Jumaat, 25 Januari 2013

Lirik Puitis 29 : Junjungan Mulia ( Maulid Nabi ).



Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci Kota Mekah
Hari yang mulia penuh syahadah
Bermulalah sebuah kisah

Malam isnin subuh yang indah
Dua belas rabiul’awal yang cerah
Dua puluh april tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah

Abdullah nama bapanya
Siti Aminah ibunya
Riang gembira menyambutnya
Lahirnya putra yang utama

Muhammad nama diberi
Gelaran yang terpuji
Nikmat Illahi sama disyukuri
Terima putra yang berbakti

Keadaan yatim anak mulia
Lahirnya bawa cahaya
Alam derita jadi gembira
Terima junjungan mulia

By : Al-Mizan

Selasa, 22 Januari 2013

Coretan Yang Berkelana 158 : Doa panjang si tua..



Sering kali terjadi jika imam yang mengepalai solat jemaah kita jika imamnya imam tua pasti doanya panjang. Berbeza dengan imam yang muda. Pasti doanya pendek.

Doa-doa yang panjang juga menyebabkan orang menjadi letih untuk menadah tangan. Lantaran kerana tidak mengerti apa yang dimintanya. Ini berikutan makmun tidak memahami bahasa arab.

Sebab itu, wujud trend sekarang yang mana ustaz-ustaz mula membaca doa dalam bahasa melayu agar yang mendengar doa itu dapat mengaminkan dengan penuh khusyuk dan memahami apa yang diminta.


Kenapa ya imam-imam tua sering membaca doa yang panjang? Kerana mereka merasakan mereka sudah tidak lama lagi hidup. Bila-bila saja mereka bakal dipanggil oleh Allah. Dengan sebab itu permintaan mereka terlalu banyak dan menyedari sudah banyak nikmat Allah yang mereka pakai.


Ini berbeza dengan imam yang muda. Yang suka membaca doa yang ringkas dan padat. Apakah ini amalan yang salah. Tidak.

Kedua-dua amalan adalah benar. Cuma yang menjadi masalah, jika doa yang panjang boleh menganggu urusan jemaah yang ingin cepat. Contohnya selepas solat jumaat , jemaah harus bergegas untuk masuk ke pejabat. Dikhuatirkan mereka telah menggunakan waktu kerja mereka.

Yang paling bagus jadi umat yang bersederhana. Sederhana dalam sudut ibadah dan keduniaan.. Allahua'lam..


Doa yang paling terbaik dan ringkas :


~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.10pm
22-1-2013
Shah Alam

Selasa, 15 Januari 2013

Coretan Yang Berkelana 157 : Antara akhlak dan alergi..


Islam dengan jelas menitikberatkan soal akhlak. Bukalah al-Quran mahupun hadis apalagi sirah kehidupan Rasulullah. Disana kita akan menemui lambakkan teks yang membicarakan soal akhlak.

Adab dan akhlak juga menjadi salah satu asbab Rasulullah s.a.w hadir ke muka bumi. Acap kali kita didendangkan dengan kisah akhlak Rasulullah kala baginda dilempar batu, dilempar tahi apalagi dicerca dan dimaki-hina.

Teringat aku akan sebuah hadis, kala Saidatina A'isyah r.a ditanya bagaimana akhlak Rasulullah s.a.w, beliau menjawab " Akhlak Rasulullah s.a.w adalah akhlak al-Quran " ( Mafhum Hadis)...

Namun apa yang terjadi kepadaku merupakan sebuah ujian. Alhamdulillah aku sering saja diundang untuk memberi kuliah @ berkongsi ilmu dan kadang-kala mengajar mengaji dirumah-rumah.

Tidak dinafikan mereka-mereka yang menjemputku sungguh beradab dan berakhlak mulia. Setelah dijemput diberi pula tempat duduk yang istimewa. Kadang-kala diberi sedikit cenderamata dan disulami dengan jemputan makanan ringan. Alhamdulillah.


Cuma, aku terdapat sedikit alergi pada ayam yang bisa membuat badanku gatal-gatal. Dan aku tidak bisa minum teh apalagi teh tarik yang akan menyebabkan tekakku perit lalu menjelmalah sakit asma ku.

Jika mereka bertanya sewaktu menghidangkan air, aku lebih suka menjawab air suam sahaja. Tetapi jika air teh sudah siap tersedia. Aku dengan slumber minum tanpa berfikir apa-apa. Walaupun sebentar nanti penyakit asma ku bakal tiba.


Semua itu aku lakukan hanya kerana satu sebab. Teringat aku kisah Rasulullah s.a.w kala diberi limau masam oleh seorang ibu tua. Rasulullah s.a.w. menjamah dengan muka yang manis tanpa berkerut sedikit pun demi menjaga hati sang ibu itu tadi.

Sama halnya dengan as-syahid Hassan al-Banna yang pernah dihidangkan air teh bercampur garam, beliau meminum dengan muka yang tenang dan tersenyum, demi menjaga hati tuan rumah yang telah menjemputnya.

Cuba kita perhatikan akhlak Rasulullah s.a.w. dan akhlak Hassan al-Banna yang terlalu menjaga hati orang lain agar mereka tidak berkecil hati.

Ia sebuah akhlak yang mulia. Inilah yang patut kita teladani agar kehidupan kita lebih harmoni, insyallah. Dengan bersifat sedemikian, kita lebih menjadi hamba yang bersyukur. Allahua'lam...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.55am
15-1-2013
Shah Alam

Jumaat, 11 Januari 2013

Jom Baca Hadis 43 : Dermawan yang disayangi Allah..



Rasulullah s.a.w bersabda :

" Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dari neraka. Orang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga, dan dekat dengan neraka. Sedangkan orang bodoh yang dermawan lebih dicintai Allah dari ahli ibadah yang bakhil. "

Riwayat al-Baihaqi dari Jabir.

Ahad, 6 Januari 2013

Coretan Yang Berkelana 156 : Alhamdulillah dia nak memeluk Islam..



Alhamdulillah selesai pulang mengajar semalam, ada seorang pemuda yang mengelarkan dirinya Tea ingin memeluk Islam. Lalu kami mengadakan sebuah pertemuan untuk berdiskusi dengan lebih lanjut.

Saat berjumpa, kami bersalaman dan bertanya khabar. Dia menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Ekoran dari bibit percintaannya dengan seorang wanita melayu yang beragama Islam.

Aku memberikan serba sedikit penerangan mengenai Islam dan berbicara soal ketuhanan. Ternyata dia seorang yang "freethinker" yakni tidak memeluk mana-mana kepercayaan meskipun ayah dan ibunya beragama Buddha.

Aku menyatakan bahawa kesemua agama memang mengajar manusia untuk menjadi baik. Tapi terdapat beberapa keistimewaan yang lebih terserlah pada agama Islam.

Contohnya membicarakan soal Tuhan. Pada pandangan Kristian mereka mempunyai tiga Tuhan, Buddha dan Hindu juga mempunyai beberapa Tuhan. Ini membezakan dengan agama Islam.

Kerana agama Islam hanya mempunyai satu Allah. Yakni Allah yang Esa tidak ada sebarang penambahan mahupun pengurangan Tuhan.

Bayangkanlah kalau sebuah syarikat mempunyai banyak bos. Pastinya syarikat itu akan menjadi huru-hara.  Kerana setiap bos mempunyai kerenah yang tersendiri. Pekerjanya akan pening untuk mengikut mana satu arahan. Dan yang terbaik apabila sebuah syarikat hanya mempunyai seorang bos, yang mana kesemua pekerjanya tertakluk pada satu arahan sahaja.

Sebelum berpisah, dia menunjukkan sebuah buku berkaitan dengan Islam yang sedang dibacanya. Lalu aku menyarankan agar dia terus membaca buku tersebut untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam. Seandaianya dia tidak mengerti, bisa saja dia menelefonku. 

Pesananku kepada dia, fahami Islam itu dengan sebenarnya carilah keindahan dan keistimewaan Islam, kemudian barulah memeluk Islam. Kerana Islam itu tidak ada paksaan. Yang paling penting jangan memeluk Islam sekadar rasa cinta mahu berkahwin, kerana cinta kepada manusia itu bisa pudar.. Allahua'lam,

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.26pm
6-1-2013
Shah Alam

Jumaat, 4 Januari 2013

Coretan Yang Berkelana 155 : Alhamdulillah Urusan Tauliah Selesai..



Alhamdulillah dengan kedatangan tahun baru 2013 ini, mudah-mudahan menjadi satu tahun yang terbaik buat diriku. Urusan tauliah mengajarku di Negeri Selangor telah diluluskan.

Aku beranggapan ini sebuah amanah yang Allah titipkan kepada aku untuk menyebarkan dakwah Islam dengan penuh bertanggungjawab. Insyallah.

Disamping itu aku berdoa agar Allah memberikan daku kekuatan, kesabaran dan ilmu yang bermanfaat untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat.

Kepada ibu, ayahku serta guru-guru dan sahabat handai tidak ketinggalan isteri dan anakku Farah Zulaikha ku utuskan Al-fatihah untuk kejayaan kita didunia dan diakhirat.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.55pm
4-1-2013
Shah Alam

Khamis, 3 Januari 2013

Coretan Yang Berkelana 154 : Diari 2013..




Alhamdulillah kita semua masih dipanjangkan umur oleh Yang Empunya Dunia ini. Masih bisa kita mencelikkan mata, menghela nafas yang kadang-kala lelah dek kesesakkan kota-raya
.
Alhamdulillah, dengan kurniaan umur yang diberi Allah, menjadi alasan yang kuat untuk kita bertaubat dari segala kesilapan yang telah kita lakukan.

Insyallah disini, aku akan berkongsi kepada kalian untuk azam 2013 yang bisa kita kerjakan bersama, insyallah.. Antara amalannya ;

1. Solat sunat fajar
2. Solat sunat dhuha
3. Mengaji al-Quran sehari 2 muka surat.
4. Solat sunat witir 1 rakaat.
5. Rajin sujud syukur.
6. Rajin membaca mathurat, hizib atau rotib.
7. Setiap bulan sedekah @ zakat 2.5% dari gaji.
8. Merajinkan diri ke majlis ilmu.
9. Merajinkan diri menziarahi keluarga dan sahabat handai.
10. Menghabiskan 2 buah buku dalam sebulan.
11. Membaca surah al-Mulk sebelum tidur.

Insyallah dengan beberapa perkongsian ini, akan menjadikan diri kita mukmin yg sejati lagi hakiki disisi Allah Robbul Jalil.. Amin..

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
Al-Haqir ila Robbihi
Ibnumaulub
12.50am
3-1-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails