Rabu, 20 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 139 : Ilmu itu rezeki.



Sering saja orang mengatakan rezeki, ajal dan jodoh itu adalah ketentuan dari Allah. Ya itu tidak dapat dinafikan kerana sudah termaktub di dalam sabda junjungan nabi kita yang tercinta.

Aku sering berjumpa dengan orang-orang yang sibuk. Ada yang sibuk bekerja, sibuk menguruskan anak dan  yang pelik buat-buat sibuk.

Acap kali orang seperti ini mengatakan kepadaku, " ustaz saya teringin nak belajar mengaji, ustaz saya teringin nak pergi kuliah di masjid tapi masa tidak mengizinkan."

Aku hanya diam membisu. Kemudian aku menjawab dengan lisan yang tenang agar tidak menguris hati mereka ini.

Abang banyakkan berdoa kepada Allah agar dimudahkan urusan, agar tidak sibuk dan dipermudahkan untuk menuntut ilmu. Kerana apa, bagi pendapat aku ilmu adalah sebuah rezeki yang dikurniakan Allah kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki.

Seandainya kita disibukkan Allah, itu bermakna kita belum direzekikan oleh Allah untuk menuntut ilmu. Cuma apa yang malangnya, kalau difikirkan masa itu kita yang rancang. Tidak timbul isu terlalu sibuk.

Allah Maha Bijaksana. Allah menjadikan masa 24jam untuk mencukupi segala urusan di dunia dan di akhirat. Masakan Allah itu bodoh mencipta sesuatu yang tidak berguna kepada hambaNya. 

Mustahil Allah bersifat bodoh. Allah adalah pencipta segala-galanya. Maka Allah Maha Mengetahui dengan mencipta 24jam itu mencakupi segala-galanya.

Teringat aku pesan guruku dahulu, "rajin-rajinlah berdoa kepada Allah agar direzeki Allah untuk menuntut ilmu, kerana ilmu adalah kurniaan Allah.." 

Akan tetapi wujud juga segelintir manusia yang tidak sibuk tetapi tidak merapatkan diri untuk ke majlis ilmu. Suka mencari alasan kala diajak ke majlis ilmu. 

Ketahuilah, kalau kita sudah mula menjauhikan diri dari majlis ilmu, hati kita sudah mula membiakkan titik-titik hitam untuk jauh dari hidayah Allah.. Nau'zubillahi min zalik.

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
10.37am
20-6-2012
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails