Jumaat, 21 Disember 2012

Coretan Yang Berkelana 153 : Hadiah Hari Lahir...


Alhamdulilah... Aku masih diberi nafas oleh Allah kerana Dia tahu yang aku ini banyak dosa, lalu diberi kesempatan untuk aku meminta ampun di atas segala kesilapan aku yang kecil mahupun besar, yang disengajakan mahupun tidak sengaja...

Pada minggu yang lalu, ada sebuah keluarga atau lebih tepat anak muridku telah menghadiahkan aku 2 set kitab sempena hadiah hari lahir yang baru berlalu.


Kitab yang dihadiahkan adalah Tafsir al-Azhar 30 Juz ( Prof. Hamka) dan kitab fiqh Nailul Authar ( Imam as-Syaukani ). Alhamdulillah. Aku bersyukur sangat kepada Allah kerana mendapat hadiah ini.


Kepada yang menghadiahkan hadiah tersebut, aku mendoakan agar kalian sentiasa dibawah naungan rahmat Allah. Akan ku pergunakan kitab yang kalian hadiah untuk menjalankan misi dakwah kepada umat Islam. Allahualam..

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.39pm
21-12-2012
Shah Alam

Khamis, 20 Disember 2012

Coretan Yang Berkelana 152 : Dihempap jin...



Pada malam yang lalu, aku didatangi dua orang pemuda yang bertanya, " Ustaz saya selalu masa tidur rasa macam kena hempap..." Hantu ke jin ke apa ya ustaz?

Lalu aku menjawab tidak semua permasalahan yang berkaitan dengan benda yang tidak nampak boleh kita katakan jin atau makhluk halus. Ada kemungkinan ia sebuah masalah emosi atau halusinasi kita sendiri.

Boleh jadi juga, otot kita terasa kejang kerana keletihan dan menyebabkan kita berasa seolah-olah dihempap. Dan tidak dinafikan ada juga unsur-unsur makhluk halus yakni jin.

Apa yang bisa aku kongsikan adalah etika kita sebelum tidur. Bagaimana persiapan kita untuk mengadap "kematian yang bersifat sementara" itu.

Antara etikanya adalah :

1. " Apabila kamu mendatangi tempat tidur, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat "(1).
2. " Apabila salah seorang kamu akan tidur, maka kibaslah tempat tidurnya dengan hujung kain kerana sesungguhnya dia tidak tahu apa yang bakal menimpanya "(2).
3. Beristigfar 3 x.
4. Membaca surah al-fatihah, al-ikhlas, al-falaq dan an-nas.
5. Membaca ayat kursi.(3)
6. Mengucapkan syahadah
7. Berselawat ke atas Nabi s.a.w.
8. Membaca doa tidur.

Insyallah dengan amalan ringkas tersebut mohonlah kepada Allah agar kita dipelihara semasa tidur. Insyallah. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.16pm
20-12-2012
Shah Alam

Nota kaki :

1. Hadis riwayat Bukhari.
2. Hadis riwayat Bukhari
3. Hadis riwayat Bukhari

Ahad, 9 Disember 2012

Lirik Puitis 28 : Doa...



Hanya padaMu aku meminta
Sesungguhnya Kau pemurah
Ampuni segala dosaku..
Kesejahteraan,kedamaian,keimanan,ketaqwaan
hindarku dari Mu Tuhan
Selawat serta salam
buat Nabi junjungan kepada muslimin dan juga muslimat
Ya Allah Ya Tuhanku
aku mendengar seruan dan hanya kepadaMu ku beriman
KeranaMu aku disini
KepadaMu aku kembali
Apabila tiba saatnya nanti
Sehingga tiba detik itu
Ku bermohon hanya dariMu
Engkau peliharailah diriku
Dengan namaMu Allah Yang Agung
Yang Pengasih Yang Pengampun
kepadaMu ku berlindung 


By : Rahimah Rahim

Rabu, 28 November 2012

Jom Baca Hadis 42 : Hukum Duduk Bersila.



Dari Abu Juhaifah r.a ia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda :

" Aku tidak makan dengan duduk bersila "

Hadis Riwayat Bukhari
* Rujuk Bulughul Maram hadis no 1006.

P/s : Sekadar pencerahan, hadis diatas merujuk kepada tatacara Rasulullah s.a.w makan yakni tidak makan dengan duduk bersila. Hadis ini tidak menjadi larangan untuk orang melayu makan duduk bersila. Cuma menjadi sebuah isyarat untuk mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w dengan makan menaikkan kaki kanan duduk diatas tapak kaki kiri.


Isnin, 26 November 2012

Jom Baca Kitab 1 : Tasauf Moden




Kitab Tasuf Moden ini merupakan sebuah karya dari penulis yang terkenal di daerah Nusantara iaitu Buya Hamka. Aku menyarankan agar kalian turut membacanya. 

Kerana tulisannya banyak menyentuh hati naluri dan mengajar kita menjadi lebih zuhud pada dunia. Tidak ketinggalan, Buya Hamka telah memperincikan pengertian ; 

1. Apa itu bahagia? 
2. Apa itu kekayaan? 
3. Apa itu kemiskinan? 
4. Apa itu celaka? 

Cuma yang menjadi sedikit keberatan dalam tulisan beliau adalah perbahasan ahli falsafah. Tidak dapat tidak, pabila membicarakan  karya Buya Hamka kita tidak dapat lari dari membaca ulasannya tentang falsafah. 

Dunia sememangnya sudah mengerti bahawasanya Buya Hamka merupakan seorang tokoh falsafah yang ulung di Tanah Melayu. Sarananku, bacalah kitab ini. Kerana ia merupakan antara karya agung Buya Hamka dalam meniti arus kebahagian. Allahua'lam

~ Kembara Meraih Cinta iLahi~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.48pm
26-11-2012
Shah Alam

Coretan Yang Berkelana 151 : Selamat Pengantin Baru Afham dan Aisyah.




Alhamdulillah pada minggu lalu sahabat baikku telah mendirikan rumah tangga. Tahniahku ucapkan. Takku sangka pertemuan yang ku aturkan berjalan dengan kehendak Allah S.W.T.

Pada mulanya, ia hanya sebuah rancangan yang tidak disangka menjadi sebuah ikatan yang sah disisi Allah. Terima kasih kak Hazlina yang merupakan anak muridku yang memperkenalkan adiknya Aisyah kepada ku.

Lalu aku pertemukan dengan sahabatku Afham Afiq. Pertemuan itu telah diredhoi Allah. Dan kini mereka bergelar suami isteri. Tahniah Afham dan Aisyah. Cepat-cepat timang anak ok. Anak aku perlukan kawan..hehehe

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.11pm
26-11-2012
Shah Alam

Rabu, 14 November 2012

Pautan Semasa 53 : Misteri Gambar Maryam ditingkap SJMC...



Tingkap yang no 3 berderet panjang belah kanan.

Kelmarin, macam biasa rutin aku akan mengambil ibunda ku pulang kerja di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) atau sekarang lebih dikenali dengan Sime Darby Medical Centre.

Sebuah fenomena aneh telah berlaku semenjak Jumaat lepas. Iaitu bahagian utara hospital ditingkap belah atas kedapatan biasan gambar Mary memakai skirt menurut fahaman Kristian. Bagi fahaman Islam Mary ini dikenali dengan Maryam bundanya Nabi Isa.a.s.

Sengaja aku melihat cermin tersebut dah alang-alang ibundaku kerja disitukan. Sejujurnya aku mendapati tiada apa-apa melainkan kotoran cermin yang tidak dicuci.

Keadaan disana sudah semakin gawat dengan kedatangan penganut Kristian dari segenap pelusuk yang melakukan upacara sembahyang dah sebagainya. Sehingga pasukan RELA diminta bertugas disitu untuk memastikan jalanraya bergerak lancar.

Setelah aku amati, biasan gambar Mary itu hanya terlihat kalau matahari tegak itupun melalui lensa kamera.. Ibarat fatamorgana yang kita lihat sewaktu memandu dijalanraya kala tengahari terik.

Apa-apa pun, bagi pendapat aku tidak salah untuk penganut Kristian mempercayai bulat-bulat perkara tersebut. Kerana al-Quran dengan jelas merakamkan :

" Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku ". Surah al-Kafirun.

Apa yang penting, kita sebagai orang Islam tetap teguh dengan pendirian aqidah ahli sunnah wal jamaah disamping menjadi pendakwah seperti yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. Dan menjadi kewajiban bagi kita untuk mendoakan agar mereka memeluk Islam. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.24pm
14-11-2012
Subang Jaya


Isnin, 12 November 2012

Coretan Yang Berkelana 150 : Ulang Tahun Yang Pertama...




Alhamdulillah kelmarin 11-11-2012 merupakan ulang tahun pertama pernikahan aku dan isteri. Aku bersyukur sangat-sangat dengan kehadiran orang baru kami Farah Zulaikha yang menjadi penyeri di teratak usang kami.

Terasa hati ini begitu bersyukur mengenang nikmat dan kurniaan Allah yang tidak terhingga. Teringat aku akan sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria yang terlalu lambat dikurniakan Allah cahaya mata. Kerana dasar mereka itu orang yang beriman dan disayangi Allah. Lalu Allah menguji mereka sesuai dengan status kenabian mereka..


Segera aku berdoa, " Ya Allah jadikanlah keluargaku keluarga yang mawaddah dan rahmat, serta jadikanlah zuriatku zuriat yang soleh dan solehah agar mereka menjadi penjuang agamamu ya Allah..."

Kepada Farah Zulaikha, Buya dan Bunda doakan agar jadi anak yang baik taat pada agama dan cintakan Allah dan RasulNya... Amin...

Kepada isteriku... " Selamat ulangtahun pernikahan kita yang pertama". Terima kasih kerana menjaga maruah suamimu ini. Dan terima kasih menjaga aib suamimu ini. Walaubagaimana kehidupanku diluar, walau disanjung tinggi walau dihina dan dimaki.


Sesungguhnya engkau terlalu mengenali akan kelebihan dan kelemahanku ini. Aku berdoa agar engkau taat setia disamping ku.. Tekun menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita nanti. Didiklah mereka dengan agama yang telah aku ajari kepadamu selama hari ini.. Berbekal al-Quran dan sunnah yg menjadi pegangan kehidupan.. Amin.. Allahua'lam...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.40pm
12-11-2012
Shah Alam

Jumaat, 9 November 2012

Sekadar Berkongsi 19 : Bekal buat bakal suami dan isteri serta bakal ayah dan ibu.


Pada kali ini, aku ingin kongsikan antara beberapa buah buku yang aku sempat baca. Buku-buku ini lebih menjurus kepada konsep kekeluargaan. 

Yang mana, buku-buku ini lebih kepada arah motivasi dalam membina kebahagian sesebuah keluarga.

Di samping itu juga, diselit dengan ayat-ayat Quran yang merupakan ayat motivasi paling ulung di dunia ini. Tidak ketinggalan, latar belakang kehidupan orang-orang yang hebat.

Bagaimana kehidupan kekeluargaan orang-orang hebat dimata dunia ini. Mungkin sedikit sebanyak yang bisa kita kutip lalu menjadikannya sebagai sebuah modul untuk membentuk sebuah keluarga yang mawaddah dan rahmat disisi Allah S.W.T. Insyallah. Amin.






~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.25pm
18-11-2012
Shah Alam

Selasa, 6 November 2012

Coretan iLmiah 7 : Bicara Kamera AES...




Seminggu dua ini, hangat diperkatakan tentang isu Kamera AES. Kamera AES ini baru dipasang oleh pihak kerajaan dengan berpaksi penguatkuasaan dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak PDRM (Polis).

Ia dipasang dengan tujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan di atas jalan-raya. Ia merupakan sebuah inisiatif kerajaan untuk mendidik pemandu-pemandu di Malaysia.

Mungkin isu ini dibangkit melewati segenap pelusuk rakyat Malaysia. Ada yang mempolitikkan, ada yang menyokong, ada yang membangkang tidak kurang juga ada yang berpandang secara sinis dengan mengatakan pihak kerajaan ingin mengaut keuntungan dari rakyat.

Di sini, sukanya aku ingin dari sudut yang lain. Tidak mahu aku mencampuri urusan perbahasan di Parlimen kerana aku hanyalah rakyat marhaen yang tidak punya kuasa lisan yang mampu didengari oleh pihak berkuasa.

Cuma aku terpandang pada suatu sudut yang lebih murni untuk dikupas. Pemasangan kamera AES ini lebih wajar kalau pihak kerajaan menggantikan kamera CCTV yang dipasang seluruh Malaysia.

Kamera CCTV ini bisa dipasang diseluruh pejalan kaki, tempat parking, seluruh Bandar, seluruh masjid, seluruh jalan-raya, seluruh sekolah-sekolah rendah dan menengah, dipintu kelab-kelab malam, ditaman-taman bunga dan banyak lagi.

Kerana :-
1. Untuk mencegah peragut berleluasa dijalan-raya
2. Untuk mengelakkan jenayah penculikkan di sekolah
3. Untuk memantau siapa yang membuang sampah diatas jalan-raya
4. Untuk mengurangkan gejala “couple” ditaman bunga
5. Untuk mengelakkan kes kecurian kereta
6. Untuk melihat berapa ramai anak orang Islam yang masuk ke kelab malam

Dan banyak lagi tempat yang difikirkan harus dipasang CCTV ini. Seandainya kerajaan jujur dan telus dan menghargai nyawa rakyatnya dan keharmonian Islam. Kamera CCTV ini sudah harus dipasang untuk mendidik manusia yang tinggal di Malaysia yang harmoni ini. Allahualam.

~Kembara Meraih Cinta iLahi~
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.52pm
6-11-2012
Shah Alam


Isnin, 29 Oktober 2012

Coretan Yang Berkelana 149 : Alhamdulillah, kini aku bergelar 'ayah'.



Pada petang  21/10/2012 yang lalu, sewaktu mahu solat asar. Isteriku mengadu bahawa dia sakit perut yang amat sangat. Jadi aku bercadang membawa dia ke Hospital Sungai Buloh selepas maghrib.

Sampai sahaja di sana, kami mengisi borang. Kira-kira jam 9.30pm, isteriku dipanggil masuk ke dalam untuk diperiksa.

Aku menunggu tanpa khabar berita sehingga tepat jam 12.45am 22/10/2012, aku dipanggil ke dalam untuk melihat isteriku.

Masuk saja ke dalam wad, isteriku sudah terbaring dan dibantu oleh dua jururawat yang menyambut anakku. Segera aku memberi isteriku minum air selusuh yang dibaca oleh ustazku pada bulan lalu.

Alhamdulillah, tepat jam 12.50am, isteriku telah melahiran anak perempuan yang seberat 2.5kg. Lalu aku mengazankan dan mentahniknya dengan air zam-zam dan kurma yang telah ku sediakan di dalam beg.

Alhamdulillah, syukur aku kepada Allah Robbul Jalil. Isteriku selamat dan anakku lahir dalam keadaan normal. Lalu kami namakannya " Farah Zulaikha ".. 

Alhamdulillah kini aku telah bergelar ayah. Tanggungjawab dan amanah sudah semakin besar dan berat. Muga Allah membimbing kami dalam meniti tangga-tangga ke syurga. Amin...

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.55pm
29-10-2012
Shah Alam

Isnin, 15 Oktober 2012

Sekadar Berkongsi 18 : Korban di Palestin....




Yang berminat untuk membuat ibadah korban di Palestin, Kemboja dan Malaysia 
yang dikelola oleh Ustaz Muhamad.. 
Sila hubungi P.A beliau Aliya 019-600 3634

Ahad, 16 September 2012

Coretan Yang Berkelana 148 : Akal yang sihat dari tubuh badan yang sihat.



Pada Jumaat yang lalu aku mendapat undangan untuk berkongsi ilmu di sebuah syarikat swasta Irshad HR Consulting di Petaling Jaya. Mereka mengundang aku dan meminta untuk berkongsi pandangan Islam mengenai tajuk " Akal yang sihat dari tubuh badan yang sihat ".

Usai solat jumaat aku terus memacu kereta k esana. Cuma sedikit dukacita tersesat sedikit. Almaklumlah, orang tak biasa jalan KL ni.

Sampai sahaja di sana aku disambut dan terus memulakan program. Antara kupasan yang dapat aku sediakan :

1. Akal dan tubuh badan tidak dapat dipisahkan. Kerana Allah sendiri telah menukilkan di dalam firmannya "والله عزيز حكيم". 

2. Apalah nilainya kalau badan sihat tapi otaknya tidak cerdik untuk berfikir. Dan apalah faedahnya kalau otaknya menjangkau pemikiran PHD tetapi tubuh badannya lumpuh. Maka akal pemikirannya tidak bisa dimanfaatkan.

3. Islam mengiktiraf akal terlalu tinggi. Kerana ia membezakan antara manusia dengan haiwan.

4. Banyak di dalam al-Quran menyebut tentang افلا تعقلون, افلا تتفكرون.

5. Terdapat sebuah hadis nabi yang mafhumnya, " Mukmin yang kuat itu lebih dikasih Allah dari mukmin yang lemah ".

6. Islam mengalakkan bersukan dan bersenam. Terdapat hadis nabi yang menuntut untuk kita belajar berenang, memanah dan menunggang kuda.

7. Galakkan memakan makanan sunnah juga dituntut. Antaranya habbatus sauda, minyak zaitun, makan sedikit garam sebelum makan dan sebagainya.

8. Digalakkan juga makan sayur-sayuran dan ulam-ulaman serta buah-buahan.

9. Memperbanyakkan solat malam dapat membaik pulih sendi-sendi, urat saraf, penafasan otak dan memberi kesegaran pada mereka yang sering solat malam.

10. Memperbanyakkan mengaji al-Quran, dapat membantu dan mengelokkan pernafasan.

11. Rehat yang cukup dan berkualiti. Digalakkan tidur sebelum jam 12 malam. Insyallah bangun akan segar.

12. Banyakkan berdoa kepada Allah dengan meminta tubuh badan yang sihat.

13. Banyakkan bersedekah kerana jika menyimpan harta yang bukan haq kita menyebabkan kita boleh sakit.

14. Sering bersyukur dengan nikmat kesihatan yang telah diberikan oleh Allah. Allahua'lam.

al-Haqir ila Robbihi
~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
16-9-2012
5.40pm
Shah Alam

Khamis, 6 September 2012

Lirik Puitis 27 : Derma Bukan Tontonan...



Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi

Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan

Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan

Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji

By : Herma Tino

Rabu, 5 September 2012

Pautan Semasa 52 : Bicara Adab Dan Keadilan


Berbicara soal adab merupakan perkara yang paling tunjang didalam soal keIslaman dan soal ketamadunan manusia. Rasulullah sendiri diutus untuk membawa akhlaq mulia.

Namun terjadi beberapa perkara yang menyalahi soal adab dan ketamadunan pada malam kemerdekaan Malaysia yang ke 55 baru-baru ini.

Kedapatan beberapa manusia yang memijak gambar muka pemimpin kita. Ia sebuah akhlaq yang tidak mulia bahkan menyalahi sifat seorang manusia yang merdeka. Tidak kiralah sezalim mana pemimpin itu, bukan itu caranya Islam mengajar kita untuk melontarkan ketidak puas hati kita..

Sesungguhnya Islam mengajar kita cara bagaimana untuk kita menegur dan mengkritik pemimpin. Gunalah saluran yang tepat, dengan cara demikian ia menunjukkan cara kita berfikir dengan merdeka. Islam melarang kita menghina seseorang dengan memijak gambarnya, benderanya mahupun memijak simbol sesebuah agama.

Tetapi adalah amat malang jika peserta demonstrasi itu sahaja yang dikenakan tindakan. Malaysia perlulah bersifat adil. Tidak kira siapa yang memijak gambar siapa, MEREKA itu harus dikenakan dengan tindakan dengan neraca keadilan.

Janganlah kita sengaja membuat alpa dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah berdasarkan al-Quran yang mulia itu. Al-quran dengan jelas mengajar kita sifat "qisti" yakni keadilan.

Janganlah dihukum SEBAHAGIAN SAHAJA, lantas membiarkan yang lainnya. Allah amat melarang kita bersifat zalim apatah lagi bersifat tidak adil. 

Islam bangkit dalam membetulkan naluri keadilan kepada manusia. Islam membela sifat keadilan kerana itu adalah fitrah dalam ketamadunan manusia. Bersifat tidak adil hanya layak diertikan seperti binantang yang tidak mempunyai akal.

Kerana binatang hanya menggunakan naluri nafsu yang dikurniakan kepada mereka. Apalah erti manusia jika tidak ditunjangi antara akhlaq dan keadilan. Allahua'lam.







~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.59am
5-9-2012
Shah Alam

Selasa, 4 September 2012

Coretan Yang Berkelana 147 : Seminggu nak raya daku ceraikan dia..



Malam tadi macam biasalah. Bermula kisah kehidupan aku seperti yang dulu-dulu. Usai kelas bahasa arab, datang seorang abang bertanya kepadaku.

" Ustaz ada kelapangan sekarang tak? tanya abang itu.

" Eh takdelah bang, ada apa ya? tanya aku kepada dia.

" Sebenarnya ustaz saya dah bercerai dengan isteri saya seminggu lagi nak raya. Kalau ikutkan bulan sebelas ni, genap perkahwinan kami setahun, " abang itu memulakan ceritanya.

" Napa abang bercerai? tanya aku.

" Saya sering dihina ustaz. Dulu masa sebelum kahwin ok. Sebulan menjelang puasa dia asyik maki-maki saya, tengking-tengking saya. Sampai satu tahap dia halau saya dari rumah dia. 

Dah banyak kali dia halau saya. Lagipun memang rumah dia, saya sedar, " mata abang itu sedikit berair kala meluahkan perasaannya kepadaku.

" Abang talak berapa? Dah proses ke mahkamah ke? " aku memberi respon kepadanya.

" Saya talak satu je ustaz, saya bagi peluang kepada dia. Dah dalam proses mahkamah dah. Saya banyak kali datang rumah dia pujuk dia. Dia tetap halau saya. 

Kalau saya telefon tak angkat, sms tak berbalas. Tapi saya tetap bayar bil-bil dan hutang-hutang dia. Nak kata saya jahat ustaz, saya dah tolong bayarkan hutang dia hampir 50k, " abang itu meneruskan ceritanya.

" Sabarlah bang mungkin ini ujian, saya pun tak boleh cakap banyak kerana saya dah berumahtangga. Setiap orang ada ujiannya tersendiri. Allah itu sayangkan kita. 

Dia beri ujian untuk mencari perhatian kita agar tak lupa kepada Dia. Banyakkan bersabar ya bang.." aku menasihatinya sekadar yang mampu.

" Insyallah ustaz, ustaz doakan saya ye. Biar saya kuat untuk datang kelas agama ni. Dan doakan agar kami bersatu kembali, " abang itu itu bersalaman dengan aku.

" Insyallah saya doakan ye bang. Saya juga lemah, bersama-samalah kita cari keredhaan Allah, " aku menyambung dan kemudian kami berpisah.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4-9-2012
12.33pm
Shah Alam

Khamis, 9 Ogos 2012

Sekadar Berkongsi 17 : Dia nak jadi Bilal...?


Sedang kami sibuk bertadarus selepas tarawih. Ada suatu adegan yang membuat aku tersenyum sendirian. Ada seorang adik kecil yang sibuk memegang pembesar suara.

Tak cukup dengan itu, dia melaungkan azan. Secara jujurnya laungan azannya itu membuat kami tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dibaca oleh sahabat yang sedang mengaji.


Maka ada seorang pakcik ingin pergi kepada adik tadi dan ingin memarahinya. Aku menghalang pakcik itu dengan mengatakan kepadanya, " Biarkanlah dia azan sampai habis, lepas tu mesti dia pergi ".

Alhamdulililah, apa yang aku sangkakan berlaku. Setelah adik itu puas melaungkan azan dia pun pergi. Doa aku kepadanya, " Ya Allah, sewaktu kecil dia sudah cintakan agamaMu, Kau jadikanla ia orang yang soleh lagi berilmu." Amin. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.51pm
9-8-2012
Shah Alam

Coretan Yang Berkelana 146 : Talaqi Hadis Syamail Muhammadiah.



Alhamdulillah pada minggu lepas, Allah merezekikan aku dan sahabatku Afham untuk bertalaqi hadis secara tak langsung mengambil sanad dari jalan Ustaz Adlan Aziz.

Kami bertolak dari Shah Alam kira-kira jam8.00am dan sampai di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu pada Jam8.40am. Alhamdulillah perjalanan yang lengang dan selamat.

Pada majlis kali ini, Ustaz Adlan Aziz dan Ustaz Anwaruddin menyampaikan 400 hadis dari kitab Syamail Muhammadiah yang beerti kesempurnaan nabi Muhammad s.a.w.

Di dalam 400 hadis ini, menceritakan tentang susuk tubuh nabi, cara makan, cara minum, cara tidur, pergaulan nabi dan banyak lagilah.

Majlis pembacaan hadis dimulai kira-kira jam 10.00am dan selesai sebelum Asar pada jam 4.30pm. Bayangkanlah pembacaaan sebanyak 400 hadis dalam keadaan puasa. Mengantuk, letih, lapar semua ada. Alhamdulillah kami diberi kekuatan oleh Allah untu menyelesaikannya.

Kira-kira selepas Asar kami terus pulang ke Shah Alam untuk berbuka dan dirumah masing-masing. Alhamdulilah.




~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.38pm
9-8-2012
Darul Quran, Kuala Kubu Bharu

Isnin, 30 Julai 2012

Sekilas Pandang 4 : Dosa Selipar Tandas.



Alhamdulillah sudah seminggu kita berpuasa, moga Allah menerima segala ibadah kita dan diberi kekuatan untuk kita mencari keredhaanNya. Amin..

Dalam kita sibuk beribadah di masjid mahupun surau, kadang-kala kita terlepas pandang tentang suatu urusan yang sering kita pandang remeh.

Iaitu ketika mengambil wudu' dan ke tandas misalnya, wujud segelintir manusia yang ringan kaki menyarung selipar orang lain untuk dibasahkan.

Ketika mahu mengambil wudu' mata meliar mencari selipar yang murah @ selipar jepun orang lain untuk dibasahkan.

Ada yang takut memakai seliparnya kerana dikhuatiri seliparnya akan cepat rosak atau terputus tali atau gam diseliparnya akan cepat hilang.

Secara tidak sedar perbuatan itu telah mengundang dosa kala niat murni untuk beribadah di masjid mahupun surau. Kerana apa ? Perbuatan mengambil atau menggunakan barang orang lain tanpa hak atau izin merupakan suatu tindakan yang menyalahi akhlak dan peradaban manusia.

Bayangkan jika selipar yang kita pakai itu, datang dari selipar pakcik atau makcik yang mempunyai penyakit kulat air. Jika mereka  ingin menyarung kakinya dengan selipar yang dibasahkan tadi? 

Ia akan mengundang kegatalan pada kaki mereka. Kemudian kita menyakitkan hati mereka. Secara tidak sedar kita sudah membuat kesalahan dan dikira berdosa kerana menganayai mereka. Masyallah.

Dalam mencari keredhaan Allah, kita mengundang dosa dari kalangan manusia. Nauzbillah min zalik.

~ Memburu Akhirat Meraih Dunia ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.33am
30-7-2012
Shah Alam

Sekadar Berkongsi 16 : Wakaf al-Quran



Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menambah amalan.. Mudah-mudahan setiap apa yang kita usahakan akan diredhai Allah.Setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

Sekadar berkongsi, jika kalian berminat untuk mewakafkan al-Quran boleh menghubungi sahabat lama aku namanya Ben Baz. Harga untuk sebuah al-Quran hanya RM20. Jika ada apa pertanyaan boleh terus menghubungi no di bawah. Wassalam.. 


Rabu, 25 Julai 2012

Coretan Yang Berkelana 145 : Surat Terbuka Buat Para Pentazkirah.



Alhamdulillah telah kita masuk Ramadhan yang kelima, mudah-mudahan Allah memberi kita kesempatan untuk beramal dan mencari keredhaanNya.

Alhamdulillah, beberapa tahun yang mendatang ini, masjid-masjid serta surau telah dipenuhi dengan makmum yang datang dari pelbagai latar belakang. 

Mereka memenuhi masjid antaranya kerana solat jumaat, solat fardhu, kuliah, ceramah dan pelbagai lagi kelas agama yang ada.

Akhir-akhir ini, kebanyakan masjid dan surau yang tidak lagi membuat tarawih 20 rakaat tetapi membuat tarawih dengan 8 rakaat dan disulami dengan tazkirah.

Alhamdulillah ia merupa sebuah transformasi yang terlalu baik. Terlalu ramai yang cintakan majlis ilmu, apa lagi majlis yang menyebut nama Allah dan RasulNya.

Cuma ada sedikit kekokkan yang melanda dari beberapa perkara yang tidak harus kita pandang sebelah mata. Aku memerhatikan ada segelintir para-para ustaz @ pentazkirah ini kadang-kala memberi tazkirah dengan nada yang tidak sepatutnya.

Bukan kerana apa, aku memerhatikan segelintir ustaz-ustaz yang memberi ceramah hanya akan berkisar kepada hal :

1. Memarahi makmum dengan mengatakan, bila Ramadhan baru nak datang masjid.
2. Anak-anak yang bising di masjid dimarahi.
3. Sibuk bertanya kepada jemaah kemana anak-anak mereka tidak datang ke masjid.
4. Sibuk berleter dan memarahi masjid dengan mengatakan awal Ramadhan penuh nanti nak raya tinggal imam dan bilal,
5. Marah makmum suruh baca al-quran, jangan asyik baca suratkhabar dan tengok astro.
6. Marah makmum yang asyik kerja cintakan dunia.
7. Asyik marah-marah orang yang sibuk pergi ke bazar.
9. Marah orang yang tak nak dengar tazkirah..

Dan berbagai lagi leteran dan kemarahan yang dilemparkan kepada jemaah @ makmum yang hadir. Perbuatan itu tidak lain hanya membuatkan masyarakat lebih jauh dengan masjid. Kita sendiri yang mencipta masjid tidak mesra masyarakat.

Apa yang paling menyedihkan, kadang-kala para pentazkirah bercerita seolah-olah terlalu maksum dari melakukan kesilapan dunia.

Kenapa kita tidak boleh melakukakan begini :

1. Para imam dan pentazkirah tunggu dihujung pintu dan bersalam bagi mereka yang mahu pulang.
2. Memujuk jemaah dengan meruntun hati mereka agar kerap datang ke masjid.
3. Berdoa bersama-sama agar kita kuat untuk berjemaah dimasjid.
4. Bersama-sama saling tegur menegur kalau ada sebarang kesilapan.
5. Membuat sedikit jenaka agar jemaah tidak bosan mendengar tazkirah.
6. Meringkaskan tazkirah dengan seringkasnya.
7. Jangan jadikan leteran anda sebagai tazkirah.

Mungkin ada dikalangan kita yang mungkin berasa hati dengan artikel ini. Aku minta maaf, kerana aku juga tidak maksum dari melakukan kesilapan, aku lebih hina disisi Allah dan aku juga seorang ahli a'si, cuma aku ingin mengambil pendekatan kasih sayang dalam berdakwah.

Telusurilah bagaimana ulama-ulama tasawuf mendidik masyarakat dalam berdakwah dengan meruntun hati mereka agar cintakan Allah. Jangan diserang hati yang keras. 

Lembutkanlah ia, ibarat air yang menitik di atas batu lama-lama berlekok juga. Semoga kita di bawah naungan rahmat Allah. Amin.. Allahu'lam.

~ Memburu Akhirat Meraih Dunia ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
5.09pm
25-7-2012
Shah Alam

Selasa, 24 Julai 2012

Coretan Yang Berkelana 144 : Rezeki Beribadah.



Alhamdulillah kita telah masuk hari yang ke 4 Ramadhan, mudah-mudahan puasa dan amalan kita diterima oleh Allah s.w.t.

Perbahasan amalan untuk bulan Ramadhan terlalu banyak. Boleh dikatakan semua amalan baik pada bulan Ramadhan mengundang beribu pahala. Bahasa yang lebih mudah 'bulan meraih pahala'.

Cuma ada segelintir dari kalangan kita yang mengambil enteng tentang amalan-amalan dibulan Ramadhan ini. Antaranya amalan tarawih, witir, tadarus, tahajud sebelum sahur, bersedekah dan sebagainya.

Apa yang paling menyedihkan, mereka tidak meraikan kelebihan tarawih yang hanya ada pada bulan Ramadhan saja. Cubalah kita perhatikan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sudah keuzuran begitu gagah mendirikan solat tarawih 20 rakaat.

Kadang-kala timbul malu dihati ini, kita yang sihat wala'fiat sibuk mencari surau dan masjid yang buat 8 rakaat dan cepat. Kalau boleh taknak tazkirah dan sebagainya.

Kerana apa? Kerana kita tidak menyedari bahawasanya apakah kita akan panjang umur seperti orang-orang tua itu? Apakah kita boleh beramal apabila menjelang tua nanti? Apakah berkesempatan untuk kita hidup sampai tua?

Sering saja aku berjumpa dengan pengawal keselamatan, pekerja kilang dan beberapa profesion lagi yang menuntut untuk mereka kerja pada waktu  malam.

Kebanyakan dari mereka bersedih apabila menjelang Ramadhan, kerana mereka tidak dapat bertarawih dimasjid secara berjemaah. 

Apa lagi mahu menikmati berbuka puasa dimasjid beramai-ramai? Dan menyertai program tadarus setiap malam untuk membetulkan bacaan al-Quran masing-masing.

Bagi kita yang diberi kelapangan oleh Allah untuk beramal sempena bulan Ramadhan ini, janganlah kita persia waktu itu beredar begitu saja. Kerana nikmat beramal itu sudah direzekikan Allah. 

Seandainya kita tidak mempunyai kelapangan masa, banyakkanlah berdoa kepada Allah agar kita direzekikan untuk beribadah kepadaNya. Allahua'lam.

~ Memburu Akhirat Meraih Dunia ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.29am
24-7-2012
Shah Alam

Jumaat, 20 Julai 2012

Coretan iLmiah 6 : Jawaban Bagi Hukum Bermain Gitar Dalam Masjid.



Hangat dikatakan pada masa kini Sham Kamikaze atau ustaz-ustaz yang sebaris dengannya sesat, kerana bermain gitar di dalam masjid dan diiringi dengan nyanyian muzik rock.

Tidak kurang dari mereka ada yang mengatakan perbuatan itu haram dan sesat. Bahkan boleh tersungkur ke neraka.

Apa yang aku perhatikan, kebanyakan pendapat itu datang dari pendapat berdasarkan semangat kepartian. Yang menjuruskan kepada sifat dengki.

Sejujurnya kalau nak mengatakan hiburan itu haram, jangan dengar radio, buang televisyen yang ada dirumah  tu. Janganlah bersikap berat sebelah.

Tidak dinafikan ada pendapat mahupun hadis-hadis larangan berkaitan dengan muzik, nyanyian khususnya alat muzik yang bertali yakni gitar.

Setelah diteliti oleh sarjana-sarjana agamawan, ada yang mengatakan hadis itu lemah tak kurang juga yang mengatakan ia kuat. Nah, terserah kepada kita untuk mengikut yang mana. Selagi tidak melampui batas dipersilakan.

Cuma apa yang ingin dibahaskan di sini, adalah konsep dakwah. Berdasarkan firman Allah :

" Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan contoh teladan yang baik". an-Nahlu 125

Pengajaran dari ayat di atas, membawa erti bahawasanya Allah menyuruh kita berdakwah dengan jalan hikmah.

Hikmah boleh diertikan dengan kebijaksaan. Ia lebih menjurus kepada kita bagaimana mengatasi sesuatu hal dan keadaan agar mereka tidak terasa hati dalam membawa misi dakwah.

Nah, jelas Allah memerintahkan kepada kita tentang tanggungjawab berdakwah. Kalau kita seorang yang pandai bermain gitar, gunakanlah gitar itu sebagai alat untuk berdakwah, alunkan lagu-lagu yang memberi erti keinsafan kepada diri.

Kalau kita penyanyi, nyanyilah lagu-lagu keTuhanan dan ingatkan manusia tentang kematian. Kalau kita drebar lori sekalipun,ia tidak menghalang untuk kita berdakwah. Apalagi kita sebagai pekerja kilang.

Tidak semestinya berdakwah itu perlu memakai ketayap putih dan berjubah serta berjanggut. Kalau kita tak pandai dalam hadis mahu pun quran. Cukuplah berdakwah dengan akhlaq dan contoh teladan yang baik.

Kerana Allah tidak mempersoalkan kejayaan kita dalam berdakwah, Allah hanya bertanya apakah kita sudah berdakwah??? 

Janganlah kita sibuk mencari kesalahan orang. Sibuk mencari dalil menyalahkan orang, mengkafrkan orang. Tanya diri kita, dah berapa ramai orang yang kita Islamkan? 

Dah beramai orang yang bertaubat setelah kita berdakwah? Apa yang kita buat bagi anak muda datang masjid??? Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.30pm
20-7-2012
Shah Alam

Khamis, 19 Julai 2012

Mistik Melayu 3 : Tangkal Ladam Kuda




Di dalam amalan melayu yang terdahulu, ada dari kalangan mereka yang mengamalkan menggantung ladam kuda di atas pintu rumah.

Antaranya dikatakan boleh menghalang roh-roh jahat atau santau mahupun kiriman sihir dari luar. Ia bertujuan untuk melindungi diri dan keluarga dari bahana sihir.

Kebanyakkan dari ladam kuda ini, dikatakan sudah diisi dengan jampi-jampi tertentu atau bahasa yang mudah dimanterakan ladam kuda tersebut.

Jampi yang dipakai terdiri dari bahasa melayu dan bahasa yang lain yang kadang-kala sukar dimengerti maknanya.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana pandangan Islam mengenai tangkal ladam kuda ini? Menurut kebanyakkan ulama' melarang amalan mengantung tangkal. Kerana dikhuatiri boleh jatuh ke lembah kesyirikkan.

Ada juga ulama' yang berpendapat tidak mengapa menggantung tangkal selagi mana tangkal tersebut tidak dipengaruhi dengan jampi-jampi yang boleh menjatuhkan akidah seseorang.

Tapi bagi aku? Aku lebih selesa menggunakan kelebihan ayat Kursi  yang telah dijamin Allah dan RasulNya.  Kerana sudah termaktub di dalam sabda Junjungan kita :

" Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi ' Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum' sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi ". H.R. Bukhari.

Dan pokok perkara yang paling penting, bukan ayat kursi itu akan tetapi keyakinan kita kepada Allah yang paling diutamakan. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
9.00pm
19-7-2012
Shah Alam

Jumaat, 13 Julai 2012

Jom Baca Hadis 41 : Terlanjur Berdosa.



Ibnu Mas'ud r.a.berkata : 

" Seorang lelaki terlanjur mencium wanita yang ajnabiyah (bukan mahramnya), lalu ia datang kepada Nabi s.a.w. untuk minta hukuman atas perbuatannya itu tiba-tiba Allah menurunkan ayat :

" Dirikanlah solat pada waktu pagi dan petang dan sebahagian waktu malam, sesungguhnya kebaikkan itu menghapuskan dosa".

Lalu lelaki itu bertanya : Ya Rasullah, apakah ini khusus untukku saja?

Jawab Baginda : Bahkan untuk semua umatku".

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Khamis, 12 Julai 2012

Lirik Puitis 26 : Mantera Beradu




Masih belum sempurna..

(M.Nasir)
Gerakkan Hati… Hati gerakkan…
Pandanglah aku.. aku lah dia..

(Malique)
Kulitku tebal.. ku kebal.. ingatku kebal
Hanya berbual makan angin kembung perut mual
Resah dan tidak senang.. hidup tak pernah lenang
Ku schizo paranoia takut pecah tembelang

(M.Nasir)
Pecah tembelang… peta dah hilang
Bangau dah pulang… suara sumbang

(Malique)
Lidahku kaku tak selicin kuku
Teman baikku buku
Bini ku pena.. tak pernah lena
Aku suka mengintai pantang ditenung
Berakhir pertelingkahan dalaman
Pasti belum

Ikut gerak hati.. pena melayang
Dilihat dua layang pandang
Tak lah sekarang
Takat meradang
Tanya.. abang gedang, apa barang?
Badan macam badang
Main acah belakang parang

Kuhunuskan keris musuh ada pistol
Tradisi kekalkan adaptasi harus betul
Tujuh baris keramat tujuh garis penamat
Baik berpada biar jahat asal selamat

Ramai saudaraku yang baik telah dipijak

(M.Nasir)
Awan mendung yang berarak
Bawa tangis bawa resah
Rebah rindu yang terkumpul
Semua birat dan kalimah
Semua janji yang terikat
Lebur disisimu

(Malique)
Yo! ijazah terbaik datangnya dari jalanan
Dari pengalaman bercakap dan bersalaman
Konflik motivasi cuba medatasi
Positif dan benci jadi inspirasi pagi

Peduli itu interpretasi basi pekakkan sebelah
Halang biar keduanya muka cantik
Soalan bodoh yang ditanya jadi melodinya
Lebih hina dari zina

Lu bikin dosa ku bikin prosa
Testosterone testarosa
Cita-cita sosa KL KL kosa nostra
Jalan berliku ku harung roller coaster
Gah sentosa tiada penyesalan
Luas pandangan jauh dah berjalan
Tak sempurna masih ada kejanggalan
Gagal merancang, merancang kegagalan

(M.Nasir)
Awan mendung yang berarak
Bawa tangis bawa resah
Rebah rindu yang terkumpul
Semua birat dan kalimah
Semua janji yang terikat
Lebur disisimu

Kucing bawa tidur rimau bawa igau
Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau

(Malique)
Naik bukit angkuh cakap ayah jangan risau
Turun bukit pucat dengar tiga miaww
Kucing bawa tidur rimau bawa igau
Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau
Tolak pintu gua tiga kerat tenaga
Kosong tak dijaga sampai datang tiga naga
Ingat nak berlaga tapi tak kan boleh menang
Menang dengan otak tak mesti dengan pedang

Sebelum jadi naga, ikan koi renang renang
Kura-kura salah jawab pantun, naik berang
Panggil lima kawan atau biar pergi laju
Risaukan pekara remeh kita tak akan maju
Muka sama hijau hati siapa tahu
Merah dah menyala pasti mati siapa mahu
Gagap tiga kali bercakap benar saja
bulan terang ramai yang keluar buat kerja

(Malique & M.Nasir)
Panjat pokok buluh cari tokong air terjun
Naik sampai nampak dah terpegun turun
Tiga ular ikut lompat atau paut
Kalau terus mati jika belok maut

(M.Nasir)
Awan mendung yang berarak
Bawa tangis bawa resah
Rebah rindu yang terkumpul
Semua birat dan kalimah
Semua janji yang terikat
Lebur disisimu

Puisi hati mu… hati mu puisi
Palu hati ku palu hatiku

(Malique)
Kulit tak besalin walau saling ganti baju
Pandang sini pandang sini
Ku berbahasa baku kata kata nahu
Himpun jadi satu
Mantera beradu dengan irama dan lagu

(Suara Latar)
Akhirnya sempurna

By : M.Nasir feat Malique

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails