Saat ini aku baru pulang dari beberapa perbincangan dengan sahabat-sahabatku tentang program kami pada malam "new year 2010" esok. Entahlah, pada masa ini aku dan group sahabat seperjuanganku ingin cuba menyelami ke dalam diri masyarakat dalam selok-belok berdakwah.
Mungkin selama hari ini, kita hanya mengkritik mereka yang membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Islam tanpa kita pernah mempunyai sekelumit di dalam hati ingin menegur, memberi nasihat atau mendoakan mereka. Apa yang kita rasa dalam hati, hanyalah dengan mudah mengatakan mereka akan masuk neraka jika tidak menutup aurat atau tidak bersolat.
Persoalannya, dimanakah realiti penghayatan agama dalam diri kita jika kita hanya mudah menuding jari ke atas mereka yang membuat maksiat kepada Allah s.w.t. Dan bagi mereka yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh agama, apakah mereka tidak faham dengan suruhan agama? Apakah mereka sengaja melanggar suruhan agama? Apakah mereka tidak pernah ditegur mahupun diberitahu tentang suruhan dan larangan agama?
Berbekalkan dengan pengalaman yang pernah aku ikuti beberapa pertubuhan yang turun ke dalam masyarakat setiap kali new year dan malam merdeka. Kini aku cuba mengemudi dan bersama-sama teman seperjuanganku dalam menjalankan "Dakwah Santai". Kami akan cuba memberikan secebis risalah kecil yang tidak seberapa dan ingin cuba berbual santai dengan golongan remaja.
Tujuan aku adalah ingin cuba membawa teman-teman seperjuanganku dalam menyelami rentak masyarakat ketika menyambut new year. Jadi kepada teman-temanku yang ingin turut serta dalam program kami bolehlah hadirkan diri anda :
Di Area Masjid Negeri Shah Alam
Jam 9.00 pm
Untuk mengenali kami, kami akan memegang kertas yang panjang dan akan cuba berkomunikasi dengan remaja-remaja yang ada, risalah kami tidak mencatatkan mana-mana persatuan, pertubuhan atau NGO dan kami tidak memakai baju yang seragam. Kami hanya memakai t-shirt biasa sahaja, insyallah jika berniat tulus dan ikhlas kita akan dipertemukan oleh Allah dalam satu perjuangan yang mulia. Doa kalian amat ku harapkan.
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
5.35am
30-12-2009
Shah Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan