Isnin, 7 Disember 2009

Riwayat uLama' tersohor 2 : Kewibawaan Allahyarham Ishak Baharom.


Dato' Mufti Haji Ishak bin Baharom (1 Januari 1928 - 30 Januari 2008) merupakan bekas mufti negeri Selangor Darul Ehsan, dan juga merupakan seorang pendakwah bebas. Beliau telah dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jaafar, berketurunan Banjar, berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Beliau mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Datin Hajah Maznah bte Yusuf yang berasal dari Manong, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan ini mereka mendapat 3 orang anak.

Dato Haji Ishak baharom bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai , Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.

Beliau menjawat jawatan Mufti Selangor pada 16 Ogos 1985 dan disahkan oleh Sultan Selangor. Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Mufti Selangor pada 1985 ialah Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38 Sabak Bernam. Beliau menjawat jawatan mufti selama 12 tahun (1985-1997).

Pada 1997 berikutan penegasannya bahawa pertandingan ratu cantik adalah haram. Allayarham telah 'dipecat' daripada jawatan mufti kerana perkara tersebut menjadi isu politik. Kerajaan negeri Selangor menggunakan istilah 'tidak memperbaharui kontrak' beliau yang akan tamat pada Oktober 1997. Ketika itu umur beliau 70 tahun.

Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)]. Media menyiarkan bantahan orang ramai terhadap tindakan menggari tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik itu, Pertandingan itu telah diadakan pada 13 Jun 1997 di di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dan pengumuman larangan orang Islam menyertai sukan bina badan oleh Mufti Sarawak.

Sumbangan idea dan pemikirannya berterusan apabila Allahyarham bergiat aktif dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik ahli Majlis Syura' Ulama PAS bagi tempoh dua penggal iaitu 2003-2005 dan 2005-2007. Beliau telah dijemput menberikan penerangan tentang kesyumulan Islam di pentas-pentas politik PAS.

Pada 30 Januari 2008, Dato' Haji Ishak, berumur 80 tahun, meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala pada jam 2.30 pagi di Hospital Sungai Buloh. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang . Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak sedarkan diri dan koma akibat pedarahan dalam kepala. Jenazah beliau dibawa ke rumah beliau di No 194 Jalan Tun Sambanthan Taman Sri Andalas Klang. Kemudian dikebumikan pada 31 Januari 2008 di kompleks Makam di Raja, Selangor. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di sisi orang-orang yang saleh. Amin.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails