya ketika mahu mendiamkan anak kita yang sedang berguling menangis di pasaraya. Kita akan mengatakan polis, polis, diam.. Nanti polis tu tangkap awak.

Kita memupuk pendustaan terhadap anak kita, sedangkan adakah perbuatan menangis itu sebuah jenayah?

Terkadang kita menemui orang yang sedaya upaya untuk mengingkari kebenaran sedangkan mereka itu telah terperangkap dalam fatamorgana dunia yang menipu.

Sering aku perhatikan, sikap fanatisme seseorang itu akan menyebabkan dia cuba sedaya-upaya menyembunyikan kebenaran.

Jadi, bagi pendapat aku buku Hidup Tanpa Dusta ini sesuai untuk kita semua baca agar kita bisa belajar bagaimana cara untuk menjauhi sikap pendustaan dan belajar menyatakan kebenaran, Allahua'lam.. ( Terima kasih Zaki belanja aku buku ini dengan baucer kau..)

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
6.03pm
13-5-2013
Shah Alam

Ahad, 12 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 169 : Ustaz apa itu malaikat?



Alhamdulillah semakin hari semakin banyak pembacaan dan kajian yang dilakukan oleh Tea dan kami sering bertemu untuk berdiskusi tentang apa itu Islam dan Iman.

Setiap kali pertemuan, Tea pasti akan bertanya soalan yang banyak. Melihat kesungguhan dia mengkaji Islam aku merasa sedih dengan anak melayu Islam yang pada hari ini sudah melalaikan apa yang diajar oleh Islam itu sendiri.

Buku yang dibaca oleh Tea.

" Ustaz saya ada soalan sikit la nak tanya dengan ustaz", tanya Tea kepadaku. Lalu aku menjawab, "tanya jelah  mana yang saya tahu saya akan cuba jawab dengan sebaiknya".

Tea : Ustaz apa itu malaikat ?
AG : Malaikat merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah. Cuma mereka tidak boleh dilihat dengan mata kepala kita Tea. Adapun malaikat itu Allah ciptakan mereka tanpa ada nafsu, mereka hanya mempunyai iman dan taat melaksanakan perintah Allah. 
Tea : Kenapa Saidina Umar itu mulia ya Ustaz?
AG : Saidina Umar sebelum memeluk Islam merupakan orang yang terlalu membenci Islam. Selepas dia memeluk Islam dia merupakan orang yang penting dalam Islam ketika dizaman itu. Allah memberi pengajaran kepada kita, seorang yang jahat pada waktu semalam, mungkin dia lebih mulia pada esok harinya Tea.
Tea : Ustaz kenapa ada perempuan Islam tak tutup aurat?
AG : Sebelum saya menjawab pertanyaan awak Tea, ada tak orang dari kalangan Budha yang tidak pergi sembahyang?
Tea : Ada ustaz. Kenapa ya?
AG : Sama juga macam kami orang Islam, ada orang Islam yang hanya Islam berdasarkan pada lisannya sahaja, tetapi tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh Islam, kerana mereka lalai dengan dunia yang menyuruh mereka menayangkan aurat agar kelihatan seksi dan cantik, Allahua'lam.
Tea : Oh, macam tu ye ustaz. Terima kasih ustaz.
AG : Sama-sama. Moga Allah memberikan hidayah Nya kepada kamu Tea.

Ini merupakan antara dialog kami berdua, yang sebenarnya banyak lagi soalan yang Tea tanyakan kepadaku. Selepas itu kami bersalaman dan berpisah. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.09pm
12-5-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails