Isnin, 25 Februari 2013

Coretan Yang Berkelana 162 : Jiranku bertudung...



Semenjak dua menjak ini, aku berkesempatan mencuci kereta sendiri dirumah. Sambil tu bolehlah menghirup udara petang yang damai lagi tenang. Dan isteriku pula mengendong anak kami untuk mengajar dia melihat dan mengenal dunia.

Secara kebetulan, lalu jiranku yang kebiasaanya memparkir kereta dihalaman rumahku. Kemungkinan petang itu dia pulang awal dari kerja kot, jadi terserempak kami.

Seperti biasa dia akan menegur kami sekeluarga paling tidak pun senyum menyapa. Apa yang menghairankanku, perwatakkannya kali ini agak lain.

Oh ya, dia sudah bertudung. Kerana sebelum ini dia tidak bertudung.. Hatiku mengucap " alhamdulillah ". Kami suami isteri berpandangan sesama kami lalu tersenyum .

Meskipun, ia memakai tudung akan tetapi memakai ia t-shirt lengan pendek. Bagiku ia bukan sebuah masalah. Kerana itu merupakan proses perubahan dia secara beransur-ansur.

Mungkin selama ini, dia hanya ada baju lengan pendek tidak ada lengan panjang. Mungkin selama ini dia hanya ada seluar jeans yang ketat. Secara lojiknya dia memerlukan duit untuk membeli pakaian baru yang lebih menutup aurat.

Atau kefahamannya tentang aurat hanya menutup rambut. Aku hairan melihat ustaz-ustaz yang suka mengecam dan mengkritik pelaku-pelaku maksiat atau mereka yang tidak menutup aurat.

Senang-senang saja menghantar mereka-mereka ini ke nereka. Kita dituntut membenci perbuatan maksiat itu, bukan membenci pelaku maksiat itu. Ia merupakan sebuah perkara yang berbeza.


Kenapa kita tidak menegur dengan kasih sayang. Islam itu datang dari nabi dengan akhlak dan bicara yang santun. Kenapa kita begitu mudah menghantar orang ke neraka. Apakah neraka itu kita yang empunya???

Islam dengan jelas menyuruh kita mencegah kemaksiatan atau kemungkaran dengan 3 cara :

1. Menggunakan kuasa atau pangkat yang dimiliki dalam sebuah organisasi.
2. Menegur dengan lisan, mengkritik dengan tulisan.
3. Berdoa didalam hati agar si pelaku maksiat itu berubah.

Apa-apa pun aku mendoakan jiran ku itu menutup aurat dengan sempurna pada suatu hari nanti. Muga Allah memberikan hidayah dan kekuatan kepadanya dan kepada kita semua. Amin.. Allahua'lam..

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
5.33pm
25-2-2013
Shah Alam

Ahad, 24 Februari 2013

Bedah Filem 3 : Perempuan Berkalung Sorban.



Perempuan Berkalung Sorban. Sebuah cerita yang sudah lama mengunjungi pawagam. Cuma aku baru berkesempatan menonton di televisyen. 

Pendapat aku, ini merupakan sebuah cerita yang menarik. Biar pun agak pahit pada kritikan yang terdapat didalamnya, secara jujur ku akui itulah yang berlaku pada sebilangan pemahaman watak orang yang beragama.

Bahasa yang lebih mudah, layak digelar jumud. Cerita ini mengkritik tindakan dan pemahaman orang-orang agama yang meletakkan wanita dibawah. Memang tidak dapat dinafikan lelaki itu paling tinggi dalam soal darjat dan hak kemasyarakatan.

Tetapi tidak bisa kita nafikan telah lahir wanita-wanita yang mulia, yang hebat dan terkenal dimuka dunia. Antaranya isteri Rasulullah s.a.w. iaitu A'isyah, Khadijah, isterinya Firaun Asiah dan tukang sisir rambut anak Firaun Masyitah, ibu Nabi Isa yakni Maryam.

Mereka ini merupakan wanita-wanita suci dan menjadi teladan yang baik bagi umat wanita masa kini. Selain memiliki kecekalan hati disadur pula kebijaksanaan mereka apa lagi dalam soal menguruskan rumah tangga.

Aku memuji cerita ini kerana ia mengangkat martabat wanita. Dan yang paling aku puji sikap Ustaz Khudori yang patut dicontohi oleh semua lelaki diluar sana khususnya aku. Sikapnya yang lunak dalam berdakwah dan mengeluarkan kata-kata nasihat yang baik merupakan contoh dakwah yang patut kita ikuti.

Akan tetapi ada beberapa perkara yang kurang aku senangi :

1. Annisa mengajak Ustaz Khudori berzina untuk melepaskan dirinya keluar dari kesengsaraan jumud itu.
2. Filem ini tidak membahaskan erti " Kebebasan" yang tepat.
3. Buku-buku yang diedarkan tidak dinyatakan.
4. Buku-buku yang diedarkan lebih merujuk kepada novel-novel cinta.

Mungkin itu hanyalah pendapat aku sahaja dan mungkin juga aku silap untuk memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarah filem tersebut. 

Cadanganku, jika kalian belum menonton filem ini tontonlah. Ia bisa membuka mata fikiran anda. Aku berikan 4 bintang setengah untuk hasil yang terbaik ini. Allahualam.


Perempuan Berkalung Sorban

~ Kembara Meraih Cinta iLahi~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.21pm
24-2-2013
Shah Alam

Khamis, 21 Februari 2013

Coretan Yang Berkelana 161 : Lain yang dicakap lain yang difaham...



Saat mendengar kuliah dimasjid itu, sang ustaz sedang berbicara tentang hukum makan babi. Sang ustaz menyatakan hukum sambil berkata, " Kita dibolehkan makan babi.....", tiba-tiba si pendengar sakit perut lantas keluar dari perkarangan masjid untuk menunaikan hajat.

Dengan cebisan ilmu yang didengarinya tadi, dalam perjalanan dia mengatakan " oh bolehlah kalau nak makan babi...".

Sedangkan yang sang ustaz ingin sampaikan adalah " Kita dibolehkan makan babi jika dalam keadaan darurat dengan syarat tidak ada suatu jenis makanan pun yang bisa dimakan lantaran peperangan atau tersesat di dalam hutan..".

Mungkin situasi diatas acap kali berlaku dalam kehidupan kita. Menjadi sebuah kesalahan dalam hidup manusia, apabila mendengar sebuah khabar atau berita atau potongan ayat Quran mahupun cebisan hadis dengan mendengarnya separuh-separuh.

Ini akan menjadikan kita berhukum dalam keadaan yang salah. Secara tidak langsung, apa yang mahu disampaikan oleh si penyampai sudah tidak tepat disisi pendengarnya.

Bertitik tolak dari perbuatan itulah lahirnya ilmu-ilmu yang boleh dikatakan sesat dan tidak menepati hukum syara'.

Perkara yang sedemikianlah yang menyebabkan aku takut kala aku mengajar atau berkongsikan ilmu. Ini kerana, lain yang aku sampaikan lain yang difahamnya.

Tidak kurang dari itu, si pendengar yang mempunyai sifat taksub dan fanatik terhadap sesuatu perkara yang tidak mahu mendengar pendapat orang lain. Lantaran disebabkan sifat dan ilmunya yang merasakan hanya dia sahaja yang betul.

Sering aku berdoa agar Allah menyampaikan ke dalam hati para pendengar seperti apa yang ingin aku sampaikan. Agar tidak wujud fitnah yang boleh menyebabkan perpecahan dan perkelahian. 

" Ya Allah jadikanlah kami orang yang beriman dan beramal dengan ilmu yang kami miliki Ya Allah ".. Amin.. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.08pm
21-2-2013
Shah Alam

Isnin, 18 Februari 2013

Coretan Yang Berkelana 160 : Kesukaran berdakwah pada keluarga..



Merasa terpanggil aku untuk menulis entri ini setelah melihat beberapa keping gambar anak-anak seorang ahli motivasi yang terkenal. Dan sebelum itu sempat juga aku melihat beberapa keping gambar anak-anak para pemimpin tertinggi di Malaysia.

Sudah menjadi bual bicara masyarakat, dengan mengatakan bagaimana menjadi pakar motivasi jika anak dan isteri pun tidak boleh dimotivasikan.

Justeru masyarakat mula mempertikaikan, " Bagaimana boleh menjadi pemimpin yang hebat jika anak dan isteri pun tidak boleh dipimpin kearah agama yang betul?

Semua ini bermain dibenak pemikiranku. Zaman sekarang manusia sudah mula hilang etika dan ketamadunan akhlak dengan menelajangkan kisah peribadi insan dibalik tabir kehidupan mereka.

Ops, sebelum itu teringat aku kisah fitnah yang berlalu tahun lepas berkaitan dengan kisah Ustaz Badrul Amin yang ditangkap kerana berkhalwat. Tidak kurang juga isu berkaitan Dato Seri Anwar yang difitnah meliwat. Terfikir aku, seandainya mereka tidak melakukan kesilapan itu? Bagaimana dosa orang yang memfitnah mereka? 

Akan tetapi, jika benar-benar melakukan perbuatan itu? Nah serahkan saja sama Allah.. Allah lah Yang Maha Membalas. Jika mereka bertaubat, mereka itu lebih mulia. Kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.

Sebelum kita berbicara lebih jauh lagi. Cuba kita renungi kisah bagaimana Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaum dan keluarganya.

Ternyata, orang yang membangkang beliau adalah anak dan isterinya. Sama halnya kisah Nabi Ibrahim a.s yang mana dakwahnya menyuruh meninggalkan ajaran menyembah berhala telah ditentang oleh ayahandanya sendiri.

Dan kisah yang paling menyayat hati, pabila Rasulullah s.a.w kita mula menyebarkan ajaran Islam ditentang dan dihina oleh bapa saudaranya sendiri Abu Jahal. Bahkan perhubungan kaum kerabat sudah dibuang jauh-jauh demi menyatakan keimanan pada berhala yang diberi nama al-Lata, al-Mana dan al-U'za.

Semua hal ini terkait rapat dengan kita. Bagaimana kita membentuk sahsiah keperibadian kita. Bagaimana akhlak kita sebagai orang Islam lagi beriman.

Apakah ini diajar oleh Rasulullah s.a.w.? Nyata sekali tidak. Tidak dinafikan bagaimana hebatnya seseorang itu diluar rumahnya, dia bisa memberi ceramah tanpa teks dengan berjam-jam. Dia bisa berdakwah kepada ratusan ribu orang. 

Selagi mana dia diberi gelaran sebagai manusia, dia tidak lari dari kelemahan. Sepayah-payah berdakwah untuk masyarakat luar, lebih payah untuk berdakwah kepada keluarga sendiri. Namun itulah realiti..

Semoga kita menjadi hamba Allah yang soleh yang dapat membawa keluarga dan masyarakat kita untuk mendaki tangga-tangga ke syurga. Amin....

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
5.48pm
18-2-2013
Shah Alam

Selasa, 5 Februari 2013

Jom Baca Hadis 44 : Lisan yang binasa...



Diriwayatkan dalam kitab al-Muwatho', karya Imam Malik dan kitab Tirmizi serta Ibnu Majah, dari Bilal Ibnu Al-Harits Al-Muzani r.a., Rasulullah s.a.w bersabda :

" Sesungguhnya manusia itu adakalanya mengucapkan perkataan yang menyebabkan keredhaan Allah yang tidak diduganya akan memperoleh hal itu, sehingga Allah menetapkan keredhaan baginya sampai hari pertemuan denganNya.

Dan sesungguhnya manusia itu adakalanya mengucapkan perkataan yang menyebabkan kemarahan Allah sedangkan ia tidak menduga akan melakukan hal itu, sehingga Allah menetapkan kemarahanNya sampai hari pertemuan denganNya."

Tirmizi mengolongkan sebagai hadis hasan sohih..

Isnin, 4 Februari 2013

Coretan Yang Berkelana 159 : Mungkin suatu hari nanti..



Pada minggu yang telah lalu, aku berkesempatan menziarahi pakcikku yang sakit akibat stroke @ angin ahmar. Sekadar perkongsian bersama, stroke adalah nama saintifik bagi darah beku dibadan dan otak yang mengakibatkan kita bisa lumpuh separuh badan.

Pada sudut Islam pula, ia dipanggil Rihul Ahmar  atau Angin Merah  yang lebih dikenali Angin Ahmar dalam panggilan orang melayu.

Penyakit ini telah ada pada zaman Nabi Sulaiman a.s lagi. Ia bertujuan menyerang manusia dan bertindak sebagai asbab  bagi kematian manusia.

Aku difahamkan oleh sepupuku, kala pakcikku sedang mengambil wudu' untuk menunaikan solat Dhuha ia terkena serangan tersebut.

Aku mengucap syukur yang panjang. Alhamdulillah. Alangkah indahnya kala kita diserang penyakit atau pun dijemput kematian didalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah. 


Terpandang aku tongkat yang dipakai pakcikku itu. Benak hatiku berkata, siapa sangka mungkin suatu hari nanti, aku juga akan memakai tongkat itu. Allahua'lam...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.36pm
4-2-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails