Jumaat, 11 Mei 2012

Coretan Yang Berkelana 135 : Semadikan daku bersama penghafaz al-Quran.



Telah termaktub dalam sejarah Islam, Rasullah s.a.w adalah orang yang pertama menghafaz al-Quran. Kemudian diikuti sahabat-sahabat sampailah sekarang.

Pada era 2012 ini, pondok-pondok, pusat-pusat tahfiz tumbuh bak cendawan selepas hujan. Mungkin masyarakat kita pada hari ini telah menyedari kelebihan orang menghafaz al-Quran.

Cuma yang anehnya, ada juga ibu-ayah yang tidak menutup aurat tetapi menghantar anak mereka ke sekolah menghafaz al-Quran. Mudah-mudahan ibu-ayah mereka diberikan hidayah..Amin..

Alhamdulillah, pada bulan lalu aku direzekikan Allah untuk menjadi pensyarah jemputan di Darul Quran, Jakim. Peluang yang aku dapati itu tidak aku persia-siakan dengan begitu sahaja. 

Ini kerana syafaat @ kelebihan duduk bersama dengan orang yang menghafaz al-Quran adalah terlalu besar disisi Allah.

Dapat bergaul dengan mereka. Sungguh suci muka mereka, perbualannya teratur dan kemas. Bicaranya halus dan lembut. Terasa segar dipagi hari mendengarkan lunakan suara mereka mendendangkan ayat-ayat al-Quran..Subbanallah...

Allah amat menyanjungi orang yang menghafaz al-Quran. Ini kerana menghafaz al-Quran adalah sebuah kurniaan yang tidak semua orang boleh dapat. Ia merupakan sebuah rahmat dari Allah yang diberikan  kepada orang yang terpilih lagi dicintaiNya.

Cuma... Apalah nilainya kalau sekadar menghafaz tetapi :

1. Tidak memahami maksudnya
2. Tidak mengamalkannya
3. Tidak melaksanakannya
4. Tidak menegakkan perjuangan al-Quran
5. Tidak menyatakan hukum yang ada di dalam al-Quran
6. Tidak berdakwah kepada orang lain
7. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik

Semulia-mulia oranga adalah orang yang menghafaz al-Quran dan memperjuangkan segala hukum yang ada didalam al-Quran. Dan dia tidak takutkan kebencian dari pemimpin, masyarakat mahupun rakyat yang dia takutkan hanya Allah s.w.t.. Allahua'lam.



~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.57pm
11-5-2012
Darul Quran, Kuala Kubu Bharu

Khamis, 26 April 2012

Coretan Yang Berkelana 134 : Mukmin itu bak "arowana"..



Mukmin dalam erti kata lain adalah orang yang beriman. Muslim bermakna orang islam. Seandainya seseorang itu hanya mengucap dua kalimah syahadah, tidak mendirikan solat, tidak menutup aurat maka dia belum lagi beriman dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya.

Mukmin ini bisa kita didefiniskan bak "arowana" atau lebih dikenali "ikan kelisa".1 Arowana ini amat bernilai dari telurnya hingga menjadi pembiak baka. Harganya bisa mencapai ribuan ringgit. 

Begitulah kita sebagai seorang muslim yang mukmin. Sejak dari kita dilahirkan dimuka bumi Allah sebagai khalifah hinggalah kita menutup mata, kita amat BERNILAI disisi Allah. Dengan syarat jika kita menuruti segala suruhanNya. 

Kekadang, timbul benak dihati mempersoalkan kenapa Allah menyuruh kita begini, kenapa Dia melarang kita begitu. Memang tidak dapat dinafikan lagi, setiap suruhan apatah lagi laranganNya mempunyai sebab dan pengajaran yang perlu dikaji.

Akan tetapi, ketahuilah.! Jawapan orang yang paling beriman tika ditanya mengapa dihanya menurut perintah Tuhannya? Dia menjawab, "Aku hanya seorang hamba yang tidak layak mempertikai setiap arahanNya". Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.16pm
26-4-2012
Shah Alam

Nota kaki :


Isnin, 23 April 2012

Renungan Sejenak 38 : Fatwa Oh Fatwa...



Hangat dan kecoh pada minggu ini berikutan dengan isu "PTPTN". Ada gerakan yang meminta ia dihapuskan, ada yang mempertahanan kewujudannya. Berbagai spekulasi yang berbangkit sehingga ada mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka.

Aku tidak ingin mengulas tentang isu "penghapusan PTPTN" ini. Cuma ingin memetik fatwa dari Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman :

"Hukumnya haram jika tidak membayar pinjaman termasuk Pinjaman Perbadanan Tabung Tinggi Nasional (PTPTN). Mengikut Islam, hukum bagi orang yang meminjam sama ada sesama sendiri, bank atau mana-mana institusi adalah wajib membayarnya. Haram hukumnya mengikut Islam dan telah berlaku kezaliman jika gagal membayar balik wang pinjaman."1

Tahniah Datuk Mufti di atas fatwa anda yang tulus ini. Aku mengucapkan syabas kerana anda sudah menjalankan agama dengan sebaiknya. Inilah perkara semulia agama menegakkan dalam syariat Allah dan Rasulnya.

Ini berikutan berdasarkan hadis junjungan mulia Rasullah s.a.w :

" Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW bersabda : Jiwa orang mukmin itu tergantung (tertahan) dengan hutangnya, sehingga hutang itu dibayar".2

Akan tetapi alangkah mulia kalau Sahibu Mufti mengeluarkan fatwa :

1. Haram faedah @ bunga @ riba pada PTPTN.
2. Haram mengadakan konsert yang bercampur lelaki perempuan.
3. Haram hukumnya pemimpin lelaki dan artis lelaki memakai RANTAI dan GELANG.
4. Haram hukumnya tidak mengikut hukum al-Quran dan sunnah.
5. Haram hukumnya semua perempuan di Malaysia yang Islam membuka aurat.
6. Haram menggunakan "public money" untuk kepentingan sendiri.
7. Haram hukumnya tidak berlaku adil pada media massa, padahal al-Quran menyuruh berlaku adil.
8. Haram hukumnya majlis anugerah yang membuka aurat dan separuh telanjang.
9. Haram hukumnya mengadakan pertandingan nyanyian, berjoget di saluran media massa.

Dan terlalu banyak lagi, hukum-hukum Islam yang aku kira Sahibu Mufti harus perjelaskan. Jadilah seperti Imam Nawawi r.a yang kisahnya terlalu masyhur di dalam kitab "Hadith 40". Pabila pemerintah meminta Imam Nawawi mengeluarkan fatwa, dia mengelak. Kerana.........  (Bacalah sendiri)... Allahua'lam.

aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.00pm
23-4-2012
Shah Alam

Nota kaki :

2. Riwayat Tirmizdi

Sabtu, 21 April 2012

Coretan Yang Berkelana 133 : Kahwin muda elak maksiat.


Minggu ini aku dihunjam dengan berbagai soalan yang berkaitan dengan "kahwin masa belajar". Kebanyakkan pelajar-pelajar dari sekitar diploma dan ijazah yang bertanyakan soalan yang sedemikian.

Mereka berhujah dengan dalil, kahwim muda ini dapat mengelakkan zina. Ini lebih dipersetujui oleh ajaran Islam itu sendiri.

Dan mereka bertanya pendapat aku sendiri bagaimana tentang perbahasan kahwin masa belajar..? Aku menjawab : 

1. Islam mengalakkan perkahwinan ini kerana dapat mengelakkan zina.
2. Tidak dinafikan, nabi berpesan jika tidak mampu berkahwin maka BERPUASALAH.
3. Perlu memikirkan tentang permasalah selepas kahwin, bukan hanya tempat melempias nafsu.
4. Apakah sudah cukup ilmu untuk mengemudi bahtera perkahwinan..?
5. Bagaimana soal nafkah kepada isteri dan anak jika mempunyai anak?
6. Apakah sudah istikhorah (yakni sudah muktamad) itukah pilihan hati kita?
7. Perlu diingatkan, ramai juga diluar sana yang dah berkahwin tetap juga berzina.
8. Islam tidak menyempitkan keadaan untuk kita berkahwin. Renunglah semasak-masaknya.

Tetapi, bagi IBU BAPA, MASYARAKAT, JABATAN AGAMA dan PEMIMPIN, jika anak remaja ini @ pelajar-pelajar ini sudah mampu untuk berkahwin, JANGANLAH DIPERSULITKAN. 

Bagi yang sudah siap siaga untuk bernikah ketika belajar, dipersilakan. Tetapi ingat, untuk mengelak zina bukan hanya dengan berkahwin. Tetapi mengingati Allah ada perkara yang paling UTAMA. Allahua'lam.


~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.21pm
21-4-2012
Shah Alam.

Rabu, 28 Mac 2012

Lirik Puitis 24 : Keliru...




Di tepian simpang ini
Sejenak aku terhenti
Terbayanglah bagaimana
Pengembaraanku bermula

Ku tinggalkan segala yang
Ku sayang dan ku cinta
Hanya untuk mencari
Satu identiti diri yang murni
Setelah terjerat dalam

Dilema aku mengerti
Bagaimana sukarnya
Mengenai diri sendiri

Hanyutlah aku dalam arus
Hidup yang tak menentu
Maka timbul kesedaran
Yang aku selama ini keliru

Ku pandukan cahayamu
Darimu ilahi
Aku bersujud memohon doa
Memohon rahmat, memohon restumu
Kau senangkanlah
Mudahkanlah perjalanan hidupku
Selama ini aku terpedaya
Dan keliru, keliru, keliru

By : Ramli Sarip

Khamis, 22 Mac 2012

Riwayat ulama tersohor 4 : Dr. Haron Din.



Dato' Dr. Haron bin Din (Jawi: هراون بن دين) dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis 



Pendidikan :
  §  Kolej Islam Klang (1962-1965) - Sijil Tertinggi Kolej
  §  Diploma Pendidikan Al-Azhar, Kaherah (1966-1968)
  §  M.A. Syariah dari Ain-Shams, Universiti Kaherah (1972-1974) - Ph.D Syariah
  §  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan beliau Profesor pada tahun 1986.
§  Beliau telah menulis banyak buku antaranya ialah, manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam, Hudud dalam Perundangan Islam dan banyak lagi.

Kerjaya :
  • Pensyarah
  • Profesor
  • Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
  • Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
  • Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
  • Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
  • Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
  • Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
  • Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
  • Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
  • Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
  • Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting
 Arena Politik :
§  Mula bergiat aktif dalam PAS sejak dari tahun 1974
§  Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
§  Ketua Penerangan PAS Pusat
§  Ahli Majlis Syura Ulamak
§  Timbalan Mursyidul Am PAS


Rabu, 21 Mac 2012

Sekadar Berkongsi 13 : Kata-kata Syed Mokhtar al-Bukhary...

" Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah "..

Ahad, 19 Februari 2012

Coretan Yang Berkelana 132 : Idolaku...


Alhamdulillah minggu lepas sempat pergi kuliah Ustaz Ismail Kamus di Surau at-Taqwa, Seksyen 7 Shah Alam. Banyak pengisian yang dibawa oleh beliau. Memang ada sesetengah orang berpendapat ceramah ustaz biasanya berulang-ulang.

Bagi aku apa salahnya kalau berulang. Kerana kalau kita dengar kali pertama pun belum tentu kita beramal dengan apa yang disampaikan. Beliau berpesan berberapa perkara :

1. Jangan tinggalkan solat sunat sebelum subuh
2. Jangan tinggalkan solat dhuha
3. Jangan tinggalkan solat sunat tahajud
4. Jangan tinggalkan solat sunat witir meskipun 1 rakaat
5. Banyakkan sedekah walaupun 10sen

Ustaz Ismail Kamus merupakan seorang ustaz yang aku kenali semenjak darjah 3 kira-kira tahun 1996. Wajahnya sering terpapar di Forum Perdana Ehwal Islam bersama gandingan Dr. Haron Din dan Dr. Hassan Ali. Tambahan pula aku tinggal dengan arwah atuk dan nenek. Apalagi, siaran agama adalah menjadi kewajiban untuk ditonton.

Kaset pertama yang aku beli ceramah beliau adalah "Syirik dan Akibatnya". Disisi aku, beliau adalah tokoh "Ulama Melayu". Ceramahnya santai dan berlawak. Dan yang paling menarik beliau suka memperbetulkan kebiasaan adat orang melayu walaupun sesetengah ustaz tidak bersetuju dengan kata-katanya.

Kalau dulu ceramah beliau akan memenuhkan masjid dengan kehadiran pendengar yang mencapai tahap ribuan. Kini zaman kegemilangan Ustaz Azhar Idrus.Alhamdulillah Allah hadirkan seorang lagi pendakwah yang akan membawa kita bersama-sama ke syurga.

Apa-apa pun kita perlu memandang apa yang dikata, bukan memandang siapa yang berkata. Alllahua'lam. 

Aku dan Ustaz Ismail Kamus.

Kembara Meraih Cinta iLahi
ibnumaulub
8.57pm
19-2-2012
Shah Alam

Rabu, 8 Februari 2012

Coretan Yang Berkelana 131 : Menziarahi nenek saudaraku...


Nikmat sihat adalah sebuah perkara yang sering kita pandang remeh dan kadang-kala kita tidak menyedarinya sehingga datang kepada kita sakit baru kita mula mengeluh dan mula rasa bersyukur sekiranya kita disihatkan semula.

Benarlah sabda junjungan besar kita di dalam sebuah hadis yang mafhumnya :

Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara :

1. Masa lapang sebelum sempit
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa hidup sebelum mati
4. Masa kaya sebelum miskin
5. Masa muda sebelum tua

Semalam aku sempat menziarahi nenek saudaraku yang berada di Greenwood, Gombak. Keadaannya sudah semakin uzur disebabkan penyakit Diabetis yang sudah berada ditahap paling kritikal.

Aku bersalam dengan dan memperkenalkan diri. Alhamdulillah dia masih ingat lagi cucu kepada arwah kakak iparnya ini. Aku duduk ditepinya sebentar bertanya khabar.

Timbul dalam sanubariku ini, bagaimanakah kesudahan aku nanti. Apakah aku akan melewati keadaan yang sebegini. Entah... Semua adalah urusan Allah. Aku mengharapkan aku 'pergi' dalam keadaan yang mudah dan diredhoi Allah Yang Empunya Alam ini. Amin..

Sebelum pulang, kami mendoakan beliau agar sembuh dan kembali seperti sediakala. Amin...



~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
7.04pm
7-2-2012
Greenwood, Gombak

Coretan Yang Berkelana 130 : Berkelana menyantaikan minda....


Hidup ini terlalu banyak cabaran dan liku-liku yang harus kita tempuhi. Kadang-kala wujud istilah "lari dari masalah". Setiap masalah dan cabaran mahupun dugaan harus diselesaikan dengan murni dan baik.

Teringatlah kita akan firman Allah, " tidak dibebankan seseorang itu dengan  sesuatu melainkan Aku tahu dia mampu menyelesaikannya.."

Cuma akal dan minda ini perlu berehat sebentar. Setelah berusaha dan berdoa kepada Yang Empunya Dunia ini, hati harus bertawakal kepadaNya, agar menyerahkan segala taqdir kepadaNya.

Setiap insan memiliki cara tersendiri melepaskan tekanan @ merehatkan minda. Aku dan teman-teman punyai cara yang tersendiri. Kami gemarkan memancing. Walaupun memancing ini sesetengah orang mengatakan membuang masa.

Namun bagi kami tidak sama sekali. Setelah joran dilemparkan. Kami berdiskusi dan berbincang tentang urusan ugama. Hal ini tampak lebih mudah dan santai.

Kerana, berbicara urusan agama tidak semestinya di masjid dan surau mahupun dalam kelas-kelas agama semata-mata. Nabi tidak pernah mengkhususkan dimanakah lokasi untuk membicarakan ilmu, yang nabi pesan supaya menyebarkan ilmu. Allahua'lam.





~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
9.47pm
6-2-2012
Kg. Bagan Tengkorak, 
Tanjung Karang.

Coretan Yang Berkelana 129 : Talaqi Moden...


Alhamdulillah azam tahun ni nak talaqi sehingga habis, insyallah. Bila bukak je Quran tengok tarikh last talaqi tu dia 25/2/2011. Rasa rugi sangat.

Ini berikutan kerana ustaz terlalu sibuk dan kami juga tidak mahu menganggu masa ustaz. Tambahan pula semenjak ustaz menjadi tenaga pengajar di Akademi al-Quran bagi subjek Qiraat. Kami terpaksa menunda kelas talaqi.

Talaqi dan bersanad merupakan perkara asas dalam menuntut ilmu mengikut tradisi ulama-ulama silam. Ini merupakan salah satu jalan ilmu yang berkat kerana susur jalur ilmu yang akan sampai ke Rasullah s.a.w.

Setelah setahun, alhamdulillah kini berkesempatan untuk bertalaqi semula. "Ya Allah Engkau rezekikanlah kami ilmu yang bermanfaat dan yang Engkau redhoi." Amin...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
ibnumaulub
11.30pm
2-2-2012
Kuala Kubu Baharu

Isnin, 30 Januari 2012

Coretan Yang Berkelana 128 : Meraikan anak yatim Nur Ikhlas, Kg. Kundang.


Teringat aku akan sebuah pesanan dari Rasullah :

Daripada Abu Umamah diceritakan bahawa Rasullah s.a.w bersabda yang maksudnya : 
" Barangsiapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah s.w.t, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barangsiapa berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada disyurga seperti ini (Rasullah mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya). Riwayat Ahmad.

Alhamdulilah semalam "team usroh" aku berjaya melaksanakan sebuah program bersama anak yatim. Ini berikutan dengan hadis yang tertera seperti di atas. Persiapan selama 2 minggu membuahkan hasil.

Alhamdulillah program berjalan seperti apa yang direncanakan. Bermula seawal jam 10am dan berakhir pada jam 5pm. Team usroh mengadakan program motivasi, LDK (latihan dalam kumpulan), dan beramah mesra dengan mereka.

Sedih rasa hati ini, pabila melihat mereka hidup tanpa melihat ayah dan ibunya. Kebanyakkan mereka diambil dari Kedah, Penang dan sekitar Kuala Lumpur.

Pabila memandang wajah mereka, hati ini menjadi terlalu bersyukur kerna aku masih lagi punyai ayah dan ibu. Aku dapat bermanja dan bermesra dengan mereka. Anak-anak ini?

Mereka hidup dengan berkongsi kasih pada mereka yang sudi melayan mereka. Mereka baru mula mengenal kehidupan. Perjalanan mereka masih panjang. Kami mendoakan agar mereka semua berjaya dunia dan akhirat. Amin... Insyallah..

Terima kasih tidak terhingga kepada Pengulu Batu Arang, Penghulu Kg. Kundang, Mak Salasiah, isteriku yang tercinta dan sahabat seperjuangan..... 









~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
9.59pm
30-1-2012
Kg. Melayu Kundang, Rawang

Selasa, 17 Januari 2012

Lirik Puitis 23 : Rapuh....




detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

By : Opick

Isnin, 9 Januari 2012

Sekadar Berkongsi 12 : Jom Belajar Bahasa Arab al-Quran.


Kursus Bahasa Arab Al-Quran..
Pada 14/1/2012
Hari Sabtu
Jam 10.30am
Bertempat di Wisma Mais, Tingkat 1, Sekysen 3, 40100 Shah Alam, Selangor. (Bersebelahan Mcdonalds Seksyen 3).

Sesi pengambilan pelajar baru. Penerangan tentang sistem bahasa arab al-Quran dan membincangkan 
tentang kesesuaian masa belajar mengikut pelajar.
Yuran bulanan RM100. Kelas Seminggu 2 jam. Wassalam..

Info lanjut sila hubungi : Ustaz Esam 0124380034

Khamis, 5 Januari 2012

Jom Baca Hadis 38 : Menutup Keaiban Orang Lain.



Daripada Abu Hurairah r.a berkata : 

Rasullah s.a.w bersabda :

" Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah s.w.t akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Dan Allah s.w.t sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya ".

Riwayat Muslim.

Selasa, 3 Januari 2012

Coretan Yang Berkelana 127 : Kunjungan ke Institut Jantung Negara.


Menjelang awal tahun baru, aku mendapat sebuah berita yang agak mendukacitakan. Ibu mertua kepada seorang sahabatku difahamkan telah mengalami serang jantung, dan beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Alhamdulillah Allah memberi keizinan kepada kami menziarahi ibu tersebut. Sampai sahaja dihospital kami bersalaman dan bertanya khabar.

Panjang lebar pengalaman kesakitan yang diceritakan oleh ibu tersebut. Kami mendengar dengan penuh teliti dan  menghayati kesakitan yang dialami oleh beliau.

Setelah mendengar cerita itu, aku merasakan terlalu bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik. Tak dapat dibayangkan bagaimana doktor memasukkan "kamera" ke dalam lengan hingga ke jantung untuk memeriksa keadaan jantung ibu itu.

" Ya Allah aku syukuri nikmat kesihatan kurniaan Mu.... "

Lantas aku teringat sebuah mafhum hadis, yakni beerti " Allah akan mengampunkan dosa orang yang sedang mengalami sakit dan menaikkan darjat si pesakit itu..

Segala apa yang dikurniakan Allah ada hikmah disebaliknya. Cuma akal kita tidak terjangkau untuk merenung hikmah itu. " Ya Allah Engkau sembuhkanlah ibunda kami Hamimah binti Utar, dan kembali kesihatannya seperti sedia kala... " Amin....





~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~ 
aL-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
8.51pm
3-1-2011
Institut Jantung Negara, KL

Khamis, 29 Disember 2011

Coretan Yang Berkelana 126 : Muhasabah penghujung tahun...


Pada cuti Krismas yang lalu, team usroh kami mengadakan rehlah @ percutian ke Port Dickson. Ini bertujuan untuk bermuhasabah pada hujung tahun. Kami mengadakan qiamulail dan berbincang tentang perjalanan team usroh ini pada tahun hadapan.

Benarlah pesan cerdik pandai, " jika kita ingin mengenali seseorang, kita perlulah bermusafir bersama dia, nescaya kita akan tahu sikap dan perangainya. "

Dengan bermusafir @ berjalan jauh ini, kita akan mengenali sikap sahabat kita yang telah lama kita bersahabat dengannya. Kita boleh mengenali lebih dalam apakah ia seorang pemurah, kendekut, mempunyai sifat berkira atau pun ringan tulang.

Bermusafir ini juga digalakan dalam Islam dengan mengambil peristiwa Nabi s.a.w kita diisra' dan mi'rajkan. Ini bertujuan untuk menghiburkan hati dan membawa pemikiran yang baru.

Alhamdulillah team usroh berjaya dengan selamat dari sudut pergi dan pulang serta program yang dirancang berjalan dengan sempurnanya. Insyallah program ini akan dijadikan agenda tahunan bagi memuhasabahkan diri untuk lebih berjaya dimasa akan datang. Allahua'lam.














~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
7.01pm
29-12-2011
Port Dickson, Negeri Sembilan

Related Posts with Thumbnails