Khamis, 30 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 171 : Kawan yang binasa.



Sedang asyik aku membasuh kereta petang Ahad itu, tiba-tiba aku disapa seorang pemuda.

Pemuda : Assalamualaikum ust? Rajin basuh kereta?

Aku : Waalaikumussalam. Alah biasalah kereta kotor sikit. Eh kau bila keluar ( keluar penjara )?

Pemuda : Dah dekat sebulan dah ustaz. Ni tak tahu nak kerja apa ustaz. Semua tak nak terima aku pasal aku bekas banduan kan.

Aku : Kalau aku tanya sesuatu kau marah tak? Boleh tak jawab jujur?

Pemuda : Boleh ustaz. Tanyal jelah.

Aku : Betul ke memang kau mencuri? 

Pemuda : Tak ustaz. Sumpah demi Allah aku tak mencuri. Aku teraniaya. Dia orang perangkap aku ustaz. Kalau aku mencuri ustaz, takkanlah aku boleh tidur kat rumah macam biasa. Polis datang tangkap aku pun masa aku tengah tidur dalam rumah ustaz.

Aku : Ok lah, kalau kau dah cakap gitu, aku cayalah. Itu kenyataan dari mulut kau. Soal kau menipu, itu urusan kau dengan Allah. Macam mana pengalaman duduk dalam penjara?

Pemuda : Penjara ustaz ? Hahaha.. Bukan jadi baik. Makin samseng adalah ustaz. Setiap hari bergaduh bertumbuk. Nak makan pun bertumbuk. Nak tidur pun bertumbuk. Sampai naik lali dah badan aku ni ustaz.

Aku : Jadi kau macam mana sekarang? Dah rasa insaf ke lepas kena sebat dalam penjara? 

Pemuda : Insaf tu insaflah ustaz. Silap aku juga berkawan dengan orang tak elok. Pasal dia orang aku duduk dalam. Sekarang ni semua orang dah tak caya aku ustaz.

Aku : Alhamdulillah baguslah kalau dah insaf. Kita ni berkawan kena beringat sikit. Kawan dengan orang baik, insyallah kita akan terserap perangai baiknya. Kawan dengan penipu, kita akan terserap perangai menipunya. 

Pemuda : Tulah ustaz, aku tengah cuba jadi elok ni. Ustaz doakan aku ye.

Aku : Insyallah aku doakan. Ha dah nak maghrib ni. Jum siap-siap kita jumpa kat masjid ok.. 

Kami bersalaman dan berpisah. Teringat aku sebuah hadis nabi yang bermaksud :

" Berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan mendapat bau wanginya dan berkawan dengan pembuat besi kita akan dapat bau tengiknya ". Allahualam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.30pm
30-5-2013
Shah Alam

Isnin, 20 Mei 2013

Jom Baca Kitab 6 : Izharul Haq dan Injil Barnabas.


Mempelajari selok-belok cara dan kehidupan agama lain turut dianjurkan dalam Islam. Ia bertujuan agar kita dapat menghayati bahawa Islamlah merupakan agama yang paling mulia dan suci. 

Islam merupakan agama yang bersih dan murni dari sebarang gejala mensyirikkan ( menyekutukan ) Allah s.w.t.


Kita dituntut untuk menambah ilmu pengetahuan. Buku Izharul Haq ini amat sesuai untuk mereka-mereka yang berminat untuk mengkaji agama Kristian.

Di dalam buku ini, dinyatakan penyelewangan Bible dan kecelaruan yang ada di dalamnya.

Alhamdulillah buku ini sudah diterjemah dari kitab asal yang berbahasa arab.

Buku ini amat sesuai untuk mereka yang ingin menjadi pendakwah. Di samping itu, aku selitkan Injil Barnabas ini sebagai rujukan kepada anda untuk mengetahui isi Injil itu.


Jangan risau, Injil Barnabas tidaklah sesat, bahkan banyak kenyataan didalamnya yang menyokong Islam dan menyatakan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w kita. Di dalamnya terdapat kata pengantar oleh Sayid Muhammad Rasyid Ridha.

Moga ia bermanfaat buat kita semua. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.00pm
20-5-2013
Shah Alam

Sabtu, 18 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 170 : Kasih-Sayang Paderi..



Kisah ini berlaku kira-kira dua tahun yang lalu. Sewaktu aku pergi ke Sabah seminggu selepas bernikah.. Bulan madu la tu..haha..

Di Sabah, aku mengambil pulang sebaiknya. Banyak pengalaman yang aku kutip sewaktu di sana. Aku berkesempatan melawat sebuah gereja yang ada di Ranau. 


Sewaktu sampai di depan gereja, Tommy yang merupakan sahabat adikku terus mencari paderi untuk meminta kebenaran masuk ke dalam gereja.

Aku sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang ini, yelah selama hari ini sewaktu di universiti aku hanya belajar apa yang ada di dalam agama Kristian sahaja. 


Setelah mendapat kebenaran dari paderi, kami melangkah masuk. Isteriku bertanya, bang tak dosa ke masuk gereja? Aku menjawab, adakah kita sedang buat maksiat sekarang? Takkan.. Jadi dosa celah mananya?..hehehe

Setelah masuk kedalam, kami dihampiri oleh seorang sister  yang sedang mengemas gereja untuk program sembahyang besok pagi yakni hari ahad.


Sister menyambut kami dengan senyuman dan bertanya kami semua dari mana dan sebagainya. Sedang asyik berborak, baru aku perasaan yang sister itu tidak memakai kasut.

Segera aku berkata kepada isteri dan adikku agar menanggalkan kasut dan seraya meminta maaf kepada sister. Sister itu berkata, " eh takpa bah, pakai je kasut tu.." Aku hanya tersenyum. Hebat betul dakwah si sister ini.


Si sister itu bersemangat menceritakan tentang agama Kristiannya, dan terjadilah beberapa dialog antara aku dan dia. Aku mengambil kesempatan sebaiknya untuk bertanya segala apa yang aku telah pelajari dulu, tetapi aku tidak berdebat.

Dari ruangan sembahyang sampai la ke altar tempat ritual meminum anggur dan memakan roti. Kemudian kami dibawa ke bilik perkahwinan dan bilik pengampunan. Dan yang paling aku terkejut, sister itu dengan selambanya mengajak kami masuk ke dalam bilik persalinan paderi. Kami ditunjukkan kitab-kitab yang dipakai untuk memberi khutbah serta jubah-jubah persalinan paderi.


Setiap warna jubah memainkan peranan program yang diadakan. Dan aku dimaklumkan bahawa di Malaysia khususnya di Nusantara, Kitab Bible Indonesia lah yang menjadi rujukan kini.

Setelah kami berlegar-legar di dalam gereja, kami meminta maaf dan mengundur diri. Si sister mengucapkan selamat jalan kepada kami.


Sewaktu dalam kenderaan pulang ke hotel, benakku berkata, " Kristian merupakan agama yang penuh dengan kasih sayang, paderi-paderinya tidak pernah marah, maki jika ada penganut agamanya yang berzina dan melahirkan anak luar nikah, mereka dinasihati dengan penuh kasih sayang dengan berpegang bahawa  Tuhan itu maha pengampun.

Setiap kali habis sembahyang dipagi Ahad, paderi akan tunggu di pintu keluar untuk mengucapkan selamat jalan sebagai tanda menghargai mereka yang datang sembahyang".


Masjid kita??? Hurm.. Mungkin perlu direvolusi lagi agar makmun merasa seronok untuk ke masjid jika para imam, bilal, siak dan masjid itu mesra dengan makmum. Allahua'lam.







~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
9.04pm
18-5-2013
Shah Alam

Rabu, 15 Mei 2013

Jom Baca Hadis 47 : Bertimbang Rasa Terhadap Pengikut.



Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :

" Apabila seorang dari kamu menjadi imam solat berjemaah maka hendaklah ia meringkaskan solatnya, kerana ada dikalangan para makmum itu orang yang lemah, orang sakit, orang tua dan orang yang mempunyai hajat. Dan apabila seseorang dari kamu solat bersendirian, maka terserahlah kepadanya untuk memanjangkan solatnya. "

Riwayat Bukhari dan Muslim.


Isnin, 13 Mei 2013

Jom Baca Kitab 5 : Hidup Tanpa Dusta...



Hidup disekeliling kita penuh dengan pendustaan. Samada pendustaan secara zahir mahupun tersembunyi.

Islam mengajar kita menjauhi dan membuang jauh sifat dusta ini dari kehidupan kita.

Kadang-kala kita telah mengdoktrinkan amalan berdusta ini sejak anak-anak kita kecil lagi. 

Contohnya ketika mahu mendiamkan anak kita yang sedang berguling menangis di pasaraya. Kita akan mengatakan polis, polis, diam.. Nanti polis tu tangkap awak.

Kita memupuk pendustaan terhadap anak kita, sedangkan adakah perbuatan menangis itu sebuah jenayah?

Terkadang kita menemui orang yang sedaya upaya untuk mengingkari kebenaran sedangkan mereka itu telah terperangkap dalam fatamorgana dunia yang menipu.

Sering aku perhatikan, sikap fanatisme seseorang itu akan menyebabkan dia cuba sedaya-upaya menyembunyikan kebenaran.

Jadi, bagi pendapat aku buku Hidup Tanpa Dusta ini sesuai untuk kita semua baca agar kita bisa belajar bagaimana cara untuk menjauhi sikap pendustaan dan belajar menyatakan kebenaran, Allahua'lam.. ( Terima kasih Zaki belanja aku buku ini dengan baucer kau..)

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
6.03pm
13-5-2013
Shah Alam

Ahad, 12 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 169 : Ustaz apa itu malaikat?



Alhamdulillah semakin hari semakin banyak pembacaan dan kajian yang dilakukan oleh Tea dan kami sering bertemu untuk berdiskusi tentang apa itu Islam dan Iman.

Setiap kali pertemuan, Tea pasti akan bertanya soalan yang banyak. Melihat kesungguhan dia mengkaji Islam aku merasa sedih dengan anak melayu Islam yang pada hari ini sudah melalaikan apa yang diajar oleh Islam itu sendiri.

Buku yang dibaca oleh Tea.

" Ustaz saya ada soalan sikit la nak tanya dengan ustaz", tanya Tea kepadaku. Lalu aku menjawab, "tanya jelah  mana yang saya tahu saya akan cuba jawab dengan sebaiknya".

Tea : Ustaz apa itu malaikat ?
AG : Malaikat merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah. Cuma mereka tidak boleh dilihat dengan mata kepala kita Tea. Adapun malaikat itu Allah ciptakan mereka tanpa ada nafsu, mereka hanya mempunyai iman dan taat melaksanakan perintah Allah. 
Tea : Kenapa Saidina Umar itu mulia ya Ustaz?
AG : Saidina Umar sebelum memeluk Islam merupakan orang yang terlalu membenci Islam. Selepas dia memeluk Islam dia merupakan orang yang penting dalam Islam ketika dizaman itu. Allah memberi pengajaran kepada kita, seorang yang jahat pada waktu semalam, mungkin dia lebih mulia pada esok harinya Tea.
Tea : Ustaz kenapa ada perempuan Islam tak tutup aurat?
AG : Sebelum saya menjawab pertanyaan awak Tea, ada tak orang dari kalangan Budha yang tidak pergi sembahyang?
Tea : Ada ustaz. Kenapa ya?
AG : Sama juga macam kami orang Islam, ada orang Islam yang hanya Islam berdasarkan pada lisannya sahaja, tetapi tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh Islam, kerana mereka lalai dengan dunia yang menyuruh mereka menayangkan aurat agar kelihatan seksi dan cantik, Allahua'lam.
Tea : Oh, macam tu ye ustaz. Terima kasih ustaz.
AG : Sama-sama. Moga Allah memberikan hidayah Nya kepada kamu Tea.

Ini merupakan antara dialog kami berdua, yang sebenarnya banyak lagi soalan yang Tea tanyakan kepadaku. Selepas itu kami bersalaman dan berpisah. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.09pm
12-5-2013
Shah Alam

Jumaat, 3 Mei 2013

Lirik Puitis 31 : Yang Remeh Temeh...



Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang

Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu

Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong
Suruh angguk-angguk
Suruh geleng-geleng

Oh puji lah aku
Ampu lah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku

By : Pak Pandir

Isnin, 29 April 2013

Coretan Yang Berkelana 168 : Warkah Buat Bakal Pemimpin, Bicara Manifesto Keimanan.



Aku hanyalah rakyat marhaen yang lemah dan biasa-biasa sahaja. Cuma disini aku ingin menceritakan beberapa pendapat yang aku kira harusku nyatakan agar ia menjadi sebuah teladan buat kita semua.

Aku dilahirkan di dalam sebuah kota yang pesat membangun dari sudut teknologi, minda dan sosial budaya. Dalam wadah dakwah aku telah berkecimpung semenjak dari umurku 18 tahun lagi hinggalah sekarang ini, lantaran aku ini lepasan dari jurusan agama.

Banyak perkara yang sering bermain difikiranku. Semenjak dipondok menghafal Quran hinggalah menjadi seorang ayah kala ini. Lapangkan dakwah bukanlah sesuatu yang asing bagiku.

Berbagai NGO telahku sertai baik kumpulan usroh mahupun persatuan-persatuan yang besar. Bukan hanya menyebarkan risalah agama pada malam merdeka dan malam tahun baru sahaja, akan tetapi turut serta dalam operasi pencegahan maksiat dihotel-hotel bersama dengan jabatan agama Islam.

Pernah mendapat pengalaman dari cerita-cerita pasangan yang mempunyai anak luar nikah, terlanjur, terjebak dadah, bekas banduan, bekas-bekas samseng dan sebagainya.

Setelahku amati, ini bertitik tolak dari cara kehidupan mereka didalam keluarga yang rata-ratanya berkeluarga yang sederhana dan susah.


Lantaran dek kesusahan yang melanda di dalam keluarga, kesusahan itu menuntut ayah dan ibu mereka bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga.

Dan ditambah pula dengan bebanan harga barang yang tinggi, hutang kereta, kos minyak,kos tol,  kos sewa rumah, upah pengasuh, taska, pembelanjaan harian ke sekolah, utiliti pembayaran elektrik air dan lain-lain lagi. Meskipun si ayah bergaji RM1500 + gaji si ibu RM1500 = RM3000 itu tidak mencukupi untuk menyara dan membiayai kehidupan mereka di kota metropolitan ini.

Disebabkan kehidupan yang begitu sulit, si ayah dan si ibu menyerahkan bulat-bulat pendidikan kepada sekolah, pengasuh dan taska.

Dan apabila malam si ayah dan si ibu sudah kepenatan kerana kerja, mereka tidak mempunyai masa untuk berbual dengan anak tentang pembelajaran disekolah apalagi berdiskusi tentang urusan agama.


Didikan agama sudah semakin jauh tertinggal, dan jangan pelik ada yang datang belajar kepadaku mengaji al-Quran ketika sudah berusia puluhan tahun. Dan dari kaji selidik yang aku perolehi, ada juga anak-anak diperingkat universiti yang tidak tahu solat apalagi mahu membicarakan tentang ilmu tauhid dan feqah.

Kesemua ini bertitik tolak dari kos hidup mereka. Kerana minyak yang mahal dan bebanan tol menyebabkan kesemua fasiliti yang melibatkan penggunaan minyak dan tol menjadi mahal harganya.


Justeru itu aku, menyarankan kepada bakal pemimpin selepas pihak anda menang pada PRU 13 ini, silalah buat penilaian yang lebih teliti dan halus, rasailah kesusahan mereka agar dari kesusahan itu tadi tidak menyebabkan mereka menjadi binasa dalam beragama.

Teringat aku sebuah maksud hadis Rasulullah s.a.w.,

" Kefakiran itu hampir kepada kekufuran ".

Seandainya anda berkuasa nanti, renungkanlah :

1. Persoalan harga minyak
2. Kos tol yang ditanggung rakyat yang susah
3. Kos yuran pembelajaran
4. Laksanakanlah suruhan Allah
5. Jauhilah rasuah
6. Sifarkan hiburkan yang mendedahkan aurat
7. Fahamkan umat Islam apa itu Islam
8. Jangan terburu-buru dalam bab hudud, fahamkan orang Islam dan bukan Islam terlebih dahulu
9. Banyakkan rancangan tv yang lebih bersifat keagamaan
10. Fahamkan wanita Islam kenapa mereka perlu menutup aurat
11. Letakkan 2 pegawai agama disetiap hotel, agar tidak berlaku gejala check in 2jam ( gejala zina )
12. Letakkan pos polis disetiap 30km, untuk mengurangkan gejala ragut, rompak dsb
13. Tadbirlah bersandarkan syariat Islam, agar kita dirahmati Allah dan RasulNya.

Aku bukanlah seorang ahli ekonomi yang bisa membincangkan soal ketirisan, bajet, insflasi dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli ulama yang pandai membicarakan soal hudud dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli undang-undang yang bisa berbicara tentang soal perlembagaan dan kuasa sultan.
Aku bukanlah seorang ahli sejarawan yang bisa merungkai sejarah 13 Mei, Bukit Kepong, Tragedi Memali dan sebagainya.
Aku bukanlah ahli politik yang pandai berbicara soal kuasa, hak dan sebagainya.
Cuma aku hanyalah seorang pengembara yang menganalisa keadaan disetiap sekeliling berdasarkan latar belakang agamaku yang kerdil ini. 

Buat sahabat-sahabat sekalian, baca manifesto kesemua parti yang bertanding baik-baik dan fikir sedalamnya kemudian solat istikhoroh kepada Allah agar keputusan kita disepakati Allah. Allahua'lam.

~ Kritis Menongkah Teori ~
< Kembara Meraih Cinta iLahi >
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.00pm
29-4-2013
Shah Alam

Rabu, 24 April 2013

Coretan Yang Berkelana 167 : Islam Memuliakan Wanita.



Selesai pengajian seperti biasa ruangan soalan diberikan pada pelajar-pelajar untuk bertanya, mengkritik, mengkomentar mahupun berdiskusi bagi menyuburkan suasana ilmiah di dalam kelas.

Pada kelas kali ini, kami membincangkan tentang hukum i'dah yakni penangguhan sementara untuk berkahwin baru bagi mereka yang bercerai mati mahupun bercerai hidup hukum khusus bagi wanita.

I'dah bagi wanita kematian suami adalah empat bulan sepuluh hari, dan i'dah wanita bagi cerai hidup adalah tiga kali datang suci berdasarkan kiraan tahun hijrah.

Tujuan besar i'dah adalah untuk memastikan si wanita itu tadi, tidak menghamilkan anak dari bekas suaminya, dengan tujuan jika terjadi pernikahan tidak berlaku perselisihan nasab ( keturunan ).

Seorang ahli akademi menyatakan pendapat seraya bertanya kepadaku.

" Tadi ustaz ada terangkan tentang hukum i'dah bagi wanita yang bercerai hidup mahupun bercerai mati melalui penafsiran surah al-Baqarah yang kita bincangkan, jadi apakah relevannya i'dah ya ustaz? 

Kerana zaman sekarang ni sudah ada alat-alat pencegah kehamilan misalannya kondom, ubat perancang kehamilan dan inzal ( melepaskan mani diluar rahim ) dan ternyata menurut sains dan kebiasaannya jarang wanita hamil apabila melakukan proses-proses tersebut."

Lalu aku menjawab, ya Islam mengiktiraf sains dan teknologi. Berdasarkan faktor-faktor sains, kaedah pencegahan kehamilan itu biasanya berhasil dan wanita tidak mengandung. Tetapi tidak dinafikan rezeki yang telah ditakdirkan oleh Allah, ada juga yang mengandung walaupun telah cuba sedaya upaya menghalang kehamilan tersebut.

Yang ingin kita bahaskan di sini, bukanlah kerana permasalahan kehamilan itu semata-mata, tetapi Islam menaikkan dan memuliakan martabat wanita dengan mengadakan i'dah yakni penangguhan sementara sebelum berkahwin baru demi menjaga kesucian wanita.

Agar wanita itu tidak sama kedudukannya dengan pelacur, yang bisa sahaja berpindah-randah menukar pasangan dengan sesuka hati.

Jika suka ia berkahwin, jika benci, bergaduh bercerai dan kahwin yang baru. Seolah-olah nilai maruah wanita itu murah. Islam mengangkat martabat wanita, agar wanita itu tidak diperlekehkan dan hanya dijadikan bahan seks semata.

Wanita itu dimuliakan darjatnya supaya wanita itu tidak dieksplotasikan untuk menjadi bahan tontonan dan menjadi penghibur bagi kaum lelaki semata. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.30am
24-4-2013
Shah Alam

Isnin, 15 April 2013

Jom Baca Kitab 4 : Menjadi Ayah Yang Berjaya.



Alhamdulillah aku baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang boleh dikatakan lebih kepada buku motivasi. Buku itu bertajuk " Menjadi Ayah Yang Berjaya ".

Bagi pendapat aku, dizaman yang serba canggih ini cara mendidik anak juga perlu ditransformasikan. Kini kita berada dialaf 2013. Zaman sudah berubah. Maklumat kini hanya dihujung jari sahaja.

Apakah kita perlu mundur dengan pendidikan menggunakan teori rotan dan penampar? Ya merotan juga salah satu kaedah yang diajar dalam Islam. Tapi apakah kesemua kesalahan anak perlu dirotan dan ditengking? Islam menyuruh kita merotan anak jika dia tidak mahu bersolat.

Buku ini lebih membahaskan tentang cara pendidikan yang berasaskan motivasi. Salah satu kelemahan kita pada hari ini, kita hanya melarang anak untuk berbuat itu dan ini tanpa menyatakan alasannya, sedangkan minda dan jiwa mereka kekosongan dan dibebani perasaan ingin tahu.

Lantas, meskipun dihalang dan dirotan mereka tetap membuatnya juga demi mengetahui apakah yang akan mereka perolehi jika berbuat sesuatu yang dilarang.

Buku ini juga membicarakan tentang kualiti masa terhadap anak-anak. Dek tuntut hidup dizaman yang barang semua begitu mahal, ayah dan ibu terpaksa berkerja dan meletakkan tanggungjawab pendidikan pada taska atau orang gaji.

Masa merupakan kasih sayang yang lebih berkualiti dalam mendidik anak-anak. Secara jujurnya, anak terlalu manja dan minta dirai kemanjaannya. 

Bagi aku, buku ini antara yang terbaik jugalah. Sesuai untuk mereka-mereka yang macam aku, yang baru bergelar ayah. Lantaran dada kita ini kosong dengan ilmu dan pengalaman, buku ini sesuai untuk dijadikan sebuah sandaran. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
7.00pm
15-4-2013
Shah Alam

Jumaat, 12 April 2013

Coretan Yang Berkelana 166 : Menulis bukan kerna nama...




Setiap orang dianugerahkan Allah dengan kelebihan, keistimewaan dan turut diselitkan dengan sifat kelemahan sebagai manusia.

Manusia itu bebas menggunakan setiap kelebihan yang Allah berikan kepada dia, samada dia menggunakan kelebihan itu sebagai jalan untuk ke syurga mahupun dia memilih untuk terpelecok ke neraka.

Apa pun, akal merupakan kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah yang tidak ternilai dalam erti kata lain terlalu mahal nilainya sehingga tidak boleh ditaksir dengan nilai matawang.

Akal merupakan merupakan kelebihan yang dianugerahkan Allah untuk membezakan antara manusia dengan haiwan.

Apa yang akan jadi jika manusia hidup tanpa akal? Sudah pasti jawapannya manusia akan bertelanjang persis binatang kerana tidak tahu menilai kecantikkan badannya bukan untuk dipertontonkan kepada manusia sebaliknya kecantikkan itu untuk disyukuri.

Begitulah yang terjadi pada blog aku ini. Aku meminta maaf sekiranya apa yang aku tulis boleh jadi dibenci oleh para pembaca. Aku tetap memegang prinsip " aku menulis bukan kerna nama ".

Apalah nilaian disebalik nama, gelaran, pangkat dan sebagainya. Kesemua itu tidak pernah menjadi jaminan untuk melangkahi pintu syurga.


Aku menulis kerana Sang Pencipta. Allah telah mencampakkan sedikit kefahaman kepadaku, lantaran itu menjadi kewajiban dibahuku untuk menyampaikan amanah ilmu itu.

Mungkin tulisan aku ada yang menilai tulisan menghentam sesetengah pihak, menyokong sesetengah pihak. Nah ternyata tohmahan anda salah. Aku hanya mengongsikan kefahaman aku yang sedikit kepada mereka yang sudi membacanya.

Apalah nilaian menjaga hati manusia, sedangkan menafikan syariat dan hukum Allah serta Rasulnya.

Aku hanya menulis menyatakan kebenaran, kerana hadis nabi itu jelas menyuruh kita menyampaikan kebenaran meskipun ia pahit untuk ditelan.

Mungkin, tulisanku tidaklah sehebat tulisan Dr. Zaharuddin, Ustaz Saiful Islam, Dr. Asri dan sebagainya. Tulisanku ini hanya menjadi sebuah titian kecil untuk mereka-mereka melintasi jambatan yang lebih besar.

Tidak pandaiku membicarakan hadis yang rumit, apalagi menafsirkan ayat-ayat Quran yang musytabihat. Blog ini, hanya sedikit perkongsian bagi mereka yang baru mengenal agama. 

Sebab itu di dalam blog ini, tidak sarat dengan dalil-dalil Quran mahupun hadis. Apalagi memuatkan perdebatan antara ahli sunnah vs wahabi, ataupun ahli sunnah vs syiah atau membicarakan kitab-kitab tasawuf yang tinggi apalagi perbandingan empat mazhab fiqh ( Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali ).

Lebih jauh lagi untuk membicarakan sudut falsafah ketuhanan dengan menampilkan pendapat-pendapat Imam Ghazali, Plato, Socrates dan yang lain-lain lagi.


Kita semua sudah dianugerahkan Allah dengan akal yang sempurna, nah terpulang pada kita untuk menggunakannya. Dan aku meminta maaf andai terguris hati kala membaca tulisan-tulisanku selama ini,. Itu jelas menunjukkan kelemahanku sebagai manusia. 

Akhir kata, gunakanlah neraca akal untuk menilai sesuatu tulisan. Ingat baca dengan ilmu, bukan baca dengan emosi. Allahua’lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
2.29am
12-4-2013
Shah Alam

Khamis, 11 April 2013

Jom Baca Hadis 46 : Pemimpin Yang Menipu.




Dari Ma'qil bin Yasar r.a. ia berkata bahawasanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

" Tiada seorang Muslim yang Allah menyerahkan kepadanya amanah untuk memimpin rakyat, lalu ia meninggal dunia dihari ia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkannya masuk syurga.." 

Riwayat Muttafaqun A'laih, dalam Bulughul Maram susunan Imam Hajar al-Asqolani.

P/s : Pesanan kepada semua bakal pemimpin yang sibuk nak memimpin, ingat janji Allah itu pasti..

Rabu, 10 April 2013

Coretan Yang Berkelana 165 : Sikap keterbukaan Firaun.



Setelah mendapat wahyu dan perintah daripada Allah. Gigihlah Nabi Musa dan Nabi Harun menyampaikan seruan dakwah. Meskipun dikecam dan dikutuk Bani Israil.

Sampailah ketika Allah memerintahkan mereka untuk menyampaikan seruan tauhid kepada Firaun yang Maha Zalim itu.

Perkhabaran mengenai seruan tauhid itu sampai ke cuping telinga Firaun. Firaun menjadi murka kerana selama ini Firaun telah mengangkat dirinya sebagai Tuhan sekalian alam.

Firaun yang sememangnya terkenal dengan perangai yang Maha Zalimnya itu, telah memanggil Nabi Musa dan Nabi Harun untuk mengadap beliau.

Ini kerana Firaun kehairanan melihat ada Bani Israil yang menganuti fahaman dan ajaran Nabi Musa dan Nabi Harun. Lalu terjadilah debat diantara Firaun menentang Nabi Musa dan Nabi Harun.

Berdebat dan terus berdebat. Ternyata Firaun kalah pada hujah. Dengan segara Firaun MENGUNGKIT SEGALA PEMBERIANNYA kepada Nabi Musa sewaktu memelihara Nabi Musa semenjak dari kecil. Dan Firaun mengingatkan agar Nabi Musa MENGENANG JASANYA SELAMA INI.

Disini bisa kita amati sikap keterbukaan Firaun, meskipun beliau kerajaan yang zalim dan pemerintah yang diktaktor, tetapi beliau mengamalkan demokrasi dan hak bersuara untuk menyatakan pendapat dan diberi ruang Nabi Musa dan Nabi Harun untuk memberi penjelasan.

Mungkin Firaun itu Maha Zalim, tapi sikap keterbukaanya itu bisa kita teladani untuk kehidupan seharian.

Berilah kesempatan orang lain untuk menyatakan pendapat dan pandangan dia. Berilah hak dan ruang sebaiknya.

Kalau kita bertindak zalim dan tidak memberi orang lain untuk bersuara, ternyata kita lebih zalim dari si Firaun yang maha zalim. 

Sebagai penutup kata, bagi si pemberi sesuatu imbuhan dan meminta kembali sesebuah habuan, itu paling layak digelar orang yang mengungkit dan tidak ada kata yang lebih layak melainkan dia sama sahaja dengan perangainya  Firaun laknatullah.. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
6.12pm
10-4-2013
Shah Alam 

Lirik Puitis 30 : Bangkit




Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula
Bangkit

Dengan nama yang Maha Esa
Maafkan aku aku terlena
Mata buka tapi aku leka
Sekarang kita sedia pasang deria kita lebih peka

Siap gerak gempur
Siap rentak tempur
Redah onak lumpur
Maju tiada undur
Tak kenal uzur hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan lutut dan siku dihulur

Ini malam kita pakai tanjak songsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segorombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan ada yang berlobang

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila dijajah boleh tawanlah semula
Bangkit ingat ketua dulu supaya jalan lurus
Kalau tidak ditepi bendung ku tak berakar

Sabit kau umpama cahaya
Yang menyinari bumi
Kau umpama Hang Jebat
Yang melindungi hak dirinya
Kau umpama senjata
Yang melindungi tanah
Sememangnya pendekar yang gagah perkasa

Mana Tun Fatimah
Mana semangat Tun Teja Datuk Maharajalela
Mana cucu Datuk Merah
Keberanian Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan
Mari memartabatkan perjuangan Datuk Bahaman

Keris dulu dalam tangan sekarang dalam otak
Paling tajam tak perlu hunus keluar tengkorak
Catur congak cukup sebelum langakah diorak
Tanpa rancangan rapi dah tentu kemenangan rosak

Rapat-rapatkan saf dan buka kuda-kuda
Bila bersatu tunggu lihat siapa berani cuba
Yang akan datang menaruh pada yang semasa
Bangkitlah nusantara

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila dijajah boleh tawanlah semula
Bangkit ingat ketua dulu supaya jalan lurus
Kalau tidak ditepi bendung ku tak berakar

Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun betapa sakit
Sebelum layar bahtera mari kita

Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang senang kemudian
Kemudian

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit.. bangunlah semula
Bangkit.. tawanlah semula
Bangkit.. umpama cahaya

By : DJ Fuzz, Altimet , Salam

Jumaat, 5 April 2013

Jom Baca Kitab 3 : Hidup Tenang Walaupun Berhutang.



Kali ini aku ingin berkongsi dengan kalian sebuah buku motivasi yang ditulis oleh Shamsuddin Kadir. Jika membaca dari tajuk saja, kemungkinan kalian akan menyangka buku ini mengajar kita agar berhutang.

Nah, ternyata anggap kalian salah. Buku ini mengajar kita bagaimana menyingkirkan hutang dengan secara perlahan-lahan.

Apa yang menariknya, buku ini sesuai untuk mereka yang makan gaji. Iaitu tiada sumber pendapatan lain. Buku ini juga mengajarkan kepada kita tentang bahayanya hutang kredit kad. Kredit kad merupakan penyakit terbesar yang melanda masyarakat muda hari ini. 

Sudah ramai yang kecundang dan muflis ada awal usia kerana terjebak dengan penggunaan kad kredit yang tidak sistematik dan terancang.

Pada hujung buku ini, penulis menerangkan kesan hutang pada sudut agama. Itu menyebabkan aku suka membaca buku ini. Suatu perbahasan yang menarik, apa bila kita banyak hutang, kita akan pening kepala untuk mencari duit dan menyelesaikan semua hutang kita. 

Secara tidak langsung kita sudah pun menjadi hamba dunia atau hamba duit. Pabila berhutang menyebabkan hati menjadi tidak tenang.

Aku lebih terkesan dengan beberapa ayatnya yang mengatakan fahami erti keperluan dan kemahuan.  Teori ini merupakan teori Abraham Maslow yang mengajar kita seandainya ingin membeli sesebuah barang, tanya pada diri apakah itu keperluan atau kehendak. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.58pm
5-4-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails