Khamis, 25 Julai 2013

Coretan Yang Berkelana 178 : Dia Menitiskan Air Mata.



Pertemuan pada malam tiga hari sebelum Ramadhan itu telah menambahkan sebuah pengalaman hidupku. Aku bertemu dengan seseorang yang menjadikan aku lebih celik dalam dunia dakwah. Selama hari ini mungkin kita berasa ramai orang sudah kenal dengan Allah, tetapi sangkaanku meleset.

Setelah berjanji, aku bertemu dengan seorang hamba Allah selepas Isyak. Sejam awal pertemuan kami hanya bercerita tentang latar belakang pekerjaan dan aku lebih banyak bertanya tentang perjalanan bisnesnya.

Sehingga perbualan kami melewati jam ke dua, dia mula bertanya pendapatku tentang Allah, rupa Allah dan keadaan Allah. Lantas aku bertanya kepadanya, kenapa bertanyakan sedemikian?

Dia menjawab, selama hari ini dia banyak bertanya kepada para ustaz tetapi dia hanya dimarahi kerana bertanya soalan yang tidak sepatutnya ditanya oleh seorang muslim. Lalu dia bertindak memangkah ustaz dalam kehidupannya, dan membuatkan dia jauh dari agama.

Aku menarik lafaz lega, kerana diawal perkenalan aku tidak memberitahunya bahawa aku ini seorang ustaz kerana sememangnya aku suka menyembunyikan identitiku agar aku kelihatan seorang manusia biasa diluar. Cuma aku katakan aku hanya seorang pekerja swasta sahaja. Mungkin inilah titik tolakku dalam kembara dakwah ini.

Lalu aku menjawab, Allah itu bukan untuk dilihat dan dibayangkan kewujudanNya tetapi untuk dirasai keberadaanNya. Dia membalas dengan mengatakan selama 20 tahun dia tidak bersolat kerana memikirkan siapa yang dia sembah ditambah pula dengan latar belakang keluarga yang tidak bersolat.

Mendengar sambungan ceritanya, aku beristighfar di dalam hati. Astagfirullahal azim. Ya Allah dalam banyak-banyak manusia, kenapa Engkau pertemukan aku dengan dia. Ini sebuah amanah yang besar dari Mu Ya Allah.

Aku bertanya kepada dia, selama 20 tahun dia tidak bersolat pernahkah dia tidak bersarapan pagi dan makan tengahari? Dia menjawab tidak, bahkan hidupnya tidak pernah mengalami masalah kewangan.

Segera aku membalas, bayangkan Allah itu Sang Pencipta anda sungguh pun anda tidak menyembah Nya, tetapi urusan makan anda tidak pernah diabaikan. Bayangkan, kepala kita ini sungguh mulia, sehingga tidak ada satu manusia pun yang bisa menyentuhnya melainkan tukang gunting rambut.

Tetapi saat kita bersolat, dahi kita ini kita cecahkan dilantai ditempat yang kotor yang dipijak orang. Allah sengaja membuat begitu agar kita sedar kita hanyalah seorang hamba yang hina disisiNya.

Dia termanggu dan menitiskan air mata. Lebih kurang setengah jam kami tidak berbicara apa-apa. Kerana dia terkesima dan mengalirkan air mata. Kemudian dia berkata kepadaku, terima kasih kerana menunjukkan jalan kembali kepada Allah, saya tidak sabar untuk pulang sekarang dan bersolat.

Pertemuan pada malam itu berakhir sehingga jam dua pagi dan kami beransur pulang. Dalam perjalanan ke rumah kala sedang memandu, aku pula yang mengalirkan air mata, Ya Allah aku bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman Ya Allah, aku bersyukur dihantar ke sekolah agama Ya Allah, aku bersyukur kerana hidup dilingkungan mereka yang mengamalkan agamamu Ya Allah.

Ya Allah apa yang aku hendak jawab dihadapan Mu Ya Allah, begitu ramai lagi masyarakat yang jahil tentang agama Ya Allah. Apakah aku sudah melaksanakan tangggungjawabku sebagai seorang dai'e ( pendakwah ) Ya Allah. Ampunkan dosa kami Ya Allah kerana tidak menerangkan kepada masyarakat tentang agamamu Ya Allah. Amin.

Alhamdulillah kini sudah masuk 16 Ramadhan dia sudah berpuasa setelah 20 tahun tidak berpuasa. Dan dia bersungguh-sungguh menantikan azan untuk mendirikan solat setelah 20 tahun dia meninggalkan solat. Pertemuan kali ke tiga sempat aku hadiahkan kepadanya senaskhah al-Quran dan buku Falsafah Ketuhanan ( Hamka ) sebagai hadiah untuk dia baca agar lebih mengenali siapa Tuhannya.

Ya Allah Engkau kekalkanlah hidayah yang Engkau campakkan kepada dia dan kami Ya Allah. Engkau tambahkanlah iman dia dan iman kami Ya Allah. Amin. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.33am
25-7-2013
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails