Isnin, 29 April 2013

Coretan Yang Berkelana 168 : Warkah Buat Bakal Pemimpin, Bicara Manifesto Keimanan.



Aku hanyalah rakyat marhaen yang lemah dan biasa-biasa sahaja. Cuma disini aku ingin menceritakan beberapa pendapat yang aku kira harusku nyatakan agar ia menjadi sebuah teladan buat kita semua.

Aku dilahirkan di dalam sebuah kota yang pesat membangun dari sudut teknologi, minda dan sosial budaya. Dalam wadah dakwah aku telah berkecimpung semenjak dari umurku 18 tahun lagi hinggalah sekarang ini, lantaran aku ini lepasan dari jurusan agama.

Banyak perkara yang sering bermain difikiranku. Semenjak dipondok menghafal Quran hinggalah menjadi seorang ayah kala ini. Lapangkan dakwah bukanlah sesuatu yang asing bagiku.

Berbagai NGO telahku sertai baik kumpulan usroh mahupun persatuan-persatuan yang besar. Bukan hanya menyebarkan risalah agama pada malam merdeka dan malam tahun baru sahaja, akan tetapi turut serta dalam operasi pencegahan maksiat dihotel-hotel bersama dengan jabatan agama Islam.

Pernah mendapat pengalaman dari cerita-cerita pasangan yang mempunyai anak luar nikah, terlanjur, terjebak dadah, bekas banduan, bekas-bekas samseng dan sebagainya.

Setelahku amati, ini bertitik tolak dari cara kehidupan mereka didalam keluarga yang rata-ratanya berkeluarga yang sederhana dan susah.


Lantaran dek kesusahan yang melanda di dalam keluarga, kesusahan itu menuntut ayah dan ibu mereka bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga.

Dan ditambah pula dengan bebanan harga barang yang tinggi, hutang kereta, kos minyak,kos tol,  kos sewa rumah, upah pengasuh, taska, pembelanjaan harian ke sekolah, utiliti pembayaran elektrik air dan lain-lain lagi. Meskipun si ayah bergaji RM1500 + gaji si ibu RM1500 = RM3000 itu tidak mencukupi untuk menyara dan membiayai kehidupan mereka di kota metropolitan ini.

Disebabkan kehidupan yang begitu sulit, si ayah dan si ibu menyerahkan bulat-bulat pendidikan kepada sekolah, pengasuh dan taska.

Dan apabila malam si ayah dan si ibu sudah kepenatan kerana kerja, mereka tidak mempunyai masa untuk berbual dengan anak tentang pembelajaran disekolah apalagi berdiskusi tentang urusan agama.


Didikan agama sudah semakin jauh tertinggal, dan jangan pelik ada yang datang belajar kepadaku mengaji al-Quran ketika sudah berusia puluhan tahun. Dan dari kaji selidik yang aku perolehi, ada juga anak-anak diperingkat universiti yang tidak tahu solat apalagi mahu membicarakan tentang ilmu tauhid dan feqah.

Kesemua ini bertitik tolak dari kos hidup mereka. Kerana minyak yang mahal dan bebanan tol menyebabkan kesemua fasiliti yang melibatkan penggunaan minyak dan tol menjadi mahal harganya.


Justeru itu aku, menyarankan kepada bakal pemimpin selepas pihak anda menang pada PRU 13 ini, silalah buat penilaian yang lebih teliti dan halus, rasailah kesusahan mereka agar dari kesusahan itu tadi tidak menyebabkan mereka menjadi binasa dalam beragama.

Teringat aku sebuah maksud hadis Rasulullah s.a.w.,

" Kefakiran itu hampir kepada kekufuran ".

Seandainya anda berkuasa nanti, renungkanlah :

1. Persoalan harga minyak
2. Kos tol yang ditanggung rakyat yang susah
3. Kos yuran pembelajaran
4. Laksanakanlah suruhan Allah
5. Jauhilah rasuah
6. Sifarkan hiburkan yang mendedahkan aurat
7. Fahamkan umat Islam apa itu Islam
8. Jangan terburu-buru dalam bab hudud, fahamkan orang Islam dan bukan Islam terlebih dahulu
9. Banyakkan rancangan tv yang lebih bersifat keagamaan
10. Fahamkan wanita Islam kenapa mereka perlu menutup aurat
11. Letakkan 2 pegawai agama disetiap hotel, agar tidak berlaku gejala check in 2jam ( gejala zina )
12. Letakkan pos polis disetiap 30km, untuk mengurangkan gejala ragut, rompak dsb
13. Tadbirlah bersandarkan syariat Islam, agar kita dirahmati Allah dan RasulNya.

Aku bukanlah seorang ahli ekonomi yang bisa membincangkan soal ketirisan, bajet, insflasi dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli ulama yang pandai membicarakan soal hudud dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli undang-undang yang bisa berbicara tentang soal perlembagaan dan kuasa sultan.
Aku bukanlah seorang ahli sejarawan yang bisa merungkai sejarah 13 Mei, Bukit Kepong, Tragedi Memali dan sebagainya.
Aku bukanlah ahli politik yang pandai berbicara soal kuasa, hak dan sebagainya.
Cuma aku hanyalah seorang pengembara yang menganalisa keadaan disetiap sekeliling berdasarkan latar belakang agamaku yang kerdil ini. 

Buat sahabat-sahabat sekalian, baca manifesto kesemua parti yang bertanding baik-baik dan fikir sedalamnya kemudian solat istikhoroh kepada Allah agar keputusan kita disepakati Allah. Allahua'lam.

~ Kritis Menongkah Teori ~
< Kembara Meraih Cinta iLahi >
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.00pm
29-4-2013
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails