Ahad, 12 Mei 2013

Coretan Yang Berkelana 169 : Ustaz apa itu malaikat?



Alhamdulillah semakin hari semakin banyak pembacaan dan kajian yang dilakukan oleh Tea dan kami sering bertemu untuk berdiskusi tentang apa itu Islam dan Iman.

Setiap kali pertemuan, Tea pasti akan bertanya soalan yang banyak. Melihat kesungguhan dia mengkaji Islam aku merasa sedih dengan anak melayu Islam yang pada hari ini sudah melalaikan apa yang diajar oleh Islam itu sendiri.

Buku yang dibaca oleh Tea.

" Ustaz saya ada soalan sikit la nak tanya dengan ustaz", tanya Tea kepadaku. Lalu aku menjawab, "tanya jelah  mana yang saya tahu saya akan cuba jawab dengan sebaiknya".

Tea : Ustaz apa itu malaikat ?
AG : Malaikat merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah. Cuma mereka tidak boleh dilihat dengan mata kepala kita Tea. Adapun malaikat itu Allah ciptakan mereka tanpa ada nafsu, mereka hanya mempunyai iman dan taat melaksanakan perintah Allah. 
Tea : Kenapa Saidina Umar itu mulia ya Ustaz?
AG : Saidina Umar sebelum memeluk Islam merupakan orang yang terlalu membenci Islam. Selepas dia memeluk Islam dia merupakan orang yang penting dalam Islam ketika dizaman itu. Allah memberi pengajaran kepada kita, seorang yang jahat pada waktu semalam, mungkin dia lebih mulia pada esok harinya Tea.
Tea : Ustaz kenapa ada perempuan Islam tak tutup aurat?
AG : Sebelum saya menjawab pertanyaan awak Tea, ada tak orang dari kalangan Budha yang tidak pergi sembahyang?
Tea : Ada ustaz. Kenapa ya?
AG : Sama juga macam kami orang Islam, ada orang Islam yang hanya Islam berdasarkan pada lisannya sahaja, tetapi tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh Islam, kerana mereka lalai dengan dunia yang menyuruh mereka menayangkan aurat agar kelihatan seksi dan cantik, Allahua'lam.
Tea : Oh, macam tu ye ustaz. Terima kasih ustaz.
AG : Sama-sama. Moga Allah memberikan hidayah Nya kepada kamu Tea.

Ini merupakan antara dialog kami berdua, yang sebenarnya banyak lagi soalan yang Tea tanyakan kepadaku. Selepas itu kami bersalaman dan berpisah. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.09pm
12-5-2013
Shah Alam

Jumaat, 3 Mei 2013

Lirik Puitis 31 : Yang Remeh Temeh...



Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang

Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu

Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong
Suruh angguk-angguk
Suruh geleng-geleng

Oh puji lah aku
Ampu lah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku

By : Pak Pandir

Isnin, 29 April 2013

Coretan Yang Berkelana 168 : Warkah Buat Bakal Pemimpin, Bicara Manifesto Keimanan.



Aku hanyalah rakyat marhaen yang lemah dan biasa-biasa sahaja. Cuma disini aku ingin menceritakan beberapa pendapat yang aku kira harusku nyatakan agar ia menjadi sebuah teladan buat kita semua.

Aku dilahirkan di dalam sebuah kota yang pesat membangun dari sudut teknologi, minda dan sosial budaya. Dalam wadah dakwah aku telah berkecimpung semenjak dari umurku 18 tahun lagi hinggalah sekarang ini, lantaran aku ini lepasan dari jurusan agama.

Banyak perkara yang sering bermain difikiranku. Semenjak dipondok menghafal Quran hinggalah menjadi seorang ayah kala ini. Lapangkan dakwah bukanlah sesuatu yang asing bagiku.

Berbagai NGO telahku sertai baik kumpulan usroh mahupun persatuan-persatuan yang besar. Bukan hanya menyebarkan risalah agama pada malam merdeka dan malam tahun baru sahaja, akan tetapi turut serta dalam operasi pencegahan maksiat dihotel-hotel bersama dengan jabatan agama Islam.

Pernah mendapat pengalaman dari cerita-cerita pasangan yang mempunyai anak luar nikah, terlanjur, terjebak dadah, bekas banduan, bekas-bekas samseng dan sebagainya.

Setelahku amati, ini bertitik tolak dari cara kehidupan mereka didalam keluarga yang rata-ratanya berkeluarga yang sederhana dan susah.


Lantaran dek kesusahan yang melanda di dalam keluarga, kesusahan itu menuntut ayah dan ibu mereka bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga.

Dan ditambah pula dengan bebanan harga barang yang tinggi, hutang kereta, kos minyak,kos tol,  kos sewa rumah, upah pengasuh, taska, pembelanjaan harian ke sekolah, utiliti pembayaran elektrik air dan lain-lain lagi. Meskipun si ayah bergaji RM1500 + gaji si ibu RM1500 = RM3000 itu tidak mencukupi untuk menyara dan membiayai kehidupan mereka di kota metropolitan ini.

Disebabkan kehidupan yang begitu sulit, si ayah dan si ibu menyerahkan bulat-bulat pendidikan kepada sekolah, pengasuh dan taska.

Dan apabila malam si ayah dan si ibu sudah kepenatan kerana kerja, mereka tidak mempunyai masa untuk berbual dengan anak tentang pembelajaran disekolah apalagi berdiskusi tentang urusan agama.


Didikan agama sudah semakin jauh tertinggal, dan jangan pelik ada yang datang belajar kepadaku mengaji al-Quran ketika sudah berusia puluhan tahun. Dan dari kaji selidik yang aku perolehi, ada juga anak-anak diperingkat universiti yang tidak tahu solat apalagi mahu membicarakan tentang ilmu tauhid dan feqah.

Kesemua ini bertitik tolak dari kos hidup mereka. Kerana minyak yang mahal dan bebanan tol menyebabkan kesemua fasiliti yang melibatkan penggunaan minyak dan tol menjadi mahal harganya.


Justeru itu aku, menyarankan kepada bakal pemimpin selepas pihak anda menang pada PRU 13 ini, silalah buat penilaian yang lebih teliti dan halus, rasailah kesusahan mereka agar dari kesusahan itu tadi tidak menyebabkan mereka menjadi binasa dalam beragama.

Teringat aku sebuah maksud hadis Rasulullah s.a.w.,

" Kefakiran itu hampir kepada kekufuran ".

Seandainya anda berkuasa nanti, renungkanlah :

1. Persoalan harga minyak
2. Kos tol yang ditanggung rakyat yang susah
3. Kos yuran pembelajaran
4. Laksanakanlah suruhan Allah
5. Jauhilah rasuah
6. Sifarkan hiburkan yang mendedahkan aurat
7. Fahamkan umat Islam apa itu Islam
8. Jangan terburu-buru dalam bab hudud, fahamkan orang Islam dan bukan Islam terlebih dahulu
9. Banyakkan rancangan tv yang lebih bersifat keagamaan
10. Fahamkan wanita Islam kenapa mereka perlu menutup aurat
11. Letakkan 2 pegawai agama disetiap hotel, agar tidak berlaku gejala check in 2jam ( gejala zina )
12. Letakkan pos polis disetiap 30km, untuk mengurangkan gejala ragut, rompak dsb
13. Tadbirlah bersandarkan syariat Islam, agar kita dirahmati Allah dan RasulNya.

Aku bukanlah seorang ahli ekonomi yang bisa membincangkan soal ketirisan, bajet, insflasi dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli ulama yang pandai membicarakan soal hudud dan sebagainya.
Aku bukanlah seorang ahli undang-undang yang bisa berbicara tentang soal perlembagaan dan kuasa sultan.
Aku bukanlah seorang ahli sejarawan yang bisa merungkai sejarah 13 Mei, Bukit Kepong, Tragedi Memali dan sebagainya.
Aku bukanlah ahli politik yang pandai berbicara soal kuasa, hak dan sebagainya.
Cuma aku hanyalah seorang pengembara yang menganalisa keadaan disetiap sekeliling berdasarkan latar belakang agamaku yang kerdil ini. 

Buat sahabat-sahabat sekalian, baca manifesto kesemua parti yang bertanding baik-baik dan fikir sedalamnya kemudian solat istikhoroh kepada Allah agar keputusan kita disepakati Allah. Allahua'lam.

~ Kritis Menongkah Teori ~
< Kembara Meraih Cinta iLahi >
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.00pm
29-4-2013
Shah Alam

Rabu, 24 April 2013

Coretan Yang Berkelana 167 : Islam Memuliakan Wanita.



Selesai pengajian seperti biasa ruangan soalan diberikan pada pelajar-pelajar untuk bertanya, mengkritik, mengkomentar mahupun berdiskusi bagi menyuburkan suasana ilmiah di dalam kelas.

Pada kelas kali ini, kami membincangkan tentang hukum i'dah yakni penangguhan sementara untuk berkahwin baru bagi mereka yang bercerai mati mahupun bercerai hidup hukum khusus bagi wanita.

I'dah bagi wanita kematian suami adalah empat bulan sepuluh hari, dan i'dah wanita bagi cerai hidup adalah tiga kali datang suci berdasarkan kiraan tahun hijrah.

Tujuan besar i'dah adalah untuk memastikan si wanita itu tadi, tidak menghamilkan anak dari bekas suaminya, dengan tujuan jika terjadi pernikahan tidak berlaku perselisihan nasab ( keturunan ).

Seorang ahli akademi menyatakan pendapat seraya bertanya kepadaku.

" Tadi ustaz ada terangkan tentang hukum i'dah bagi wanita yang bercerai hidup mahupun bercerai mati melalui penafsiran surah al-Baqarah yang kita bincangkan, jadi apakah relevannya i'dah ya ustaz? 

Kerana zaman sekarang ni sudah ada alat-alat pencegah kehamilan misalannya kondom, ubat perancang kehamilan dan inzal ( melepaskan mani diluar rahim ) dan ternyata menurut sains dan kebiasaannya jarang wanita hamil apabila melakukan proses-proses tersebut."

Lalu aku menjawab, ya Islam mengiktiraf sains dan teknologi. Berdasarkan faktor-faktor sains, kaedah pencegahan kehamilan itu biasanya berhasil dan wanita tidak mengandung. Tetapi tidak dinafikan rezeki yang telah ditakdirkan oleh Allah, ada juga yang mengandung walaupun telah cuba sedaya upaya menghalang kehamilan tersebut.

Yang ingin kita bahaskan di sini, bukanlah kerana permasalahan kehamilan itu semata-mata, tetapi Islam menaikkan dan memuliakan martabat wanita dengan mengadakan i'dah yakni penangguhan sementara sebelum berkahwin baru demi menjaga kesucian wanita.

Agar wanita itu tidak sama kedudukannya dengan pelacur, yang bisa sahaja berpindah-randah menukar pasangan dengan sesuka hati.

Jika suka ia berkahwin, jika benci, bergaduh bercerai dan kahwin yang baru. Seolah-olah nilai maruah wanita itu murah. Islam mengangkat martabat wanita, agar wanita itu tidak diperlekehkan dan hanya dijadikan bahan seks semata.

Wanita itu dimuliakan darjatnya supaya wanita itu tidak dieksplotasikan untuk menjadi bahan tontonan dan menjadi penghibur bagi kaum lelaki semata. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
2.30am
24-4-2013
Shah Alam

Isnin, 15 April 2013

Jom Baca Kitab 4 : Menjadi Ayah Yang Berjaya.



Alhamdulillah aku baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang boleh dikatakan lebih kepada buku motivasi. Buku itu bertajuk " Menjadi Ayah Yang Berjaya ".

Bagi pendapat aku, dizaman yang serba canggih ini cara mendidik anak juga perlu ditransformasikan. Kini kita berada dialaf 2013. Zaman sudah berubah. Maklumat kini hanya dihujung jari sahaja.

Apakah kita perlu mundur dengan pendidikan menggunakan teori rotan dan penampar? Ya merotan juga salah satu kaedah yang diajar dalam Islam. Tapi apakah kesemua kesalahan anak perlu dirotan dan ditengking? Islam menyuruh kita merotan anak jika dia tidak mahu bersolat.

Buku ini lebih membahaskan tentang cara pendidikan yang berasaskan motivasi. Salah satu kelemahan kita pada hari ini, kita hanya melarang anak untuk berbuat itu dan ini tanpa menyatakan alasannya, sedangkan minda dan jiwa mereka kekosongan dan dibebani perasaan ingin tahu.

Lantas, meskipun dihalang dan dirotan mereka tetap membuatnya juga demi mengetahui apakah yang akan mereka perolehi jika berbuat sesuatu yang dilarang.

Buku ini juga membicarakan tentang kualiti masa terhadap anak-anak. Dek tuntut hidup dizaman yang barang semua begitu mahal, ayah dan ibu terpaksa berkerja dan meletakkan tanggungjawab pendidikan pada taska atau orang gaji.

Masa merupakan kasih sayang yang lebih berkualiti dalam mendidik anak-anak. Secara jujurnya, anak terlalu manja dan minta dirai kemanjaannya. 

Bagi aku, buku ini antara yang terbaik jugalah. Sesuai untuk mereka-mereka yang macam aku, yang baru bergelar ayah. Lantaran dada kita ini kosong dengan ilmu dan pengalaman, buku ini sesuai untuk dijadikan sebuah sandaran. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
7.00pm
15-4-2013
Shah Alam

Jumaat, 12 April 2013

Coretan Yang Berkelana 166 : Menulis bukan kerna nama...




Setiap orang dianugerahkan Allah dengan kelebihan, keistimewaan dan turut diselitkan dengan sifat kelemahan sebagai manusia.

Manusia itu bebas menggunakan setiap kelebihan yang Allah berikan kepada dia, samada dia menggunakan kelebihan itu sebagai jalan untuk ke syurga mahupun dia memilih untuk terpelecok ke neraka.

Apa pun, akal merupakan kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah yang tidak ternilai dalam erti kata lain terlalu mahal nilainya sehingga tidak boleh ditaksir dengan nilai matawang.

Akal merupakan merupakan kelebihan yang dianugerahkan Allah untuk membezakan antara manusia dengan haiwan.

Apa yang akan jadi jika manusia hidup tanpa akal? Sudah pasti jawapannya manusia akan bertelanjang persis binatang kerana tidak tahu menilai kecantikkan badannya bukan untuk dipertontonkan kepada manusia sebaliknya kecantikkan itu untuk disyukuri.

Begitulah yang terjadi pada blog aku ini. Aku meminta maaf sekiranya apa yang aku tulis boleh jadi dibenci oleh para pembaca. Aku tetap memegang prinsip " aku menulis bukan kerna nama ".

Apalah nilaian disebalik nama, gelaran, pangkat dan sebagainya. Kesemua itu tidak pernah menjadi jaminan untuk melangkahi pintu syurga.


Aku menulis kerana Sang Pencipta. Allah telah mencampakkan sedikit kefahaman kepadaku, lantaran itu menjadi kewajiban dibahuku untuk menyampaikan amanah ilmu itu.

Mungkin tulisan aku ada yang menilai tulisan menghentam sesetengah pihak, menyokong sesetengah pihak. Nah ternyata tohmahan anda salah. Aku hanya mengongsikan kefahaman aku yang sedikit kepada mereka yang sudi membacanya.

Apalah nilaian menjaga hati manusia, sedangkan menafikan syariat dan hukum Allah serta Rasulnya.

Aku hanya menulis menyatakan kebenaran, kerana hadis nabi itu jelas menyuruh kita menyampaikan kebenaran meskipun ia pahit untuk ditelan.

Mungkin, tulisanku tidaklah sehebat tulisan Dr. Zaharuddin, Ustaz Saiful Islam, Dr. Asri dan sebagainya. Tulisanku ini hanya menjadi sebuah titian kecil untuk mereka-mereka melintasi jambatan yang lebih besar.

Tidak pandaiku membicarakan hadis yang rumit, apalagi menafsirkan ayat-ayat Quran yang musytabihat. Blog ini, hanya sedikit perkongsian bagi mereka yang baru mengenal agama. 

Sebab itu di dalam blog ini, tidak sarat dengan dalil-dalil Quran mahupun hadis. Apalagi memuatkan perdebatan antara ahli sunnah vs wahabi, ataupun ahli sunnah vs syiah atau membicarakan kitab-kitab tasawuf yang tinggi apalagi perbandingan empat mazhab fiqh ( Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali ).

Lebih jauh lagi untuk membicarakan sudut falsafah ketuhanan dengan menampilkan pendapat-pendapat Imam Ghazali, Plato, Socrates dan yang lain-lain lagi.


Kita semua sudah dianugerahkan Allah dengan akal yang sempurna, nah terpulang pada kita untuk menggunakannya. Dan aku meminta maaf andai terguris hati kala membaca tulisan-tulisanku selama ini,. Itu jelas menunjukkan kelemahanku sebagai manusia. 

Akhir kata, gunakanlah neraca akal untuk menilai sesuatu tulisan. Ingat baca dengan ilmu, bukan baca dengan emosi. Allahua’lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
2.29am
12-4-2013
Shah Alam

Khamis, 11 April 2013

Jom Baca Hadis 46 : Pemimpin Yang Menipu.




Dari Ma'qil bin Yasar r.a. ia berkata bahawasanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

" Tiada seorang Muslim yang Allah menyerahkan kepadanya amanah untuk memimpin rakyat, lalu ia meninggal dunia dihari ia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkannya masuk syurga.." 

Riwayat Muttafaqun A'laih, dalam Bulughul Maram susunan Imam Hajar al-Asqolani.

P/s : Pesanan kepada semua bakal pemimpin yang sibuk nak memimpin, ingat janji Allah itu pasti..

Rabu, 10 April 2013

Coretan Yang Berkelana 165 : Sikap keterbukaan Firaun.



Setelah mendapat wahyu dan perintah daripada Allah. Gigihlah Nabi Musa dan Nabi Harun menyampaikan seruan dakwah. Meskipun dikecam dan dikutuk Bani Israil.

Sampailah ketika Allah memerintahkan mereka untuk menyampaikan seruan tauhid kepada Firaun yang Maha Zalim itu.

Perkhabaran mengenai seruan tauhid itu sampai ke cuping telinga Firaun. Firaun menjadi murka kerana selama ini Firaun telah mengangkat dirinya sebagai Tuhan sekalian alam.

Firaun yang sememangnya terkenal dengan perangai yang Maha Zalimnya itu, telah memanggil Nabi Musa dan Nabi Harun untuk mengadap beliau.

Ini kerana Firaun kehairanan melihat ada Bani Israil yang menganuti fahaman dan ajaran Nabi Musa dan Nabi Harun. Lalu terjadilah debat diantara Firaun menentang Nabi Musa dan Nabi Harun.

Berdebat dan terus berdebat. Ternyata Firaun kalah pada hujah. Dengan segara Firaun MENGUNGKIT SEGALA PEMBERIANNYA kepada Nabi Musa sewaktu memelihara Nabi Musa semenjak dari kecil. Dan Firaun mengingatkan agar Nabi Musa MENGENANG JASANYA SELAMA INI.

Disini bisa kita amati sikap keterbukaan Firaun, meskipun beliau kerajaan yang zalim dan pemerintah yang diktaktor, tetapi beliau mengamalkan demokrasi dan hak bersuara untuk menyatakan pendapat dan diberi ruang Nabi Musa dan Nabi Harun untuk memberi penjelasan.

Mungkin Firaun itu Maha Zalim, tapi sikap keterbukaanya itu bisa kita teladani untuk kehidupan seharian.

Berilah kesempatan orang lain untuk menyatakan pendapat dan pandangan dia. Berilah hak dan ruang sebaiknya.

Kalau kita bertindak zalim dan tidak memberi orang lain untuk bersuara, ternyata kita lebih zalim dari si Firaun yang maha zalim. 

Sebagai penutup kata, bagi si pemberi sesuatu imbuhan dan meminta kembali sesebuah habuan, itu paling layak digelar orang yang mengungkit dan tidak ada kata yang lebih layak melainkan dia sama sahaja dengan perangainya  Firaun laknatullah.. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
6.12pm
10-4-2013
Shah Alam 

Lirik Puitis 30 : Bangkit




Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula
Bangkit

Dengan nama yang Maha Esa
Maafkan aku aku terlena
Mata buka tapi aku leka
Sekarang kita sedia pasang deria kita lebih peka

Siap gerak gempur
Siap rentak tempur
Redah onak lumpur
Maju tiada undur
Tak kenal uzur hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan lutut dan siku dihulur

Ini malam kita pakai tanjak songsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segorombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan ada yang berlobang

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila dijajah boleh tawanlah semula
Bangkit ingat ketua dulu supaya jalan lurus
Kalau tidak ditepi bendung ku tak berakar

Sabit kau umpama cahaya
Yang menyinari bumi
Kau umpama Hang Jebat
Yang melindungi hak dirinya
Kau umpama senjata
Yang melindungi tanah
Sememangnya pendekar yang gagah perkasa

Mana Tun Fatimah
Mana semangat Tun Teja Datuk Maharajalela
Mana cucu Datuk Merah
Keberanian Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan
Mari memartabatkan perjuangan Datuk Bahaman

Keris dulu dalam tangan sekarang dalam otak
Paling tajam tak perlu hunus keluar tengkorak
Catur congak cukup sebelum langakah diorak
Tanpa rancangan rapi dah tentu kemenangan rosak

Rapat-rapatkan saf dan buka kuda-kuda
Bila bersatu tunggu lihat siapa berani cuba
Yang akan datang menaruh pada yang semasa
Bangkitlah nusantara

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila dijajah boleh tawanlah semula
Bangkit ingat ketua dulu supaya jalan lurus
Kalau tidak ditepi bendung ku tak berakar

Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun betapa sakit
Sebelum layar bahtera mari kita

Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang senang kemudian
Kemudian

Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula

Bangkit.. bangunlah semula
Bangkit.. tawanlah semula
Bangkit.. umpama cahaya

By : DJ Fuzz, Altimet , Salam

Jumaat, 5 April 2013

Jom Baca Kitab 3 : Hidup Tenang Walaupun Berhutang.



Kali ini aku ingin berkongsi dengan kalian sebuah buku motivasi yang ditulis oleh Shamsuddin Kadir. Jika membaca dari tajuk saja, kemungkinan kalian akan menyangka buku ini mengajar kita agar berhutang.

Nah, ternyata anggap kalian salah. Buku ini mengajar kita bagaimana menyingkirkan hutang dengan secara perlahan-lahan.

Apa yang menariknya, buku ini sesuai untuk mereka yang makan gaji. Iaitu tiada sumber pendapatan lain. Buku ini juga mengajarkan kepada kita tentang bahayanya hutang kredit kad. Kredit kad merupakan penyakit terbesar yang melanda masyarakat muda hari ini. 

Sudah ramai yang kecundang dan muflis ada awal usia kerana terjebak dengan penggunaan kad kredit yang tidak sistematik dan terancang.

Pada hujung buku ini, penulis menerangkan kesan hutang pada sudut agama. Itu menyebabkan aku suka membaca buku ini. Suatu perbahasan yang menarik, apa bila kita banyak hutang, kita akan pening kepala untuk mencari duit dan menyelesaikan semua hutang kita. 

Secara tidak langsung kita sudah pun menjadi hamba dunia atau hamba duit. Pabila berhutang menyebabkan hati menjadi tidak tenang.

Aku lebih terkesan dengan beberapa ayatnya yang mengatakan fahami erti keperluan dan kemahuan.  Teori ini merupakan teori Abraham Maslow yang mengajar kita seandainya ingin membeli sesebuah barang, tanya pada diri apakah itu keperluan atau kehendak. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
6.58pm
5-4-2013
Shah Alam

Selasa, 26 Mac 2013

Coretan Yang Berkelana 164 : Hudud tak adillah ustaz..!




Usai kelas seperti biasa aku keluar menuju ke kereta tiba-tiba aku disapa oleh seorang abang yang merupakan salah seorang pendengar dalam kelasku.

Ustaz maaf saya bertanya ya. Dia memulakan bicara. Aku menjawab ya ada apa bang?

Tadi ustaz ajar tentang hududkan, macam mana ya kalau ada sekumpulan perompak yang terdiri dari Islam, Budha dan Hindu..

Jika mereka tertangkap, yang si Islam tadi dikenakan hudud dan dipotong tangan, lalu si Budha dan Hindu tidak dikenakan potong tangan. Nampak seolah-olah Islam itu tidak adillah ustaz?

Lalu aku menjawab, abg pagi-pagi solat subuh kena bangun dari tidur kenapa tak kejut jiran sebelah yang non muslim suruh solat subuh bersama..?

Bulan Ramadhan kita umat Islam diwajibkan berpuasa, kenapa kita tak bising supaya kaum Cina dan India kena puasa sama?

Dengan nada yang lembut aku menjawab, bang tidak semua hukum dan syariat Allah itu boleh dilogikkan dengan akal, kadang-kala ia perlu dijawab dan dilaksanakan dengan perasaan beriman kepada Allah semata-mata..

Abang itu menjawab, ' betul juga tu ustaz '.. Alhamdulillah lega saya mendengar jawapannya.. Terima kasih ustaz.. Aku menjawab alhamdulillah, sama-sama.. Allahua'lam..

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
aL-Haqir iLa Robbihi
ibnumaulub
9.23pm
26-3-2013
Shah Alam

Jumaat, 15 Mac 2013

Sekilas Pandang 5 : Kecelaruan Gender..



Saban hari yang dilalui pasti ada kalangan kita yang terserempak dengan pondan ( lelaki yang berkelakuan perempuan ) dan tomboy ( perempuan yang berkelakuan lelaki ) disekeliling kita.

Tidak kurang dengan itu sering juga kita dapati di kaca televisyen. Samada dari segi lakonan, pengacaraan, iklan dan sebagainya.

Pernah ada dari kalangan mereka yang berkata, saya begini ustaz kerana jiwa wanita berada dalam tubuh lelaki saya. Oleh itu saya lebih ke arah wanita.

Sejujurnya aku lebih suka menjawab, anda boleh jatuh aqidah. Kerana anda seolah-olah mengatakan yang Allah itu bodoh. Mustahil Allah bersifat bodoh. Takkan Allah celaru dalam mencipta jantina anda.

Jangan anda libatkan persoalan khunsa dalam bab ini. Khunsa atau mereka yang mempunyai dua kemaluan  adalah dua hal yang berbeza. Khunsa dianugerahkan dua kemaluan oleh Allah untuk menunjukkan Allah Maha Berkuasa.


Allah bukan hanya boleh mencipta satu kemaluan sahaja, bahkan boleh mencipta dua kemaluan serentak dalam satu tubuh badan. Subbhana Allah.

Kecelaruan gender ini sudah berleluasa sehingga menyelinap masuk ke dalam universiti-universiti tempat melahirkan para pemikir ilmuwan. Sering saja kita melihat lelaki-lelaki lembut yang bergurau dengan sesama wanita.

Bukan itu saja, pihak televisyen sendiri yang mengiktiraf mereka-mereka yang pondan, bapok dan tomboy ini diberi autoriti dalam bidang pengacaraan. Tidak setakat itu saja, bahkan diperingkat tertinggi wujud pemimpin-pemimpin yang berkelakuan tomboy.

Perlu kita renungi siapakah yang bersalah dalam hal ini :

1. Diri sendiri yang tidak tegas dalam menyatakan pendirian jantinanya.
2. Ibu bapa yang menegur sekadar melepaskan batuk ditangga ( sekiranya ibu bapa mereka tahu ).
3. Masyarakat tidak menegur dengan hikmah.
4. Pemimpin  tidak tegas dalam membanteras gejala pondan dan tomboy ini.
5. Para agamawan seharusnya masuk dakwah ke dalam kumpulan pondan dan bapok ini.
6. Media masa yang mengalakkan tumbesaran gejala pondan dan tomboy ini.

Pabila gejala ini sudah mula merebak, langkah yang kita perlu ambil adalah dengan masuk ke dalam kumpulan mereka berdakwah dengan santun dan lembut agar mereka mengubah diri mereka kepada yang asal.

Perbincangan dengan luas perlu diadakan bagi pihak mereka mengetahui siapa diri mereka sebenarnya. Mendoakan mereka agar mereka kuat untuk berubah menjadi ke arah yang lebih baik. Allaha'lam....

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
5.58pm
15-3-2013
Shah Alam

Khamis, 14 Mac 2013

Jom Baca Hadis 45 : Memayahkan Urusan...



Dari A'isyah r.a ia berkata :

Bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda :

" Ya Allah, barangsiapa yang menguasai urusan umatku, lalu ia memayahkan umatku, maka payahkanlah ia.."

Riwayat Muttafaqun A'laihi.


Pengajaran :

1. Nabi berdoa agar Allah memayahkan urusan orang yang suka menyusahkan urusan orang lain.
2. Nabi menegur pemerintah, penguasa, ketua, atau mereka yang berpangkat jangan menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.
3. Kita dianjurkan untuk memudahkan urusan orang lain.

Isnin, 11 Mac 2013

Coretan Yang Berkelana 163 : Ketandusan adab...



Adab merupakan cerminan diri bagi menjadi kayu pengukur siapa kita dimata masyarakat. Adab dan akhlak tidak dapat dipisahan dengan Islam. Rasulullah s.a.w itu diutuskan untuk membawa adab dan akhlak yang mulia kala bangsa arab jahiliah sudah ketandusan sifat-sifat kemanusian.

Sering saja kita mendengar ceramah dari ustaz-ustaz di masjid yang berceritakan tentang adab dan akhlak Rasulullah s.a.w. Pernah juga Saidatina A'isyah ditanya mengenai akhlak Rasulullah s.a.w, A'syah menjawab, " Akhlak Rasulullah s.a.w adalah akhlak al-Quran."

Berkecimpung dalam dunia dakwah dan mengajar merupakan sebuah pancaroba yang besar. Bukan hanya terletak pada penyampaian ilmu tetapi merangkumi semua aspek.

Seorang pendakwah itu dilihat bukan hanya pada kepetahannya berbicara tetapi dari santun kelakukannya. Bagaimana dia mentarbiah masyarakat dengan teguran yang lunak tanpa sedikit pun mengores hati si pendengar.


Pendakwah juga sering dilihat bagaimana dia menterjemahkan kata-katanya dalam aktiviti seharian. Bagaimana dia berinteraksi dengan masyarakat. Bagaimana kelakukannya dengan keluarga. Kesemuanya itu dilihat dan diukur orang. Lantas timbullah bidalan yang mengatakan " cakap tidak serupa bikin "

Saban hari berhadapan dengan para pelajar yang tua mahupun dewasa atau yang lebih veteran mengingatkan aku kisah kehidupan silamku dikala aku dimadrasah. Kami diajar akhlak dan adab menghormati guru, tidak meninggikan suara dengan guru dan sebagainya.

Ternyata pada hari ini, ilmu adab dan akhlak sudah mulai ketandusan didalam celah-celah masyarakat yang giat menuntut ilmu.

Benarlah kata Imam Malik, sebelum mempelajari sesuatu ilmu, belajarlah dulu ilmu adab dan akhlak. Ia bertujuan agar kita dapat mendisiplinkan diri kala menuntut ilmu.

Yang sering terjadi pada saat ini, kedapatan segelintir pelajar yang tidak menepati aturan ataupun adab menuntut ilmu. Contohnya : 

1. Bersembang kala guru mengajar
2. Bercakap ditelepon
3. Tidak MENG SILENT KAN handphone
4. Datang lambat ke kuliah
5. Tidak membuat ulangkaji
6. Memaksa guru menunggu pelajar
7. Tidak menyiapkan kerja yang diberi

Kesemuanya itu bisa kita dapati kewujudannya dalam mana-mana majlis ilmu. Seandainya guru itu lambat, kita pergunakanlah waktu yang ada untuk mengulangkaji pelajaran.

Wujud juga pelajar-pelajar yang guru terpaksa menunggu ia bersiap lantaran kelas diadakan dirumah. Yang baru bangun, yang baru nak mandi dan sebagainya.

Tidak dinafikan, guru-guru juga mempunyai kelemahan pada diri sendiri. Ada pelajar-pelajar yang menyatakan alasan, " Alah ustaz , ustazah pun selalu lambat ", tak salah kami pun lambat.


Apa-apa pun, kalau kita mencari titik kesalahan itu tidak bermakna akan selesai perkara ini. Yang menjadi titik pertemuan adalah bagusnya masing-masing melakukan tanggungjawab masing-masing. 

Si pelajar melaksanakan amanah sebagai pelajar, menurut semua keperluan adab sebagai seorang pelajar. Dan sang guru pula, melaksanakan amanah sebagai seorang guru, menepati masa misalnya, menyampaikan ilmu dengan penuh ikhlas dan semata-mata mengharap keredhaan Allah semata.  Maka tidak wujud kecelaruan antara adab dan akhlak.. Allahua'lam.

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
7.03pm
11-3-2013
Shah Alam

Isnin, 4 Mac 2013

Jom Baca Kitab 2 : Mengenali Rasulullah Tercinta..


Mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w merupakan sebuah amalan yang dituntut. Ini berikutan Rasulullah itu merupakan contoh ikutan yang terbaik sepanjang zaman. Dan baginda juga merupakan kekasih Allah yang sering kita dengar diceramah-ceramah maulid nabi.

Dalam pada Rasulullah menjadi nabi. Baginda juga merupakan seorang datuk, seorang ayah, seorang pemimpin masyarakat yang berkaliber dan yang kita maklum baginda menjadi ikon suami yang soleh terhadap isteri-isteri baginda.

Kita sering mendambakan cinta kepada Rasulullah, tetapi bagaimana kisah kehidupannya? Bagaimana perilaku baginda terhadap isteri-isterinya?

Berapa jumlah isteri baginda? Bila baginda dilahirkan? Bila baginda mula berhijrah? Siapakah sahabat-sahabat yang sering bersama baginda?

Bagaimana Rasulullah melayani kerenah sahabat-sahabatnya? Itu semua menjadi asas pertanyaan jika kita ini adalah umat baginda. Perlulah kita mengenali siapa pemimpin kita, agar kita dapat mencontohi akhlak dan perilaku baginda s.a.w.

Di sini aku ingin berkongsikan beberapa kitab yang bisa kalian baca perlahan-lahan dan mengenali siapa Muhammmad ini? Siapa yang bergelar Rasulullah ini?


Ini kitab Roheeq Makhtum versi arab dikarang oleh Syafiyyurahman Mubarakfury..

 Yang ini pula ringkasan Roheeq Makhtum versi terjemahan dalam bahasa Melayu. Ia dihadiahkan oleh adindaku Aizat.. Tengs Jat.. ;-)

Ini pula Fiqh Sirah, Karangan Dr. Buuti dari Syira versi arab. Sempat bertalaqqi dan syarah oleh Ustaz Esamuddin, alhamdulillah.

Ini Sirah Nabawiyah syarah Ibnu Hisyam versi terjemahan Indonesia.

Ini Syamail Muhammad dikarang oleh Imam Tirmizi, terjemahan Indonesia. Sempat bertalaqqi dan syarah oleh Ustaz Rosdie Ramli al-Jauhar dan Ustaz Adlan Aziz. Alhamdulillah.

Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian ini, kita sama-sama dapat mengenali siapa insan agung yang diberi nama Muhammad s.a.w... Allahua'lam. 

~ Kembara Meraih Cinta iLahi ~
al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
11.54pm
3-3-2013
Shah Alam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails