Rabu, 27 Januari 2010

Coretan Yang Berkelana 55 : Menziarahi guruku yang dikasihi.

Tepat jam 10.05pm aku dan Azim telah berada di depan pintu pagar rumah Bilal Jamil. Beliau merupakan salah seorang guru al-Quran dan merupakan Bilal Masjid Sultan Suleiman di Klang. Entahlah, tiba-tiba selepas solat maghrib tadi aku teringat akan beliau, lebih-lebih lagi baru-baru ini pak cik ku memberitahu yang beliau sudah semakin uzur.

Sesudah menunaikan solat Isyak, aku menghubungi Azim adakah beliau kelapangan untuk menemaniku ke Klang, kemudian beliau bersetuju untuk menemaniku. Sampai sahaja di hadapan rumah Bilal Jamil, aku segera memberi salam. Kelihatan beliau baru pulang dari masjid dan sedang memparkirkan motor beliau.

Beliau terkejut melihat akan daku, lalu bertanya " Bila kau balik Lip?" Aku menjawab "Lebih kurang sebulan jugaklah Lal". Kemudian dia menjemput aku dan Azim untuk masuk ke dalam rumahnya. Setelah bertentang mata dengan beliau, aku mendapati beliau kelihatan begitu uzur. Beliau mempunyai sakit gout begitu teruk, darah tinggi yang normal dan kencing manis yang terkawal.

Melihat mukanya yang begitu garang, teringat sewaktu aku bertalaqqi dengan beliau setiap Jumaat malam Sabtu, aku akan berulang-alik dari Batu 3 ke Klang untuk memperbetulkan bacaan. Kemerduan suaranya serta kefasohannya membuat aku asyik untuk bertalaqqi dengan beliau. Biarpun aku pernah di herdik, dimarah serta ditegur itu lebih membuat aku bersemangat.

Sedang asyik berbual, beliau menceritakan semenjak keuzuran yang menimpa, beliau kini tidak lagi mampu untuk mengajar di masjid dan akan bersara dari jawatan Bilal Masjid dalam masa 2 bulan lagi.

Beliau yang juga merupakan bekas Johan Tilawah al-Quran peringkat negeri Selangor ini pernah menyatakan kepadaku, "Lip teruskanlah menuntut ilmu, jangan riak apabila sudah berada tempat tinggi, lapangkanlah dada untuk mendengar teguran dari yang bawah".

Masih terngiang-ngiang ditelingaku.  Hati kecilku berkata, Bilal terima kasih mengajar ilmu al-Quran kepadaku, semoga Allah merahmati kehidupanmu. Amin. Kira-kira jam 11.20pm aku dan Azim beredar untuk pulang ke Shah Alam.


Bilal Jamil merupakan salah seorang anak murid Arwah
Ustaz Salikin dan Dato' Ustaz Hassan Azhari


Penulis dan Gurunya yang dikasihi

al-Haqir ila Robbihi
ibnumaulub
4.03am
27-1-2010
Shah Alam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails