Ahad, 1 Mei 2011

Coretan Yang Berkelana 108 : Kembara Makam Tuan Tulis...


Alhamdulillah kira-kira jam 2.19pm aku, Afham dan Zaki tiba dimakam Tuan Tulis di Kuala Pilah. Ini berikutan ada beberapa urusan yang perlu aku selesaikan di Pedas, maka untuk tidak membazirkan masa yang ada setelah selesai urusan tersebut kami terus pergi menziarahi makam Tuan Tulis..

Menurut sejarah Tuan Tulis ini merupakan seorang guru agama yang terkenal di Negeri Sembilan. Lebih-lebih lagi di daerah Kuala Pilah. Beliau merupakan seorang tokoh agama, guru agama dan pendakwah juga terkenal pada sudut pengamal perubatan Islam. 

Sesetengah pendapat mengatakan beliau adalah wali Allah kerana pernah dikurniakan karamah yang disaksikan oleh masyarakat setempat.

Apa yang menarik perhatian aku untuk menziarahi makam beliau, kerana aku pernah mendengar riwayat cerita kehidupan beliau dari seorang guruku. Tuan Tulis diberi gelaran sedemikian kerana perangainya yang suka menyalin kitab-kitab agama.

Diceritakan pada kala Tuan Tulis sedang menelusuri zaman pembelajaran, beliau adalah seorang anak yang miskin. Jadi beliau tidak mampu membeli buku pembelajaran beliau.

Tetapi dikurniakan Allah kecerdikan dan kerajinan yang membolehkan beliau menyalin setiap kitab pada malam hari untuk pembelajaran yang akan dipelajarinya pada esok hari. Jadi kerana kerajinan beliau menyalin atau menulis kitab itulah beliau digelar "Tuan Tulis"..

Teringat aku akan syair dan disiplin ilmu Imam as-Syafie yang pernah mengatakan syarat untuk menuntut ilmu memerlukan duit. Ini kerana duit merupakan asas untuk membeli alat tulis dan kitab-kitab..

Antara karamahnya Tuan Tulis beliau pernah mengubati Yang Dipertuan Besar N.9 di London padahal beliau sudah pun meninggal dunia 3 tahun yang sudah. Beliau memelihara kerbau dan beliau berpesan kepada kerbau-kerbaunya agar tidak memakan padi dan tanaman orang kampung, kerbau-kerbau tersebut seolah-olah memahami arahan beliau. 

Beliau amat cintakan binatang dan kebebasan. Sehingga pada suatu hari beliau membeli banyak burung-burung yang dikurung orang dan setelah membeli burung-burung itu beliau pun melepaskannya.

Tuan Tulis lebih terkenal dengan sikap pendakwahnya secara tidak formal. Beliau lebih gemar mendekati masyarakat dengan cara bergaul dan menasihati masyarakat tanpa mereka terasa hati. Beliau pandai bergaul dengan kanak-kanak.

Begitulah kehidupan para ulama' yang dikasihi oleh Allah. Mereka secara tidak langsung mengajak masyarakat untuk mencintai Allah dengan cara yang paling hikmah. Allahua'lam.












aL-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.43am
1-5-2011
Kg. Kuala Talang, N.9

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails