Jumaat, 29 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 142 : Meniti Usia..Memburu Pahala..



Suka aku melihat pakcik- pakcik dan makcik-makcik di dalam kelas aku. Mereka tekun belajar. Apa yang menariknya setiap kali aku memeriksa buku mereka ternyata mereka membuat ulang-kaji. 

Seronok sungguh hati ini melihat kesungguhan dan kegigihan mereka dalam menuntut ilmu. Cuma kekadang ada juga yang bermasalah antaranya tidak mematikan telefon bimbit ketika waktu kelas. Bagi aku, biarlah orang tua mungkin perkara sedemikian dianggap terlalu kecil.

Ia berbeza dengan waktu aku belajar dulu. Bunyi telefon bimbit merupakan suatu perbuatan yang kurang adab di sisi guruku. Yelah zaman berlalu, era pendidikan sudah semakin berubah.

Melihat terlatah mereka di dalam kelas terhibur sungguh hati ini. Sering saja aku berdoa di dalam hati agar Allah merezekikan aku menuntut ilmu seperti mereka walaupun sudah lanjut usia.

Tidak kurang juga ada beberapa orang pelajar tua ini yang acap kali tidur di dalam kelas. Kemungkinan keletihan menguruskan kehidupan dan menjaga cucu. Pernah sekali aku ringankan mulut untuk bertanya kepada mereka ini.

" Pakcik kan dah tua, selalu keletihan semasa belajar kenapa tak rehat je kat rumah?", tanya aku.

" Biasalah ustaz mengurus rumah dan cucu keletihan sikit je. Bukan tak nak rehat kat rumah ustaz, pakcik teringat ada seorang tuan guru dulu pernah cakap tidur dalam majlis ilmu pun pahala, " ujar pakcik itu.

" Lagi pun dah tua-tua ni kena banyakkan pahala, bila-bila je kena panggil mengadap Allah. Dulu zaman muda banyak dosa. Bagi pakcik biar pun tak paham apa ustaz ajar, datang kelas pun dah dapat pahala, " sambung pakcik itu.

Aku diam dan merenung kalimah perkataanya, ya benar sungguh seperti apa yang disabdakan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis :

" Jadilah kalian orang yang mengajar atau belajar atau orang mendengar atau orang mencintai orang yang belajar ".Mafhum hadis. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.10pm
29-6-2012
Shah Alam

Rabu, 27 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 141 : Si pengungkit kaya.



Sedang dalam perjalanan pulang dari mengajar tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi lalu aku menjawab panggilan tersebut.

"Ustaz ada dimana sekarang?  Boleh kita lepak minum kejap?".

Kira-kira setengah jam kemudian kami bertemu, bertanya khabar sambil menikmati kehangatan nescafe dipetang hari.

"Ustaz saya tak tahu nak luahkan kat siapa, saya tak sangka jadi macam ni," pemuda itu memulakan bicaranya.

"Maksudnya?", tanya aku yang kebingungan.

"Baru-baru ni saya ada masalah, jadi ada seorang kawan yang membantu, lega hati saya ustaz apabila ada orang yang sudi membantu kala kita kesusahan. Setelah masalah selesai dan berlalu beberapa minggu, tiba-tiba,?" pemuda itu melanjutkan ceritanya.

"Tiba-tiba kenapa?", aku bertanya dengan penuh perasaan ingin tahu.

"Tiba-tiba dia email kat saya bayaran penuh segala jasa dia, duit minyak, duit tol, duit makan, duit topup dan upah penat lelah dia sepanjang dia menolong saya ustaz, terkejut saya, sebak rasanya hati ni, sampai hati seorang kawan mengungkit dan boleh buat macam tu kat saya", bergelinangan air mata pemuda itu menceritakan kepadaku.

Sudah menjadi lumrah alam adat dunia, manusia berjasa hanya untuk mengharapkan pembalasan semata. Ia berbeza dengan Allah, Allah mengurniakan kita segala-gala nikmat tanpa mengungkit mahupun berkira.

Termaktub dalam firmaNya, "Dan sekirannya kalian menghitung nikmat Allah tidak akan terkira". 

Cuma Allah sekadar memperingatkan kepada kita bersyukurlah dengan segala nikmat yang dikurniakan dengan melakukan segala ketaatan kepadaNya. Allahualam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.38pm
27-6-2012
Shah Alam

Selasa, 26 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 140 : Itu bukan hak saya.



" Alhamdulillah ustaz, usulan saya kepada Tan Sri Khalid diterima dan kini kami seluruh pegawai syarikat perlu membayar duit ansuran kereta masing-masing kerana pihak syarikat tidak lagi menanggung pembayaran tersebut dan geran kereta ditukar atas nama masing-masing ", ujar seorang abang kepadaku.

" Maksud abang sekarang kereta tu atas nama abanglah ye?", sambung aku.

" Ya ustaz kereta itu bukan atas nama syarikat lagi, kini di bawah nama persendirian cuma syarikat hanya memberi elaun transport serta klaim sahaja ", abang itu menjawab.

Aku bertanya lagi, " Tapi kenapa abang buat macam tu, bukan ke semua orang suka syarikat tanggung?".

" Bukan apa ustaz, suatu hari semasa memandu kereta syarikat tiba-tiba anak saya telefon memesan slurpee di Seven Eleven. Lepas saya singgah dan membeli baru saya teringat, ' Ya Allah ini kereta syarikat, tapi aku sudah menggunakan untuk tujuan peribadi '.

Terfikir saya ustaz kisah Saidina Umar tentang lampu yang dipadamkan waktu anaknya berjumpa dengannya untuk berbincang tentang masalah keluarga. Kan lampu itu hak rakyat maka dia memadamkan agar tidak disoal Allah tentang salah guna amanah.

Saya renung sejenak, bagaimana nanti diakhirat Allah menyoal saya tentang menggunakan kereta syarikat untuk urusan peribadi, padahal itu bukan hak saya.

Dari situlah saya berani mengusulkan cadangan tersebut walaupun seluruh ahli majlis tertinggi tidak setuju dengan cadangan saya. 

Kini alhamdulillah, kereta itu saya yang tanggung dan ia milik saya bolehlah saya gunakan untuk urusan kerja mahupun urusan peribadi ", cerita abang itu.

Alhamdulillah seronok aku mendengar cerita abang itu, wujud di dalam hatinya cintakan agama dan takutkan Allah, Subbhanallah. Tapi bagaimana mereka yang membaca surat khabar, bermain facebook menggunakan pc syarikat? Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al - Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.54am
26-6-2012
Uncle K, SACC Mall, Shah Alam.

Jumaat, 22 Jun 2012

Coretan iLmiah 4 : Implikasi bola sepak.



Kala ini umumnya masyarakat dunia sedang dilanda demam perlawanan bola sepak "Euro 2012". Antara yang terkesan adalah masyarakat Malaysia. 

Ada yang sanggup bangun ditengah malam untuk menonton perlawanan bola sepak Euro 2012 ini. Tidak kurang hebatnya keadaan dikedai-kedai mamak yang dipenuhi dengan anak muda yang semangat untuk menonton pasukan kegemaran mereka.

Sesuatu yang tidak bisa kita sangkalkan adalah kelebihan bola sepak itu. Ini kerana dengan bola sepak dapat merapatkan silaturahim. Cuba perhatikan kalau perlawanan Malaysia menentang Indonesia. 

Bisa kita dengar sorakan dari rumah-rumah jiran kita yang menonton bola sepak itu. Mereka menonton bersama keluarga sambil bergurau-senda dan mengharapkan pasukan Malaysia menang. Inilah yang dituntut dalam Islam iaitu keharmonian dalam berumah tangga.

Cuma kewujudan beberapa pertanyaan dari mereka yang cerdik pandai, ada segelintir bertanya tentang hukum menonton perlawanan bola sepak itu?

Maka bisa kita perhatikan dalam kaedah usul fiqh. Dalam sesebuah perkara menurut mazhab Syafi'e, jika tidak ada dalil larangan atau dalil kewajiban maka perbuatan itu hukumnya harus.  Jadi oleh yang demikian, menonton perlawanan bola sepak itu adalah harus.

Tetapi ia bisa jatuh kepada hukum haram. Jika seseorang itu menonton bola sepak sehingga lewat malam, dan menyebabkan ia tertinggal solat subuh atau menyebabkan ia tertidur di tempat kerja. 

Kerana apa, solat subuh adalah sebuah kewajiban. Dan tempat kerja adalah bukan tempat tidur. Jika kita tidur ditempat kerja boleh menyebabkan gaji yang kita ambil itu adalah gaji syubhat. 

Akan tetapi, kalau bisa kita renungi secara mendalam alangkah indahnya malam yang sunyi itu kita hiasi dengan qiyamulail, solat tahajud, witir dan membaca al-Quran. Lebih indah lagi diisi dengan solat taubat sambil diiringi air mata penyesalan. 

Teringat aku sewaktu dizaman kuliah dulu tinggal di rumah bujang. Ada seorang sahabatku memang "gila bola". Apa yang menariknya jika perlawanan bola jam 3am, dia akan bangun jam 2am dan terus tahajud dan solat sunat, kemudian jam 3am baru dia menonton perlawanan bola sepak itu. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.07pm
22-6-2012
Shah Alam

Khamis, 21 Jun 2012

Sekadar Berkongsi 15 : Istikhoroh seorang makcik.



Teringat aku sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat baikku Pullah kala dulu. Di kediamannya ada seorang makcik "cleaner" yang hidup susah dan terpaksa membesarkan beberapa orang cucu.

Kesungguhan makcik ini bisa dilihat dari zahir pekerjaannya. Seawal jam 7am sudah mula menjalankan kerjanya membersihkan kawasan yang diamanahkan.

Hatinya bersih tergambar dari wajah tuanya yang sentiasa senyum. Suatu ketika sahabatku pernah bertanya kepada beliau, " Kenapa mak cik sentiasa ceria dan tenang? "

Mak cik itu menjawab, " Serahkan segala urusanmu kepada Allah, nanti tak pening dalam membuat keputusan ".

Sahabatku yang kehairanan. Lalu bertanya kepada makcik itu, " Maksud makcik? ".

" Lazimkanlah dirimu dengan solat istikhoroh, nescaya pilihanmu itu datang dari pilihan Allah ", kata makcik itu. 

" Nak, istikhoroh itu bukan hanya pada urusan yang besar seperti perkahwinan dalam memilih jodoh. Ramai dari kalangan kita sering melakukan istikhoroh ketika celaru memilih pasangan hidup, itu sebuah kebiasaan yang silap," ujar makcik itu.

" Makcik sedar, makcik merupakan orang yang susah pernah suatu hari makcik mendapat wang lebihan lalu makcik teringat mahu membeli televisyen kerana kesian melihat cucu kesunyian di rumah, dalam masa yang sama makcik juga mahu membeli mesin basuh, maka untuk tidak memeningkan makcik, makcik lakukan solat istikhoroh agar Allah memberi pilihan yang tepat kepada makcik," sambung makcik itu.

Terkedu sahabatku mendengar cerita dari makcik tua itu. Walaupun perkara itu remeh, makcik menyandarkan pilihan sepenuhnya kepada Allah.

Ternyata ruang ilmu itu bisa dikutip dari setiap pelusuk bumi bukan hanya dari segelintir manusia yang digelar guru.

Kerana ilmu itu milik Allah. Allah menghadirkan makcik itu untuk memberikan kita ilmu tentang keluasan istikhoroh yang sering kita abaikan. Benar kata makcik itu, pilihan yang tepat adalah datang dari pilihan Allah, Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
10.45am
21-6-2012
Shah Alam

Rabu, 20 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 139 : Ilmu itu rezeki.



Sering saja orang mengatakan rezeki, ajal dan jodoh itu adalah ketentuan dari Allah. Ya itu tidak dapat dinafikan kerana sudah termaktub di dalam sabda junjungan nabi kita yang tercinta.

Aku sering berjumpa dengan orang-orang yang sibuk. Ada yang sibuk bekerja, sibuk menguruskan anak dan  yang pelik buat-buat sibuk.

Acap kali orang seperti ini mengatakan kepadaku, " ustaz saya teringin nak belajar mengaji, ustaz saya teringin nak pergi kuliah di masjid tapi masa tidak mengizinkan."

Aku hanya diam membisu. Kemudian aku menjawab dengan lisan yang tenang agar tidak menguris hati mereka ini.

Abang banyakkan berdoa kepada Allah agar dimudahkan urusan, agar tidak sibuk dan dipermudahkan untuk menuntut ilmu. Kerana apa, bagi pendapat aku ilmu adalah sebuah rezeki yang dikurniakan Allah kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki.

Seandainya kita disibukkan Allah, itu bermakna kita belum direzekikan oleh Allah untuk menuntut ilmu. Cuma apa yang malangnya, kalau difikirkan masa itu kita yang rancang. Tidak timbul isu terlalu sibuk.

Allah Maha Bijaksana. Allah menjadikan masa 24jam untuk mencukupi segala urusan di dunia dan di akhirat. Masakan Allah itu bodoh mencipta sesuatu yang tidak berguna kepada hambaNya. 

Mustahil Allah bersifat bodoh. Allah adalah pencipta segala-galanya. Maka Allah Maha Mengetahui dengan mencipta 24jam itu mencakupi segala-galanya.

Teringat aku pesan guruku dahulu, "rajin-rajinlah berdoa kepada Allah agar direzeki Allah untuk menuntut ilmu, kerana ilmu adalah kurniaan Allah.." 

Akan tetapi wujud juga segelintir manusia yang tidak sibuk tetapi tidak merapatkan diri untuk ke majlis ilmu. Suka mencari alasan kala diajak ke majlis ilmu. 

Ketahuilah, kalau kita sudah mula menjauhikan diri dari majlis ilmu, hati kita sudah mula membiakkan titik-titik hitam untuk jauh dari hidayah Allah.. Nau'zubillahi min zalik.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
10.37am
20-6-2012
Shah Alam

Selasa, 19 Jun 2012

Jom Baca Hadis 40 : Keharuman Si Pembaca al-Quran.



Abu Musa r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda :

1. Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran ibarat limau yang harum baunya dan manis rasanya, 
2. dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran bagaikan kurma yang tiada bau tetapi rasanya manis.  
3. Dan perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran ibarat bunga yang harum baunya tetapi rasanya pahit, 
4. dan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran bagaikan hanzalah (sejenis labu) yang tidak berbau dan rasanya pahit.

( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Isnin, 18 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 138 : Ku buang prinsip...



Teringat aku masa sekolah dulu, cikgu bahasa inggeris aku adalah seorang india yang beragama hindu. Alhamdulillah, aku hanya mengambil ilmu bahasa inggerisnya saja dan tidak mengambil ke'hinduan'nya itu.

Cuma aku sedikit aneh melihat masyarakat pada hari ini. Kebanyakkan orang memandang guru dan peribadi seseorang itu dari memandang keilmunya.

Ini bercanggah dengan pepatah arab, " Pandang apa yang dikata, jangan pandang siapa yang berkata". Mungkin zaman ini sudah agak berkurang orang yang sebegini.

Ya, memang benar. Tidak dapat dinafikan, lambang kehebatan seorang guru itu adalah dari peribadinya yang terpampang di luar secara tidak langsung mencerminkan yang di dalam. Cuma, berapa ramai yang hebat dan gah di luar, ternyata di dalamnya??

Kita perlu menerima hakikat bahawasnya manusia itu tidak sempurna. Hanya Rasullah sahaja yang ma'sum. Yang dipelihara Allah dari sebarang dosa dan kemaksiatan.

Aku banyak menemui orang-orang yang alim dan sufi yang pada zahirnya mereka sedikit sangat pertuturannya. Hanya diam saja. Ternyata diam mereka itu kerana berzikir kepada Allah. Kalau melihat pakaiannya, hanya berjubah dengan mengenakan ketayap putih yang usang. 

Pabila berbicara soal ketuhanan, masyallah. Terasa diri ini amat hina disisi Allah.

Cuma apa yang aku ingin kongsikan, kewujudan masyarakat kita yang memilih-milih guru. Ada yang tidak kena dengan selera tekaknya, dia tidak mahu belajar.

Ada ustaz-ustaz yang menyentuh soal politik dia terus tak suka. Kerana beralasan partinya tidak sama dengan ustaz tersebut.

Ada pula yang berpegang ustaz itu tidak punyai sarjana dalam bidang agama, maka ia tidak layak untuk berbicara soal agama. 

Tidak kurang juga yang senantiasa mencari salah dan silap tuan-tuan guru itu. Alah ustaz tu kahwin dua. Alah ustaz cakap tak serupa bikin. Dan bermacam-macam lagi alasan.

Bagi aku, apa-apa saja ilmu akan ku kutip walaupun terpaksaku buang prinsip demi mengejar ilmu dan mengisi kesempatan hidup yang masih ada. 

Kerana aku sedar aku masih jahil. Dan Allah mengurniakan otak sebagai filter untuk kita saring segala ilmu yang dikutip agar tidak dihadam begitu saja. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.39pm
18-6-2012
Shah Alam

Ahad, 17 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 137 : Biarlah aku tak kaya.



Alhamdulillah selesai mengajar pagi tadi, aku terus pulang ke rumah. Sebelum itu singgah di kedai untuk membeli sarapan. 

Boleh pula isteri tercinta memesan nak roti canai. Apalagi dengan menggagahkan diri ku redah bandar Shah Alam untuk mencari 2 keping roti canai.

Nasib tidak menyebelahiku. Sudah beberapa kedai yang ku pergi mengatakan sudah habis roti canai, almaklumlah jam sudah menunjukkan 10.30am. Kelas bahasa arab aku pun tamat jam 10.00am.

Sudah jenuh mencari, aku pergi kedai yang terakhir disimpang menghala ke rumahku. Memang tepat jangkaanku, roti canai disitu juga habis.

Maka aku tidak mahu pulang dengan tangan kosong, aku membeli 2 bungkus nasi lemak agar tidak menghampakan perasaan isteriku.

Sedang asyik mak cik itu membungkus nasi lemak dari permintaanku. Sempat aku mendengar celoteh pakcik-pakcik yang sudah sebaya dengan umur ayahku.

" Apa kerja anak kau sekarang ni?" Anak aku kerja kat company tutt... "Oh, mahallah gaji tu, patut anak kau boleh pakai kereta mewah". "Alah anak aku tu biasa-biasa je.." Bagi aku biarlah tak kaya, janji sihat ". 

Tersenyum aku mendengar celoteh pakcik-pakcik itu. Hurm. Benar kata beliau. Apalah nilaian kalau kaya tetapi sakit. Biarlah tak kaya, janji sihat. 

Alhamdulillah Allah masih menganugerahkan kesihatan yang baik padaku.. Alhamdulillah.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.07am
17-6-2012
Shah Alam

Jumaat, 15 Jun 2012

Renungan Sejenak 39 : Amanah yang diremehkan.



Insyallah lusa kita akan menyambut cuti Israk dan Mi'raj 1433H. Bagi yang keletihan bekerja hanya akan memandang ia sebuah cuti umum. Bagi yang merindui Rasullah s.a.w akan mengenang ia sebagai sebuah perjalanan agung.

Aku diberitakan ada beberapa sahabat dan sifuku akan terbang ke Palestin besok. SubbahanAllah. Terujanya mendengar perkhabaran itu. Alangkah indah jika aku direzekikan Allah untuk menziarahi Palestin.

Peristiwa Israk dan Mi'raj tidak dapat dipisahkan dengan Palestin. Ia sebuah tempat yang menjadi titik tolak perjalanan Rasullah naik ke langit.

Jika dikenang semula perjalanan itu sekitar 1400h yang lampau, ia merupakan sebuah kisah dongengan yang tidak bisa kita terima dengan akal, lebih-lebih lagi keadaan bangsa jahiliyyah yang tiada keimanan terhadap Allah dan RasulNya.

Pabila kita ungkit tentang peristiwa agung ini. Dapatlah kita mengambil sebuah pelajaran yang tidak ternilai sepanjang kehidupan dunia ini.

Ia menjadi sebuah lambang keagungan Allah Sang Pencipta Bumi yang Maha Suci. Allah menganugerahkan Rasullah sebuah amanah yang paling besar yang tidak bisa dikirim melalui Jibrail a.s.

Allah memanggil Rasullah datang mengadap untuk menyerahkan "amanah solat" yang menjadi syariat Islam sehingga hari ini sampai kiamat.

Amatlah malang bagi mereka yang sering melalaikan solat, apatah lagi meninggalkan solat dengan sengaja. Masyarakat pada hari ini wujud segelintir dari mereka mungkin aku juga termasuk sama sering "meremehkan amanah yang dikurniakan Allah kepada kita".

Bayangkanlah, syariat puasa, haji, zakat, sedekah dan sebagainya dikirim Allah melalui Jibrail a.s. Akan tetapi, syariat solat langsung diletakkan di atas bahu Rasullah kita yang tercinta.

Sejarah menjadi saksi Rasullah sungguh-sungguh cintakan umatnya. Sehingga Baginda sanggup meminta Allah untuk mengurangkan solat yang 50 itu menjadi 5 waktu. Masyallah....

Apakah kita masih memandang enteng terhadap amanah solat ini? Nazubillahi min zalik....

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3,27pm
15-6-2012
Shah Alam

Lirik Puitis 25 : Mistikus Cinta.




Ketika pertama kali
Jiwamu ingin selalu dekat 
Dengan jiwaku yang belum bisa 
Menterjemahkan segala 
Arti pertemuan ini
Arti cumbu rayu ini
Yang mungkin bisa memusnahkan
Kenyataan hidup yang terjadi

Ketika jiwamu
Merasuk ke dalam 
Aliran darahku dan meracuniku
Ketika jiwamu, memeluk hatiku
Dan biarkan jiwaku cumbui jiwamu

Ketika kamu, aku
Melebur menjadi satu
Dan hanya waktu yang mungkin bisa
Memahami apa yang terjadi

Apa yang sedang kurasa
Apa yang sedang kau rasa
Adalah cinta yang tak bisa 
Dijelaskan dengan kata-kata
By: Dewa 19

Isnin, 11 Jun 2012

Pautan Semasa 51 : Gila Gelaran, Gila Kuasa dan Gila Pangkat..


Oh... dalam dunia...
Oh... kita raja...
Oh... jangan lupa...
Oh... jangan gila...

Gila darjat
Gila nama
Gila kuasa
Gila harta
Semua gila

Petikan lirik dari Wings yang berjudul "Hukum Karma". Mungkin dari lirik itu bisa kita pahami keadaan dunia sekarang ini.

Beberapa minggu yang lalu, timbul isu "Membeki gelaran Datuk" dan gelaran "Kerabat diRaja". Atas tujuan melepaskan diri dari sekatan jalanraya samada JPJ mahupun PDRM..

Tidak kurang juga "mereka-mereka" yang ingin memudahkan diri untuk masuk dalam sesebuah tender yang besar. Dengan menggunakan "gelar" itu menambahkan lagi kelancaran untuk memiliki segalanya.

Tidak terhenti disitu saja, penyakit "Gila Gelaran" ini sudah menular segenap pelusuk masyarakat. Ada yang gila  mahu digelar Prof, Dr, Abang Kawasan, Ustaz, Tuan Guru, Wakil Rakyat, Ketua Cawangan, Abang Besar, Ketua Cabang dan banyak lagilah.

Pernah aku berjumpa dengan 3 Prof.. Yang 2 orang hanya mahu dikenali dengan gelaran "pak cik". Katanya gelaran prof kala bertugas saja. Sekarangkan sudah pencen.

Yang seorang lagi Prof masa aku dikuliah dulu. Waktu aku memanggilnya "prof". Dia melarang. Dia suruh aku memanggil dengan gelaran "Bapak" saja. *Sekadar info, aku kuliah di Indonesia..

Apa-apa pun teringat aku dengan sebuah hadis junjungan besar kita Rasullah s.a.w, :

" Abdul Rahman ibnu Samurah berkata : Nabi s.a.w. berkata kepadaku, " Wahai Abdul Rahman ibnu Samurah, janganlah engkau meminta untuk diangkat menjadi penguasa disuatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan." Riwayat Bukhari dan Muslim.

" Ya Allah jauhkan kami dari penyakit gila kuasa, gila darjat, gila pangkat dan segala penyakit mazhumah ya Allah".. Amin..

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.20pm
11-6-2012
Shah Alam

Rabu, 6 Jun 2012

Sekadar Berkongsi 14 : Dimana Allah?


Baru-baru ini aku dihujani dengan soalan yang sama tapi penanyanya yang berbeza. Mungkin ada sesetengah orang acap kali mendengar soalan ini

1. Soalan dari adik yang berumur 5 tahun,
" Ustaz Allah mana? Tak nampak pun?
 Lalu aku menjawab "Adik ada otak tak?" Dia menjawab ya ada. Tunjukkan ustaz mana otak adik? Dia cakap ada tapi tak boleh nampak pasal duduk kat dalam. Lalu aku berkata. Adik takde otaklah kalau macam tu. Dia tersenyum dan malu-malu dengan wajah manja dia menegaskan dia ada otak.

2. Soalan dari seorang mualaf yang berbangsa cina,
" Ustaz Allah dimana? Dekat ke jauh?
Aku menjawab, bagaimana rupa angin yang sering kita rasa? Nah, tidak pernah orang dapat melihat warna angin walaupun memakai penyaman udara. Sama seperti gula yang tidak dapat dipamerkan kemanisannya dalam secawan kopi. Allah itu sentiasa dekat dengan hambaNya.

"Pertanyaan Kunci Pengetahaun"
aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
12.26pm
6-6-2012
Shah Alam

Selasa, 5 Jun 2012

Jom Baca Hadis 39 : Menunaikan Hajat Orang Lain.


Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi s.a.w bersabda :

"Barangsiapa melapangkan orang mukmin dari suatu kesusahan (menunaikan hajat) dari kesusahan dunia nescaya Allah s.w.t melapangkan daripadanya akan kesusahan dari kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan, maka Allah s.w.t akan memudahkan ke atasnya daripada kesusahan di dunia dan di akhirat".

Riwayat Muslim.

Isnin, 4 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 136 : Nescaya dikau mengenal sahabatmu..


Alhamdulillah. Kalau memang sudah diizinkan Allah pasti ia akan terjadi. Terasa kepenatan yang amat sangat setelah berkembara merentasi beberapa negeri demi menyambung silaturahim.

Entahlah.. Aku lebih terkesan dengan pesanan Rasullah, " Jika mahu umurmu panjang, panjangkanlah silaturahim.." (Mafhum hadis)

Kala ini, aku baru sahaja tiba di Shah Alam bersama isteri, Hafiz dan Afham. Kami pergi ke sebuah majlis walimah di Kuala Ibai, Terengganu. Perjalanan bermula pada 2am Jumaat dan tiba pada jam 10am.

Setelah selesai majlis walimah tersebut, kami sempatlah makan angin dan mencuci mata di pelusuk daerah Terengganu. Antaranya, masjid terapung, masjid kritsal, pasar payang dan banyak lagilah. 

Yang paling menarik, sempat jugalah singgah mandi di Hutan Lipur Lentang, Pahang sebelum balik menuju Shah Alam.

Banyak pengalaman yang dapat dikutip sepanjang perjalanan ini. Yang lebih jelas kami dapat mempraktikkan ilmu berkaitan dengan solat jama' taqdim dan takhir. Mudahnya mendapat pahala dengan mengamalkan ilmu yang ada.

Antara yang paling indah, sepanjang kembara ini adalah mengenali kelakuan, sifat, perangai dan akhlaq sahabat kita. Dengan bermusafir ini, kita akan dapat mengetahui sejauh mana akhlaq sahabat kita. 

Apakah dia seorang yang berkira? Apakah dia seorang yang malas solat? Apakah dia melayani kita dengan sebaiknya? Benarlah pesan orang-orang tua. Mengenali seseorang adalah dengan bermusafir dengannya, "nescaya dikau akan mengenali sahabatmu".

Alhamdulillah, aku dikurniakan Allah isteri yang baik, sahabat-sahabat yang baik dan taat lagi patuh kepada agama. Tentang soal berkira? Jauh sekali untuk dibicarakan.. Allahua'lam.






~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
1.02am
4-6-2012
Kuala Ibai - Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails