Jumaat, 29 Jun 2012

Coretan Yang Berkelana 142 : Meniti Usia..Memburu Pahala..



Suka aku melihat pakcik- pakcik dan makcik-makcik di dalam kelas aku. Mereka tekun belajar. Apa yang menariknya setiap kali aku memeriksa buku mereka ternyata mereka membuat ulang-kaji. 

Seronok sungguh hati ini melihat kesungguhan dan kegigihan mereka dalam menuntut ilmu. Cuma kekadang ada juga yang bermasalah antaranya tidak mematikan telefon bimbit ketika waktu kelas. Bagi aku, biarlah orang tua mungkin perkara sedemikian dianggap terlalu kecil.

Ia berbeza dengan waktu aku belajar dulu. Bunyi telefon bimbit merupakan suatu perbuatan yang kurang adab di sisi guruku. Yelah zaman berlalu, era pendidikan sudah semakin berubah.

Melihat terlatah mereka di dalam kelas terhibur sungguh hati ini. Sering saja aku berdoa di dalam hati agar Allah merezekikan aku menuntut ilmu seperti mereka walaupun sudah lanjut usia.

Tidak kurang juga ada beberapa orang pelajar tua ini yang acap kali tidur di dalam kelas. Kemungkinan keletihan menguruskan kehidupan dan menjaga cucu. Pernah sekali aku ringankan mulut untuk bertanya kepada mereka ini.

" Pakcik kan dah tua, selalu keletihan semasa belajar kenapa tak rehat je kat rumah?", tanya aku.

" Biasalah ustaz mengurus rumah dan cucu keletihan sikit je. Bukan tak nak rehat kat rumah ustaz, pakcik teringat ada seorang tuan guru dulu pernah cakap tidur dalam majlis ilmu pun pahala, " ujar pakcik itu.

" Lagi pun dah tua-tua ni kena banyakkan pahala, bila-bila je kena panggil mengadap Allah. Dulu zaman muda banyak dosa. Bagi pakcik biar pun tak paham apa ustaz ajar, datang kelas pun dah dapat pahala, " sambung pakcik itu.

Aku diam dan merenung kalimah perkataanya, ya benar sungguh seperti apa yang disabdakan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis :

" Jadilah kalian orang yang mengajar atau belajar atau orang mendengar atau orang mencintai orang yang belajar ".Mafhum hadis. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
3.10pm
29-6-2012
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails