Alhamdulillah kita telah masuk hari yang ke 4 Ramadhan, mudah-mudahan puasa dan amalan kita diterima oleh Allah s.w.t.
Perbahasan amalan untuk bulan Ramadhan terlalu banyak. Boleh dikatakan semua amalan baik pada bulan Ramadhan mengundang beribu pahala. Bahasa yang lebih mudah 'bulan meraih pahala'.
Cuma ada segelintir dari kalangan kita yang mengambil enteng tentang amalan-amalan dibulan Ramadhan ini. Antaranya amalan tarawih, witir, tadarus, tahajud sebelum sahur, bersedekah dan sebagainya.
Apa yang paling menyedihkan, mereka tidak meraikan kelebihan tarawih yang hanya ada pada bulan Ramadhan saja. Cubalah kita perhatikan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sudah keuzuran begitu gagah mendirikan solat tarawih 20 rakaat.
Kadang-kala timbul malu dihati ini, kita yang sihat wala'fiat sibuk mencari surau dan masjid yang buat 8 rakaat dan cepat. Kalau boleh taknak tazkirah dan sebagainya.
Kerana apa? Kerana kita tidak menyedari bahawasanya apakah kita akan panjang umur seperti orang-orang tua itu? Apakah kita boleh beramal apabila menjelang tua nanti? Apakah berkesempatan untuk kita hidup sampai tua?
Sering saja aku berjumpa dengan pengawal keselamatan, pekerja kilang dan beberapa profesion lagi yang menuntut untuk mereka kerja pada waktu malam.
Kebanyakan dari mereka bersedih apabila menjelang Ramadhan, kerana mereka tidak dapat bertarawih dimasjid secara berjemaah.
Apa lagi mahu menikmati berbuka puasa dimasjid beramai-ramai? Dan menyertai program tadarus setiap malam untuk membetulkan bacaan al-Quran masing-masing.
Bagi kita yang diberi kelapangan oleh Allah untuk beramal sempena bulan Ramadhan ini, janganlah kita persia waktu itu beredar begitu saja. Kerana nikmat beramal itu sudah direzekikan Allah.
Seandainya kita tidak mempunyai kelapangan masa, banyakkanlah berdoa kepada Allah agar kita direzekikan untuk beribadah kepadaNya. Allahua'lam.
~ Memburu Akhirat Meraih Dunia ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.29am
24-7-2012
Shah Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan