Khamis, 21 Jun 2012

Sekadar Berkongsi 15 : Istikhoroh seorang makcik.



Teringat aku sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat baikku Pullah kala dulu. Di kediamannya ada seorang makcik "cleaner" yang hidup susah dan terpaksa membesarkan beberapa orang cucu.

Kesungguhan makcik ini bisa dilihat dari zahir pekerjaannya. Seawal jam 7am sudah mula menjalankan kerjanya membersihkan kawasan yang diamanahkan.

Hatinya bersih tergambar dari wajah tuanya yang sentiasa senyum. Suatu ketika sahabatku pernah bertanya kepada beliau, " Kenapa mak cik sentiasa ceria dan tenang? "

Mak cik itu menjawab, " Serahkan segala urusanmu kepada Allah, nanti tak pening dalam membuat keputusan ".

Sahabatku yang kehairanan. Lalu bertanya kepada makcik itu, " Maksud makcik? ".

" Lazimkanlah dirimu dengan solat istikhoroh, nescaya pilihanmu itu datang dari pilihan Allah ", kata makcik itu. 

" Nak, istikhoroh itu bukan hanya pada urusan yang besar seperti perkahwinan dalam memilih jodoh. Ramai dari kalangan kita sering melakukan istikhoroh ketika celaru memilih pasangan hidup, itu sebuah kebiasaan yang silap," ujar makcik itu.

" Makcik sedar, makcik merupakan orang yang susah pernah suatu hari makcik mendapat wang lebihan lalu makcik teringat mahu membeli televisyen kerana kesian melihat cucu kesunyian di rumah, dalam masa yang sama makcik juga mahu membeli mesin basuh, maka untuk tidak memeningkan makcik, makcik lakukan solat istikhoroh agar Allah memberi pilihan yang tepat kepada makcik," sambung makcik itu.

Terkedu sahabatku mendengar cerita dari makcik tua itu. Walaupun perkara itu remeh, makcik menyandarkan pilihan sepenuhnya kepada Allah.

Ternyata ruang ilmu itu bisa dikutip dari setiap pelusuk bumi bukan hanya dari segelintir manusia yang digelar guru.

Kerana ilmu itu milik Allah. Allah menghadirkan makcik itu untuk memberikan kita ilmu tentang keluasan istikhoroh yang sering kita abaikan. Benar kata makcik itu, pilihan yang tepat adalah datang dari pilihan Allah, Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
10.45am
21-6-2012
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails